Bahayanya wanita atau lelaki?

ERRA FAZIRA yang melakonkan watak isteri nombor dua bernama Kamelia.


GOYANG Erma Fatima, komedi dan jenaka spontan Zizan Razak, aksi gedik dan semput Nora Danish, ego Datin Paduka Umie Aida serta rengetan manja Erra Fazira, semua elemen hiburan dalam Bahayanya Wanita seperti yang pernah dipentaskan tahun lepas itu masih segar dalam kepala. Gamat ketawa dan tepuk penonton di Panggung Sari pada pementasan terdahulu masih kedengaran.

Persoalannya, adakah penonton masih boleh berhibur ketika disajikan hiburan yang sama? Mulanya, skeptikal itu berpuing-puing mengisi kotak fikir.

Masuk lagi ke ruangan tontonan untuk menyaksikan judul yang sama, hidangan babak pertama perlahan-lahan menenangkan fikiran.

Nyata sedikit perubahan plot Bahayanya Wanita yang digubah khas untuk persembahan istimewa di Esplanade Singapura memberi impak berbeza. Pementasan kedua Bahayanya Wanita di Istana Budaya tidaklah sekadar pengisi jadual panggung yang kosong.

Selain barisan bintang popular sebagai umpan penonton, lagu tema daripada filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Madu Tiga dan lagu-lagu lain yang dimuatkan seperti Jejaka Idaman, Seksis dan Goyang Inul membuatkan penonton terhibur.

Di tangan Erma Fatima sendiri yang bertanggungjawab sebagai penulis skrip dan pengarah, teater yang mengupas isu poligami itu menjadi lebih padat dan tidak meleret-leret dengan babak yang membuat penonton kerimasan.


TARIKAN utama Bahayanya Wanita boleh disandarkan kepada nama-nama besar yang membintangi teater ini.


Kelainan yang ketara, ada kemasukan dua watak baharu iaitu Raja Ema sebagai ibu kepada Farhana (Nora Danish) dan Neelofa (gadis Siam) dan tukang cerita yang digalas seorang pendatang baharu. Kemunculan orang lama dalam bidang teater, Che Kem yang membawa watak Mas Joko dan Zulin Aziz menggantikan tempat Ziela Jalil sebagai Murti berkesan menjadi penyegar yang memantapkan lagi gaya persembahan teater ini.

"Saya hanya dipanggil untuk melakonkan watak itu sehari sebelum pementasan. Kami berlatih selama dua jam pada 19 Ogos dan 20 Ogos terus buat persembahan di hadapan penonton," kata Che Kem yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Hati Malaya.

Perasaan yang sama dikongsi oleh Zulin Aziz. Watak Murti, sahabat baik kepada Suti Lambong (Erma Fatima) kelihatan lebih muda dan bervariasi.

Selebihnya, Zizan sebagai Syed Maadon Al-Attas, Erra sebagai isteri kedua yang bernama Kemalia), Umie Aida yang memegang taraf sebagai isteri pertama (Sharifah Fatimah Maruka) dan Nora (isteri ketiga) masih memainkan peranan yang sama sebagai mana yang pernah disaksikan.

Bahayanya Wanita mengisahkan Syed Maadon Al-Attas, lelaki yang berjaya memadukan tiga orang wanita sebagai isteri. Tidak cukup dengan tiga, Maadon jatuh cinta dengan Suti namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.


DARI kiri: Erra Fazira, Raja Ema, Nora Danish, Umie dan Zizan sedang berkonfrontasi soal hak masing-masing.


Suti, si janda Indonesia yang berniaga makanan di gerai bukanlah wanita hebat. Namun kecantikan Suti memang terkenal di kalangan penduduk Kampung Janda Molek termasuklah Mas Joko yang tergila-gilakannya. Pertemuan secara tidak sengaja dengan Maadon membuatkan Sunti jatuh cinta dengan Maadon. Prinsip Sunti yang mulanya tidak mahu jatuh dan menikahi lelaki yang bersuami terburai begitu sahaja kerana Maadon sendiri mempunyai tiga isteri.

Penilaian sesebuah teater komedi yang padat elemen hiburan seperti Bahayanya Wanita semestinya tidak boleh terlalu serius ke aspek teaterikal, metod lakonan atau hukum teater. Dalam Bahayanya Wanita, komedi dan hiburan dimain dan digaul semesra yang boleh. Zizan sebagai pelawak tentunya mempunyai ruang dan peluang keemasan untuk menjalankan tugas mutlaknya sebagai pelawak.

Ada ketika, pelakon senior seperti Umie Aida dan Erma Fatima sendiri tidak dapat menahan ketawa apabila ada penambahan dialog sendiri Zizan. Satu lagi perbezaan, dalam pementasan kali ini, Sharifah Fatimah Maruka sudah bertudung gara-gara perubahan Umie yang mula berhijab sejak awal Ramadan lalu.

Lakonan Umie Aida, Erma Fatima, Nora Danish pula tidak perlu dipersoalkan, walaupun masih membawa karakter yang sama, persembahan kali ini masih di tahap cemerlang. Kemunculan wartawan hiburan, Rudy Imran walaupun untuk satu babak masih boleh diterima kerana karakter itulah yang menemukan Maadon dengan Farhana.

Berbalik kepada judulnya Bahayanya Wanita, barangkali lebih tepat lagi teater ini diberi tajuk 'Bahayanya Lelaki'. Manakan tidak, sudah beristeri tiga, masih lagi bercita-cita hendak memenuhkan kuota empat. Dalam pada berjanji hendak menikahi wanita Indonedia sebagai isteri keempat, muncul pula seorang lagi wanita Siam yang mendakwa kekasih Maadon. Terbukti, bahaya-bahayanya wanita, segarang-garangnya isteri, bahaya lagi si lelaki mata keranjang.

Sudah namanya cerita hidup orang berpoligami, karya Erma Fatima yang satu ini selayaknya diberi label 18SX kerana dialog-dialog dalam kain yang terucap. Sama ada secara sengaja atau tidak, komedi dewasa yang dipaparkan tidak sesuai untuk tontonan golongan kanak-kanak.