Zimi tubuh Numerus


DARI kiri Wan, Dynda dan Zimi mengetengahkan muzik rock moden menerusi kumpulan Numerus.


KECINTAANNYA dalam bidang muzik tidak pernah pudar. Jiwa seni yang mengalir dalam diri pemuzik bernama Zimi itu jugalah yang meletakkan di mana dirinya sekarang.

Mula dikenali selepas menganggotai kumpulan Sofazr, pemilik nama sebenar Zarimi Zahari itu kini membuka portfolio baharunya.

Menubuhkan sebuah kumpulan muzik diberi nama Numerus, Zimi bersama-sama dua orang lagi rakannya, Wan dan Dynda mengangkat muzik rock moden yang cuba diketengahkannya.

"Idea untuk menubuhkan sebuah kumpulan baharu itu timbul selepas saya bertemu dengan Dynda pada satu majlis persembahan di Kuala Lumpur.

"Ketika itu, saya melihat Dynda mempunyai bakat suara dan karakter diri yang saya rasakan mampu untuk pergi lebih jauh. Apabila dia bersetuju, maka tertubuhlah kumpulan ini," katanya yang memberitahu, kumpulan tersebut mula dibentuk sejak awal tahun lalu.

Percaturan yang dibuat Zimi ternyata mendatangkan tuah buatnya. Ia terbukti apabila dalam tempoh singkat, Numerus sudah mula dikenali umum.

Mempertaruhkan single hit Satu-satunya, Numerus dilihat sudah mula membina kelompok peminat mereka tersendiri.

"Pada awalnya, kami tak sangka dapat diterima secepat ini kerana masih baru dalam industri ini. Pada saya, mungkin kekuatan lagu tersebut membuatkan mereka suka dengan muzik yang kami bawa.

"Tak kurang juga ada yang tahu lagu kami tetapi tidak tahu siapa yang ada di sebalik lagu tersebut," katanya pada satu pertemuan sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Bercerita mengenai single tersebut, menurut Zimi, lagu berkenaan mengisahkan hubungan kekeluargaan.

"Ia mengisahkan sebuah penyesalan seorang anak kepada ibu bapanya atas segala tindakan yang banyak melukakan hati kedua orang tuanya.

"Lagu ini lebih berbentuk kepada teladan dan nasihat dan bukannya mengenai cinta seperti kebanyakan lagu yang ada pada masa ini," kongsinya.

Kata Zimi, lagu Satu-satunya itu juga sudah mempunyai klip video yang boleh ditonton menerusi laman YouTube.

"Penggambaran klip video itu dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Buat masa sekarang, pendengar boleh menontonnya menerusi saluran NumerusVEVO di YouTube," ujarnya.

Sedar kehadiran band-band baharu membuatkan Numerus perlu bersaing sengit untuk terus menempa nama dalam industri muzik, Zimi menganggap itu semua sebagai satu cabaran buat diri mereka bertiga.

Atas dasar itu jugalah Zimi memberitahu, dia mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan hala tuju Numerus.

"Selain membawakan lagu-lagu bergenre rock moden, kita cuba ketengahkan imej yang berlainan dengan band-band di luar sana.

"Kebiasaannya apabila sebut rock, orang akan ingat muzik keras dengan imej yang ganas tetapi Numerus akan cuba tonjolkan sedikit kelainan dari segi imej berkenaan.

"Walaupun kami nyanyikan lagu-lagu berentak rock, tapi masih mengekalkan ciri-ciri atau identiti negara itu sendiri. Sebagai contoh, Dynda yang merupakan vokalis akan memakai pakaian yang mempunyai elemen batik dan seumpamanya," ceritanya yang memberitahu, segala perkembangan Numerus boleh diikuti di laman sosial Intagram menerusi akaun @officialnumerus.