Sambut merdeka dalam kesederhanaan



MERUJUK kepada fakta sejarah, negara Malaysia atau dahulunya lebih dikenali sebagai Tanah Melayu mula memasuki era penjajahan sebaik sahaja tentera Portugis menawan Melaka pada tahun 1511.

Melaka kemudian jatuh pula ke tangan pihak Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya, British meneruskan penjajahan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda yang dimeterai pada tahun 1824, biarpun Jepun pernah menjajah buat seketika pada tahun 1942 hingga 1945 sebelum kembali dijajah British.

Setelah dijajah selama 446 tahun, akhirnya Tanah Melayu bebas sepenuhnya apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sudah tentu ia merupakan satu peristiwa yang paling bermakna.

Setiap kali menyambut Hari Kemerdekaan, terdapat pelbagai acara yang akan dianjurkan pada malam merdeka seperti Konsert Ambang Merdeka yang merangkumi acara hiburan dan pertunjukan bunga api serta perbarisan yang berlangsung pada sebelah pagi.

Bagaimanapun, sambutan pada tahun ini pastinya dirai dalam suasana cukup berbeza, lantaran tragedi yang menimpa negara apabila pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang pada Mac lalu serta pesawat MH17 yang ditembak jatuh baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu pengumuman yang dibuat pada minggu lalu berkata, kerajaan telah membatalkan acara berbentuk hiburan seperti konsert dan pertunjukan bunga api bagi menghormati keluarga mangsa.

Sehubungan itu, apakah pandangan golongan selebriti berhubung keputusan yang dibuat kerajaan itu?


SAMBUTAN Hari Kemerdekaan pada tahun ini tidak akan diraikan dengan acara hiburan sepertimana lazimnya.


Waktu berkabung

Membicarakan tentang sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini, Datuk Rahim Razali yang dikenali sebagai seorang pengarah, pelakon dan pengulas sukan berkata, ia bukan merupakan satu masalah yang besar sekiranya acara berbentuk hiburan dibatalkan.

Ujar Rahim, dalam situasi sekarang adalah lebih bersesuaian sekiranya ia disambut secara sederhana sahaja. Malah, acara hiburan boleh terus diadakan pada sambutan yang akan datang.

"Kerajaan telah mengumumkan tarikh 22 Ogos 2014 sebagai hari berkabung sempena tragedi yang menimpa pesawat MH17.

"Bagi saya, amat berpatutan kalau acara hiburan dibatalkan seperti yang telah diputuskan.

"Lagipun, sepanjang tahun rakyat Malaysia sudah disajikan dengan pelbagai acara hiburan. Jadi, biarlah sambutan kemerdekaan kali ini diisi dengan acara seperti perbarisan sahaja," ujarnya.

Memandangkan beliau dilahirkan pada 3 Julai 1939 iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, Rahim turut ditanya tentang kehidupan yang dilaluinya sewaktu negara masih lagi dijajah.

Menurutnya, terdapat banyak cabaran dan kesusahan yang terpaksa dihadapi apabila pihak asing menjajah negara.

Itu yang menyebabkan semangat nasionalisme semakin berkobar-kobar menjelang kemerdekaan negara sewaktu beliau berusia 18 tahun.

"Rakyat yang lahir selepas era merdeka pastinya lebih bertuah kerana dapat hidup bebas.

"Jadi, rakyat sekarang ini perlu memahami erti kemerdekaan yang sebenar supaya lebih bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang aman dan tenteram," ujar beliau.

Bersatu

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pula menyatakan, beliau menerima dengan hati terbuka berkenaan dengan pembatalan acara hiburan seperti Konsert Ambang Merdeka yang diadakan saban tahun.

Menurutnya, ketika rakyat Malaysia masih lagi bersedih dengan tragedi yang menimpa negara, keputusan tersebut dilihat sebagai satu tanda penghormatan buat ahli keluarga mangsa yang terlibat.

"Tragedi yang berlaku ini bukan sahaja membabitkan negara tetapi ia membabitkan isu di peringkat antarabangsa.

SHARIFAH AMANI kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak seronok menjalani kehidupan di negara sendiri.


"Selepas kehilangan pesawat MH370, Malaysia sekali lagi diuji apabila pesawat MH17 ditembak jatuh.

"Boleh dikatakan seluruh rakyat masih dalam keadaan bersedih setelah apa yang menimpa negara.

"Jadi, langkah membatalkan acara berbentuk hiburan sememangnya satu keputusan yang wajar," jelas beliau yang kerap membuat persembahan sempena Hari Kemerdekaan sebelum ini.

Bagi Siti, segala tragedi yang menimpa negara pastinya ujian yang paling penting dan ia merupakan masa paling sesuai untuk seluruh rakyat bersatu dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

"Ketika ini, kita tidak seharusnya berpecah-belah dan ketepikan seketika sebarang perbezaan mengenai fahaman politik. Semua orang mesti bersatu dan terus mengekalkan keamanan yang kita nikmati sekarang," ujarnya.

Apabila ditanya tentang erti kemerdekaan pula, Siti menyatakan bahawa secara umumnya merdeka memberi pengertian tentang kejayaan sesebuah negara itu daripada terus dijajah.

Menurut beliau lagi, kemerdekaan diri pula membawa maksud tidak terus dibelenggu dengan unsur-unsur yang negatif dan sentiasa memandang kehadapan apabila menjalani kehidupan seharian.

"Kalau hendak menikmati kehidupan yang aman dan damai, sentiasa berfikiran positif dalam setiap perkara yang dilakukan. Itulah nikmat sebenar yang ingin dikecapi oleh setiap manusia," ungkapnya.

Makna kebebasan

Mengulas lebih lanjut tentang merdeka, pelakon yang cukup popular sekitar 80-an menerusi filem Gila-Gila Remaja, Faizal Hussein menegaskan, kemerdekaan bukan sekadar melaungkan kata-kata semangat sahaja.

Jelas Faizal, apa yang lebih penting setiap individu perlu memahami makna kebebasan yang sebenar, memandangkan pelbagai rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh setiap rakyat.

"Tidak semestinya kalau negara sudah mencapai kemerdekaan, kita akan dapat hidup dengan lebih bebas. Sebenarnya, ada lagi cabaran lebih hebat yang terpaksa kita tempuhi.

"Jadi, semangat cintakan negara itu perlu disemai dalam diri masing-masing.

"Apabila negara berhadapan dengan masalah, perkara paling utama kita perlu bersatu padu supaya negara tidak kembali dijajah," ujarnya.

Sementara itu, pelakon berkenaan berkata, tarikh kemerdekaan yang disambut oleh rakyat Malaysia saban tahun juga amat istimewa. Ini memandangkan tarikh lahir arwah ibunya iaitu pelakon Mahyon Ismail jatuh pada tarikh yang sama.

"Arwah ibu saya dilahirkan pada 31 Ogos 1942 dan setiap kali Hari Kemer- dekaan, kami sekeluarga turut meraikan ulang tahun kelahirannya.

"Kini, arwah ibu sudah meninggal dunia dan sejak tiga tahun lalu saya pasti akan mengenangkannya setiap kali rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan," ujarnya.

RAHIM RAZALI menyatakan, banyak cabaran dan kesusahan dihadapi semasa negara dijajah.


Ubah minda

Pelakon Sharifah Amani pula berpendapat, rakyat Malaysia seharusnya perlu bersyukur kerana kemerdekaan yang dicapai oleh negara tidak melibatkan sebarang pertumpahan darah.

Tidak seperti kebanyakan negara lain yang terpaksa berperang kerana ingin mendapatkan kebebasan, Amani berkata, negara mencapai kemerdekaan dalam keadaan yang lebih baik.

"Bagaimanapun, saya berasa agak kecewa dan kesal apabila masih ada segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan tidak seronok untuk menjalani kehidupan di negara sendiri.

"Seharusnya mereka perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman, meskipun masyarakatnya hidup berbilang kaum.

"Jadi, mereka yang beranggapan hidup di negara sendiri tidak seronok perlu mengubah minda masing-masing," ujarnya pernah berlakon dalam filem patriotik arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba, 1957: Hati Malaya.

Berkenaan dengan Hari Kemerdekaan yang disambut pada setiap tahun, Amani menyatakan, keputusan membatalkan acara berbentuk hiburan adalah tepat dan tidak wajar diadakan pada masa sekarang.