Imbas rangkul Piala FAM 1979


KHAIDIR (duduk, empat dari kanan) bersama legenda bola sepak PKNS yang merangkul Piala FAM 1979.


PEMENTASAN teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging akan menjadi medan pertemuan legenda-legenda bola sepak PKNS Selangor yang menjuarai Piala FAM pada tahun 1979.

Tanggal 11 September merupakan tarikh keramat buat PKNS Selangor yang akan menyambut ulang tahun ke-50, sekali gus mengiktiraf 'otai-otai' pasukan itu pada pementasan teater tersebut di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas jurulatih PKNS Selangor, Datuk Khaidir Buyong yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) dan Naib Presiden Persatuan Bekas-bekas Pemain Kebangsaan.

Menurutnya, PKNS merupakan titik mula buat legenda-legenda negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan Datuk K. Rajagobal menempa nama dalam industri bola sepak tanah air.

Katanya, pengiktirafan itu bagi membalas budi legenda-legenda tersebut yang bertungkus-lumus menabur bakti kepada PKNS Selangor bagi mengecapi kejayaan pada satu ketika dahulu.

"Ia bersempena dengan perasmian sambutan 50 tahun PKNS Selangor. Tidak ada banyak program dianjurkan dan salah satunya ialah memanggil semua 'otai-otai' yang menjuarai Piala FAM pada 1979.

"Waktu itu saya sebagai pemain merangkap jurulatih. Saya ingat lagi kami bermain bermati-matian dan pusing satu negara untuk mendapatkan pendedahan dalam usaha menjuarai Piala FAM.

"Tambahan pula waktu itu kami semua tidak terkenal lagi. Kejayaan itu merupakan satu kejayaan manis buat kami hingga ke hari ini. Sebelum itu kami merupakan juara bersama dengan Persatuan India Negeri Sembilan (NSIA) pada tahun 1978.

"Jadi sempena sambutan 50 tahun ini, PKNS Selangor mahu membalas budi baik dan memberikan sagu hati kepada semua 'otai-otai' tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Antara legenda PKNS Selangor yang akan hadir ialah Khaidir, Santokh, Rajagobal, Zulkifli Norbit, Jamaluddin Norbit, Vincent Thambyrajah, Sukarni Ramly, Kua Swee Lian, Reduan Abdullah, Amdan Nawi, Mazlan Md Diah, Datuk Yap Nyim Keong, Yusof Muhammad, Hanapiah Ali, Walter Biggs dan Hamzah Hassan.

Khaidir turut menyeru pengurusan PKNS Selangor agar mengambil semula khidmat legenda-legenda itu dalam mengembalikan kegemilangan pasukan itu selepas ini.

"Mereka ini dapat melatih skuad PKNS dan membantu mewujudkan sebuah pasukan yang mantap. Cinta kami kepada PKNS tidak pernah hilang.

"Pentadbir-pentadbir terdahulu semuanya memberikan khidmat yang terbaik kepada PKNS. Kebanyakan pemain ini juga sudah menempa nama di peringkat kebangsaan. Mungkin dengan bantuan mereka, kemungkinan skuad PKNS dapat melangkah lebih jauh," jelasnya.