Jodoh Shaheizy Sam, Siti Saleha

TIDAK terlalu muda, tidak juga terlalu berusia. Pada usia ini, Siti Saleha dan Shaheizy Sam tidak terlepas daripada diusulkan persoalan tentang perkahwinan.


SHAHEIZY SAM dan Siti Saleha memiliki banyak persamaan. Tidak hanya sama-sama muda, popular dan digilai ramai peminat, perasan atau tidak, mereka juga berkongsi huruf 'S' pada pangkal nama pertama dan kedua.

Persamaan yang secara kebetulan itu barangkali satu daripada seribu punca keserasian mereka. Namun, sudah namanya pelakon, berilah apa sahaja watak, pasti akan dipersembahkan dengan segala karisma yang ada.

Kepuasan lakonan juga tidak hanya terletak kepada karakter, impak watak atau kehebatan jalan cerita. Setiap pelakon akan lebih berpuas hati jika kerja lakonan mereka diterima baik oleh penonton. Dikritik secara positif atau negatif, itu persoalan kedua, sebaliknya berjayakah mereka memanggil penonton masuk panggung. Itu persoalan setiap kali sesebuah filem baharu mula ditayangkan.

Untuk Sam dan Saleha, kekuatan dan kekuatan impak kerja seni mereka kini teruji apabila filem pertama yang menggandingkan mereka sebagai hero dan heroin, Mamak Cupcake mula menemui penonton. Adakah kelompok peminat Adnan akan berpusu-pusu mahu melihat Sam sebagai MJ, si anak Mamak yang membuat kek cawan? Bagaimana pula dengan Saleha yang selalu dipuja dan menaikan rating setiap kali drama lakonannya masuk TV?

Sam - muka Cina jadi Mamak

Cukup sedar rupa fizikalnya langsung tidak menggambarkan secara mudah bahawa dirinya seorang anak Mamak, awal-awal lagi Sam sudah mentafsir lakonan dalam filem arahan Woo Ming Jin itu satu cabaran besar buat dirinya.

SHAHEIZY SAM mengakui kehidupan realitinya sedikit membosankan kerana terlalu penat dan sibuk dengan karier lakonan.


"Saya kena cari aspek lain, saya kena mantapkan aspek bahasa kerana dari segi rupa dan fizikal, saya langsung tidak kelihatan seperti orang Mamak. Sebaliknya, dengan rupa dan kulit saya yang begini, ada yang mudah menganggap saya sebagai Cina.

"Itu yang membezakan saya dengan abang saya lakonan Azad Jazmin dalam filem Mamak Cupcake, dia secara jelas memang nampak macam Mamak. Warna kulit saya tak boleh nak digelapkan begitu juga dengan bentuk mata, jadi saya ambil pendekatan untuk menjadi seiras dengan golongan Mamak dari segi bahasa dan lenggok cakap. Karakter itu yang kena seiring dengan perwatakan bapa saya dalam filem berkenaan. Saya mahu watak MJ lakonan saya itu dipercayai sebagai seorang pemuda Mamak," kata Sam sambil menjeling manja ke arah Saleha yang pertama menjadi kekasihnya dalam filem.

Demi memberi nyawa kepada Mohamad Jamaludin Muhammad atau MJ, Sam sangat berterima kasih kepada Azad Jazmin yang telah banyak membantu dan mendedahkannya dirinya kepada kehidupan golongan India Muslim di Pulau Pinang.

"Untuk watak MJ, saya ditampilkan sebagai pemuda India Muslim yang dibesarkan di Pulau Pinang. Azad membawa saya mengenali dan mendekati golongan berkenaan sebelum kami sama-sama memulakan penggambaran.

"Azad juga membantu saya membetulkan sebutan dan cara percakapan kerana dia banyak berkawan dengan golongan Mamak," kata Sam.

Bagi Saleha pula, biarpun tidak pernah disatukan bersam Sam, pengalaman bekerja dengan produksi produksi Grand Brilliance sedikit sebanyak membuatkan proses penggambaran filem berkenaan berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan.

"Kami sudah ibarat satu keluarga dan saya gembira bekerjasama dengan semua yang terlibat," ujar Saleha pula.

Bercerita tentang wataknya, Saleha akui Juliana sebuah karakter yang tidak sukar untuk dijayakan.

SEKADAR nengaku sedang berkasih dengan jejaka Portugis, Siti Saleha masih berahsia tentang nama kekasihnya itu.


"Saya akui banyak menerima kritikan positif setiap kali melakonkan karakter berat contohnya dalam drama bersiri televisyen. Tapi, watak Juliana ini sangat menyeronokkan. Secara peribadi, watak itu sangat dekat dengan diri saya. Saya dapatkan rasakan persamaan di antara saya dan Juliana.

"Wataknya santai dan selamba macam saya. Kalau bawa watak berat, saya sangat bergantung kepada skrip maklumlah bahasa Melayu masih tidak berapa bagus terutama dalam bab nak tambah-tambah sendiri dialog secara spontan. Jadi, apabila bawa watak yang santai, saya tidak terlalu tertekan, ada variasi sikit," katanya yang banyak berlakon di sisi Aaron Aziz sebelum ini.

Filem Mamak Cupcake bercerita tentang MJ, seorang pemuda yang membesar dalam keluarga India Muslim. Sampai pada satu ketika, MJ merasakan dia harus mencuba sesuatu yang baharu biarpun tindakannya itu bertentangan dengan tradisi keluarga selama ini.

Menjadi salah seorang pewaris perniagaan keluarganya, MJ bagaimanapun meminati pembuatan kek cawan. Impiannya hampir tidak kesampaian sehinggalah dia dipertemukan dengan Juliana (Siti Saleha) yang menyuntik semula keghairahannya untuk merealisasikan impian.

Sam tiada masa bercinta

Mendekati ruang privasinya, anak bongsu dramatis Khaty Fauziah itu tidak terlepas daripada disuakan persoalan tentang pilihan hati. Memasuki usia 32 tahun, Sam akuinya kehidupannya sebagai orang bujang juga tidak terkecuali daripada memikirkan soal jodoh.

"Memang saya ada fikir pasal jodoh, tetapi hakikatnya saya terlalu sibuk dengan karier dan tugas sebagai pelakon sehinggakan saya tiada waktu untuk mengenali hati budi seseorang wanita dengan lebih dekat. Kehidupan sebenar saya amatlah membosankan. Banyak lagi benda lainyang harus saya dahulukan.

"Menanyakan saya tentang jodoh ibaratnya menanyakan saya tentang kematian. Bagaimanalah saya nak jawab bila dan dengan siapa," kata Sam yang dilihat semakin matang mengatur karier seninya.

Hampir setahun tidak mengambil mana-mana tawaran filem, Sam mengakui berdepan situasi tepu dan hilang keghairahan untuk menjayakan sesebuah filem.

"Rasanya saya harus mencuba sesuatu yang berlainan. Saya mahu menggali semula keterujaan untuk berlakon. Sebenarnya saya sudah lemau. Perasaan itu paling ketara dirasai tahun lepas.

"Mungkin kerana saya terlalu penat, tak cukup rehat dan itu semua berbalik kepada kurangnya persediaan untuk terlibat dengan sesebuah projek. Sebenarnya saya sudah terlalu selesa bersama MIG. Sebab itulah saya terima projek-projek filem daripada produksi lain seperti Grand Brilliance, Red Films dan lain-lain lagi sebab kalau boleh, saya tidak mahu menjadi terlalu selesa di sesebuah tempat," luah Sam.

Sambil merumuskan hampir 10 buah filem lakonannya sebagai tidak berjaya memenuhi jangkaan secara peribadi, Sam akur bahawa visual pelakon pasti berbeza dengan sudut pandang pengarah.

"Perkara itu tidak pelik dan ia berlaku kepada kebanyakan pelakon di dalam dan luar negara. Yang membezakannya cuma sejauh mana perkara itu memberi impak yang kritikal atau tidak. Sebagai pelakon, saya tidak tahu sebagus mana sesebuah filem itu jika tidak terlibat atau terjun bersama-sama," tutup Sam yang mahu kerja lakonnya menjadi satu perjalanan karier yang ikhlas untuk mencari rezeki.

Tambah pelakon yang bakal muncul dengan filem-filem seperti Manisnya Cinta Di Cappadocia, Kaki Kitai dan Gol itu, menjadi pelakon yang cenderung ke layar perak banyak mengajarnya untuk lebih menghargai peminat.

"Peminat pula ada beberapa kategori, ada peminat yang tidak peduli sama ada artis pujaannya ada produk atau tidak, ada juga peminat bermusim. Sebagai pelakon saya kena kenal peminat saya," kata Sam yang mempunyai lebih daripada 10 buah kelab peminat di seluruh negara, Brunei dan Singapura.

Cinta jarak jauh Saleha

Tidak seperti Sam, Saleha yang sentiasa murah dengan senyuman itu pula sedang bahagia merelakan rindunya berlabuh di negara orang. Cinta jarak jauh bersama pemuda Portugis kini sudah terjalin hampir setahun.

Biarpun enggan menyebut nama si jejaka yang dimaksudkan, pelakon berusia 24 itu tiada alasan untuk menyembunyikan status hati.

"Sekarang saya memang ada kekasih, seorang di luar negara dan seorang lagi di Malaysia," katanya sambil berseloroh.

"Buat masa sekarang saya gembira dengan hubungan kami tetapi belum sampai ke tahap berbincang soal kahwin. Masih ada waktu untuk ke arah itu dan saya sebenarnya tidak mahu terburu-buru," tutup Saleha.