ADUN Pengkalan Kubor selamat dikebumikan

23/08/2014 12:57am

TUMPAT - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, yang meninggal dunia di Guangzhou, China Rabu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan, di sini tengah malam tadi.

Pengebumian Noor Zahidi yang diuruskan pihak tentera berlangsung pada pukul 12 tengah malam dengan disaksikan kira-kira 1,000 rakyat setempat yang memberikan penghormatan terakhir buatnya.

Hadir menziarahi jenazahnya ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, serta hampir kesemua ADUN negeri ini.

Isteri Noor Zahidi, Datin Siti Mona Abdul Kadir dan anak-anak mereka turut mengiringi jenazah Noor Zahidi yang juga merupakan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat itu ke kubur.

Terdahulu, jenazah Noor Zahidi tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada pukul 10.10 malam dari Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang setelah diterbangkan dari Guangzhou, China ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

Jenazahnya kemudiannya dibawa ke rumahnya di Kampung Surau Pasir Pekan dan tiba setengah jam kemudian sebelum disembahyangkan.

Noor Zahidi meninggal dunia di sebuah hospital di Guangzhou, China setelah tiga bulan menderitai penyakit kanser hati.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 5.45 pagi waktu Malaysia ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Noor Zahidi menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Siti Mona dan dua orang anaknya.

 

Allahyarham mula dikesan menghidap penyakit kanser hati pada Mei lalu dan beberapa kali ke luar negara untuk mendapatkan rawatan. - KOSMO!