Ceria, periang sifat Ayda



PELAKON yang sedang meningkat naik, Ayda Jebat tidak pernah menduga dirinya akan disunting untuk menjadi duta produk lantaran karakter keanak-anakan yang dimiliki.

Justeru, apabila dihubungi melalui e-mel oleh pengasas Aurawhite Global Sdn. Bhd., Nur Furyna Mohd. Azmir berhubung perkara tersebut, beliau terus memberi respons segera.

“Sebaik membaca kandungan e-mel tersebut, saya lantas menghubungi kak Furyna untuk bertanya apakah produk yang memerlukan saya sebagai duta. Ini kerana, saya melihat kebanyakan produk Aurawhite sebelum ini lebih kepada wanita berusia.

“Justeru, apabila mengetahui mereka bakal mengeluarkan produk kolagen khas untuk remaja, sudah tentulah saya gembira kerana ia memang sesuai dengan perwatakan saya,” tutur Ayda ketika ditemui Kosmo! di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Melaka itu, dia memang mengetahui tentang kewujudan produk Aurawhite namun tidak pernah menggunakannya.

Lantaran itu, apabila dipilih sebagai duta, Ayda mengakui akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempromosikan produk tersebut.

“Jujurnya saya rasa seronok dan bertuah kerana sifat keremajaan yang ada dalam diri membuatkan pihak Aurawhite mengambil keputusan untuk memilih saya sebagai duta. Nampak comel ke saya?” katanya secara berseloroh.




Pilihan tepat

Baru mencecah usia 22 tahun, pemilihan Ayda sebagai duta produk Aurawhite Bubbly sememangnya sesuai dengan penampilan dirinya.

Apatah lagi, anak sulung daripada empat adik-beradik itu merupakan seorang yang periang dan sentiasa ceria. Jika dilihat dari susuk fizikalnya yang kecil molek, Ayda boleh dianggap seperti seorang pelajar sekolah.

“Saya sentiasa jadi diri sendiri. Apa yang anda tengok, itulah sifat saya. Kalau selalu masam muka, nanti kita akan nampak cepat tua. Sebab itulah saya sentiasa fikirkan perkara yang positif.

“Alhamdulillah, selepas melakonkan watak utama dalam drama bersiri Rindu Awak 200% bersama pelakon Zul Ariffin, ramai yang mula mengenali saya.

“Walaupun sebenarnya sudah hampir tiga tahun saya berada dalam industri seni, drama inilah yang melonjakkan nama saya. Malah, peluang bergelar duta produk ini juga satu rezeki buat saya,” ujar Ayda lagi.

Tambahnya, produk kolagen Aurawhite Bubbly mempunyai potensi untuk menjadi makanan tambahan kesihatan terbaik buat golongan remaja. Ini kerana, rasanya yang enak seperti yogurt strawberi dan mudah diambil.

AYDA akan berusaha mempromosikan kolagen Aurawhite Bubbly selepas dilantik sebagai duta.


“Selain itu, pembungkusannya juga mampu menarik perhatian pengguna untuk mencubanya. Ia hanya perlu diambil dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam.

“Pengguna hanya perlu mengambil satu skop kolagen menggunakan pencedok yang telah disediakan dan terus dimasukkan ke dalam mulut. Ia sangat mudah. Sekali rasa pasti terpikat dengan keenakan serbuk kolagen ini,” terang Ayda yang akan sentiasa memastikan Aurawhite Bubbly ada di dalam begnya untuk dibawa ke mana-mana.

Dalam tempoh sebulan dilantik sebagai duta, Ayda mengakui ada menolak beberapa tawaran lakonan semata-mata untuk memberi komitmen terhadap tanggungjawab yang dipikul di bahu. Baginya, tiada istilah main-main dalam melakukan kerja.

“Sebagai duta, saya mempunyai peranan penting untuk mempromosikan produk ini. Ia termasuklah menggunakan laman sosial sebagai medium untuk menarik pelanggan.

“Disebabkan ia satu-satunya produk kolagen untuk remaja, maka saya boleh menjualnya dalam kalangan rakan-rakan.

“Malah, saya turut meminta bantuan adik untuk mempromosikan produk ini di universiti tempatnya belajar dan ternyata ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” kata Ayda yang begitu bersemangat apabila memperkatakan tentang usahanya.

AYDA teruja apabila dipilih sebagai duta remaja bagi produk kolagen Aurawhite Bubbly.


Impian

Ditanya tentang cita-citanya sewaktu kecil, Ayda memberitahu, dia mempunyai banyak impian. Antaranya untuk bergelar juruterbang, menjadi penyanyi dan usahawan.

Namun, bagi Ayda semua manusia pasti inginkan kejayaan dalam hidup. Cuma, untuk mencapainya mereka kena tahu kemampuan diri dan hala tuju pada masa akan datang.

“Begitu juga dengan saya. Saya mahu berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Jadi, buat masa ini saya fokus pada bidang lakonan yang telah meningkatkan populariti saya hingga terpilih menjadi duta produk,” jelas Ayda mengenai matlamat hidupnya.

Sementara itu, bagi Nur Furyna, Ayda mempunyai aura tersendiri untuk melariskan produk kolagen Aurawhite Bubbly yang baru sahaja dipasarkan.

Meskipun jenama Aurawhite sudah memiliki beberapa orang duta yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air, ia bukan penghalang untuk mereka terus melantik duta baharu.

“Ini merupakan salah satu strategi pemasaran Aurawhite iaitu melalui pelantikan duta yang bertanggungjawab terhadap sesuatu produk.

“Justeru, kami tidak kisah untuk melabur sejumlah wang bagi tujuan tersebut kerana ia pasti memberikan pulangan yang lumayan,” ujar Nur Furyna.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, pihaknya sudah menjalankan kajian dan penyelidikan selama tujuh bulan sebelum menghasilkan produk Aurawhite Bubbly.

Hasilnya produk ini berkesan dalam merawat masalah kulit kusam, berminyak dan hormon tidak seimbang. Ia diformulasikan daripada kolagen, madu, ekstrak strawberi, biji anggur, vitamin C dan E yang mampu memberi kesan kepada pengguna seawal dua minggu.

“Sebenarnya dari usia remaja, kita perlu mula mengambil makanan tambahan untuk kesihatan diri dalam tempoh jangka panjang kerana kesihatan itu bermula dari dalam,” kata Nur Furyna.