T-Team tumbang


RANGEL (kiri) meledakkan gol kedua Selangor ketika menewaskan T-Team 2-1 pada aksi Piala Malaysia 2014 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala
Terengganu malam tadi.


PASUKAN berstatus kelab, T-Team terpaksa akur dengan kehebatan Selangor apabila tewas 1-2 pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2014 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi.

Skuad kendalian Anuar Abu Bakar itu mendahului pada minit ke-48 menerusi jaringan Patrich Steev Wanggai tetapi gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

Pemain tengah Selangor, Andik Vermansyah menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-50 sebelum skuad kendalian Mehmed Durakavic itu menghukum skuad The Titans hasil rembatan cantik Paulo Rangel dua minit kemudian.

T-Team yang bermula baik pada separuh masa pertama gagal meneruskan rentak kecemerlangan pada babak kedua.

Sementara itu, Pahang bermula dengan langkah kanan dalam usaha mempertahankan trofi Piala Malaysia 2014 apabila membelasah Johor Darul Takzim II (Johor DT II) 4-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Gol-gol kemenangan Tok Gajah dijaringkan oleh Dickson Nwakaeme, Matias Conti dan Mohd. Fauzi Roslan.

Meskipun terpaksa menunggu selama sejam untuk melakukan sepak mula selepas perlawanan ditunda kerana hujan lebat, anak buah Zainal Abidin Hassan memburu gol lawan sejurus wisel perlawanan ditiup.

Beraksi atas padang yang becak tidak mencacatkan corak permainan pasukan tuan rumah yang dilihat banyak mendominasikan perlawanan melalui gerakan bahaya yang dijana oleh barisan pemain tengah, Mohd. Hafiz Kamal dan Mohd. Faizol Hussain.

Tanpa perlu menunggu lebih lama, gerakan jentera serangan berjaya membuahkan hasil apabila Nwakaeme menjaringkan gol pertama pada minit kelima perlawanan.

Gol tersebut hasil hantaran silang Conti yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Nwakaeme dengan melakukan merembat deras untuk menewaskan penjaga gawang Johor DT II, Mohd. Anis Faron.

Juara bertahan itu berupaya menambahkan gol hasil beberapa percubaan bahaya menerusi Conti dan Azammuddin Mohd. Akil namun cubaan itu lebih banyak tersasar.

Conti menambah derita pasukan lawan apabila menanduk masuk hantaran Azammuddin pada minit ke-38 sebelum Nwakaeme menyumbat gol kedua peribadi pada minit ke-70.

Pahang meneruskan pesta gol menerusi sepakan deras oleh Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-90.