Komunis serah diri selepas rundingan



TERKEDU dan terkejut. Itulah perasaan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Tan Sri Hamdan Sirat, 93, sebaik menerima surat tawaran menyerah diri daripada Ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku), Bong Kee Chok pada 20 Oktober 1973.

Surat yang ditulis sendiri Kee Chok yang mewakili Paraku iaitu sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) ditujukan kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Abdul Rahman Yaakub (kini Tun dan bekas Yang Dipertua Negeri) untuk menyerah diri dan mengadakan perjanjian damai antara komunis dengan kerajaan.

Tokoh Hari Malaysia 2012 itu berkata, mereka menerima dua surat tersebut daripada Kee Chok yang tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di hutan dan mahukan perjumpaan terbuka dengannya di Simanggang (kini Sri Aman) untuk berunding dengan Abdul Rahman.

Surat tawaran serah diri itu kemudiannya telah diterjemahkan oleh seorang penterjemah Cina yang berasal dari Hong Kong dan bekerja dengan Cawangan Khas.

"Saya masih ingat ketika itu seorang penterjemah yang bernama Chen menyerahkan terjemahan surat itu kepada saya.

"Dia (Chen) kelihatan menggigil dan hampir menitiskan air mata kerana tidak menyangka ancaman pengganas komunis di Sarawak akan berakhir.

"Sebelum negeri ini mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia pada 16 September 1963, Sarawak berdepan ancaman konfrontasi dari luar dan dalam negara," katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, baru-baru ini.

Ancaman

Mengimbas zaman kesengsaraan ketika konfrontasi Malaysia-Indonesia dan ancaman bersenjata komunis termasuk pergolakan politik sebelum ini, Hamdan memberitahu, beliau tidak pernah terlepas daripada menjadi sasaran pengganas komunis.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan semangat juang yang tinggi, pasukannya berjaya dalam usaha melemah dan menghapuskan saki-baki komunis di Bumi Kenyalang.

Sebagai orang nombor satu dalam pasukan polis di Sarawak mulai tahun 1969 hingga 1978, Hamdan menjelaskan, pengganas komunis di Simanggang yang diketuai Kee Chok semakin lemah selepas dia sendiri menghantar surat tawaran menyerah diri itu.

KEE CHOK (duduk kanan) menandatangani perjanjian perdamaian antara komunis dengan kerajaan sambil disaksikan Abdul Rahman (duduk kiri) pada 21 Oktober 1973 di Rumah Kerajaan, Simanggang (kini Sri Aman) Sarawak.


Mengakui amat terkejut dengan kemunculan Kee Chok secara tiba-tiba, namun Hamdan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan kehadiran Kee Chok.

Beliau yang berpangkat Asisten Superintendan Polis selepas mengikuti kursus di London pada 1957 itu berkata, sebaik Tun (Abdul Rahman) tiba dari Kuala Lumpur, mereka terus melakukan rundingan sepanjang malam sehingga awal pagi.

Pengganas komunis yang diketuai Kee Chok akhirnya bersetuju untuk menyerah diri secara beramai-ramai dan meletakkan senjata selain mengikuti program pemulihan anjuran kerajaan negeri masa itu.

Tarikh 21 Oktober 1973 merupakan detik bersejarah bagi kerajaan negeri yang diwakili Abdul Rahman dan Kee Chok apabila pihak komunis menandatangani perjanjian penyerahan diri selain pengisytiharan bahagian Simanggang kepada Sri Aman.

"Selepas perjanjian itu, Kee Chok masuk semula ke hutan dan seminggu kemudian dia keluar ke Sri Aman bersama sekumpulan pengganas komunis untuk menyerah diri.

"Dalam tempoh sebulan, lebih 250 pengikut Kee Chok telah keluar dari tempat persembunyian mereka dan menyerah diri dengan membawa senjata di Sri Aman," katanya masih terdapat kumpulan pengganas komunis yang berdegil dan enggan mengikut arahan Kee Chok.

Tekanan demi tekanan yang diberikan pengganas komunis itu menyebabkan Kee Chok terpaksa dibawa ke Sibu bagi memujuk kumpulan terbabit untuk meletakkan senjata serta menyerah diri.

"Kee Chok kemudian memberi amaran kepada kumpulan itu bahawa pasukan keselamatan akan menggempur sarang persembunyian mereka dalam tempoh 15 hari sekiranya mereka menyerah diri.

Bahasa

Akhirnya, kumpulan pengganas komunis di Sibu keluar untuk menyerah diri dan situasi kembali terkawal pada tahun 1974. Lebih manis, ancaman komunis terus dilumpuhkan selepas perjanjian damai pada tahun 1990.

Menurut Hamdan, antara faktor kejayaan perbincangan itu ialah bahasa pertuturan yang digunakan kedua-dua pihak adalah bahasa Inggeris.

Hamdan yang bertindak sebagai orang tengah ketika rundingan tersebut berkata, tidak mudah untuk memujuk pengganas komunis menamatkan pemberontakan mereka.

HAMDAN merupakan satu nama besar di Sarawak yang dikagumi oleh masyarakat negeri itu.


"Pada mulanya Kee Chok dan rakan-rakan tidak begitu selesa, namun melalui jaminan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh kerajaan, rundingan menjadi lebih santai dan mesra," katanya yang pernah menjawat jawatan Pemangku Yang Dipertua Negeri selama dua kali iaitu pada 1 April 1982 dan 3 Mei 1983.

Beliau turut berkongsi tentang pembentukan gagasan Malaysia pada 16 September 1963.

Terbabit dalam politik sejak pembentukan Malaysia, Hamdan berpuas hati terhadap pembangunan yang dikecapi oleh pelbagai kaum di Sarawak selepas bersama North Borneo (kini Sabah) membentuk gagasan Malaysia sejak 51 tahun lalu.

"Penyertaan kita ke dalam Malaysia adalah menerusi saluran yang betul dan mengadakan rundingan, perbincangan dan mesyuarat. Kita akur dengan hasrat majoriti untuk membentuk negara Malaysia," katanya kemerdekaan dalam Malaysia begitu bermakna bagi Sarawak dan Sabah khususnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia ke-51 tahun ini.

Retorik

Namun katanya, semua itu tidak bermakna jika nilai tersebut hanya dirasai oleh generasi dahulu dan sambutan yang diadakan hari ini hanya bersifat retorik.

"Saya tidak nampak dalam diri generasi muda hari ini yang betul-betul memiliki semangat kemerdekaan.

"Namun apa yang boleh mereka lakukan hari ini ialah tonjolkan kebolehan diri seperti rakyat dari negara maju lain agar nama Malaysia dikenali di mata dunia," kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri itu.

Sementara itu, Penyelidik Krusi Nusantara Institut Kajian Asia Timur Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, Sarawak mengalami banyak perubahan, penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan perkembangan pesat dari segi ekonomi sejak membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Katanya, rakyat di negeri ini harus berterima kasih kepada kebijaksanaan para pemimpin terdahulu yang telah berusaha membawa kemerdekaan kepada Sarawak dan penyatuan dalam Malaysia.

"Sehubungan itu, masyarakat pelbagai kaum di Sarawak harus mengekalkan penyatuan dan memelihara kemerdekaan supaya Sarawak terus maju di masa depan.

"Kerajaan telah banyak membawa perubahan dan pembangunan di negeri ini termasuk kawasan luar bandar serta pedalaman lalu membolehkan rakyat menikmati pelbagai kemudahan dan keselesaan seperti hari ini," katanya.


PEMBANGUNAN yang dikecapi oleh masyarakat Sarawak hari ini hasil perjuangan oleh pemimpin-pemimpin di negeri itu.


Awang menambah, antara pembangunan tersebut ialah pembinaan jalan bagi menghubungkan penduduk bandar, luar bandar dan pedalaman di seluruh negeri.

Dahulu hanya sebilangan kecil kawasan yang dapat dihubungi melalui jalan darat dan keadaannya juga tidak sempurna, namun selepas 57 tahun negara merdeka hampir kesemua jalan di kawasan luar bandar telah dinaik taraf.

Di samping itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih ke semua kawasan termasuk pedalaman.

"Semua ini dilaksanakan untuk memberi keselesaan kepada rakyat hasil kemerdekaan negara selama 57 tahun dan 51 tahun Sarawak dan Sabah membentuk Malaysia.

"Jadi, rakyat harus bersyukur kerana dapat hidup bersatu padu, bekerjasama, bebas bergaul sesama sendiri tanpa rasa wasangka antara mereka," katanya.

Rakyat negeri ini juga tambahnya, berpeluang mendapat pendidikan termasuk di kawasan pedalaman.

Katanya, pembangunan ekonomi negara yang pesat sejak bebas daripada cengkaman penjajah juga telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kepada penduduk setempat.

"Ia sekali gus melonjak kualiti hidup rakyat dan mempercepatkan impian Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.