Adeline Tsen tangguh belajar di New York

ADELINE TSEN menangguhkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di Akademi New York kerana menerima banyak tawaran berlakon buat masa ini.


SEBELUM ini, pelakon drama Rindu Awak 200%, Adeline Tsen ada menyuarakan hasrat untuk ke New York pada bulan Julai lalu bagi menyambung pengajiannya dalam bidang lakonan di Akademi New York.

Bagaimanapun, pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu terpaksa melupakan sebentar keinginannya itu disebabkan tawaran berlakon yang tidak putus-putus diterimanya.

“Sepatutnya bulan Julai lalu saya merancang sambung belajar di Akademi New York. Namun, hasrat tersebut terpaksa saya tangguh sebab banyak tawaran berlakon yang hadir.

“Ini termasuklah pembabitan saya dalam drama Rindu Awak 200%, telefilem Lokum Untuk Mama dan selepas raya, saya akan terlibat pula dalam slot Samarinda untuk TV3,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Rindu Awak 200 Peratus di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Adeline bagaimanapun berjanji dengan dirinya sendiri untuk meneruskan hasratnya menyambung pengajian dalam tahun ini juga.

Pemegang ijazah perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu mengakui, tidak mahu menghampakan impian bapanya, Anthony Primus Tsen, 78, yang mahu melihat dia terus belajar.

Malah, jelas pelakon berketurunan Cina Kadazan itu, sebelum ini hasratnya untuk menjadi pelakon pernah ditentang oleh bapanya. Tentangan tersebut membuatkan dia berkecil hati dengan bapanya dan mereka kemudiannya tidak berjumpa dan berhubung selama dua tahun.

Menangis

“Sebenarnya dia (bapa) tidak suka saya terlibat dalam bidang lakonan. Tanggapan dia, bidang ini tidak profesional dan tidak mampu menjana pendapatan konsisten. Selama dua tahun kami berselisihan faham dan tidak bertemu. Pernah juga saya menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepadanya tetapi tiada balasan.

“Namun, akhirnya dia boleh terima bidang ini (berlakon). Saya juga membuktikan mampu menamatkan pengajian dalam bidang ijazah perakaunan pada bulan Mei lalu,” luahnya.

Selama dua tahun dirinya tidak diendahkan bapa, Adeline akhirnya menerima panggilan telefon daripada bapanya selepas dia memperoleh ijazah perakaunan di UiTM itu.

Terkejut dengan panggilan telefon daripada bapanya, Adeline mengakui, dia terlalu gembira dan terharu sehingga menitiskan air mata.

Justeru, sempena cuti Aidilfitri yang lalu, Adeline memberitahu, dia mengambil kesempatan pulang ke kampung untuk bertemu bapanya dan memohon kemaafan.

Psiko

Berbicara tentang kariernya, selepas membawakan watak perempuan psiko dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Adeline sekali lagi menerima watak dan juga nama yang sama untuk drama terbaharu lakonannya iaitu Rindu Awak 200%.

Mengulas mengenai drama 28 episod yang mula ditayangkan pada 15 Julai lalu itu, kata Adeline, Irene merupakan seorang perempuan psiko dan obses terhadap hero drama tersebut, Zill Faezrul (lakonan Zul Ariffin).

“Sekali lagi saya dapat watak perempuan psiko bernama Irene. Irene sebenarnya kawan baik kepada Faezrul tetapi pada masa yang sama dia menyimpan perasaan cinta terhadap kawannya itu.

“Apabila mendapat tahu Faezrul berkahwin, Irene menjadi psiko dan cuba pelbagai cara untuk memusnahkan hubungan Faezrul dengan isterinya,” jelas Adeline mengenai wataknya.

Malah akuinya, selepas dua kali membawa watak seumpama ini, dia sudah menemui rentak yang tidak kekok untuk memainkan peranan sebagai wanita psiko.

Drama Rindu Awak 200% itu kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.