JAIM cari pengikut ajaran sesat mirip 'Hakikat Insan'

17/09/2014 5:58pm

JASIN - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang mengesan saki-baki pengikut ajaran sesat mirip ajaran ’Hakikat Insan’ yang dipercayai berada di seluruh negara untuk membolehkan mereka menjalani pemulihan akidah.

Ketua Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, pengikut amalan itu dipercayai terlibat dengan pelbagai amalan bertentangan Islam termasuk terbabit aktiviti pemujaan makhluk halus dan pertabalan dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai wujud sejak 10 tahun lepas dan mempunyai pengikut di seluruh negara dengan lokasi terakhir dilaporkan aktif di Batu Pahat, Johor sebelum berpindah ke Melaka tahun lepas.

“Semua pengikut kumpulan ini digesa menghentikan segala amalan yang dilakukan kerana ia memesongkan akidah selain perlu segera bertaubat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JAIM di sini, hari ini.

JAIM menerima enam laporan polis berhubung ajaran itu di Melaka daripada pengikut yang pernah menyertai kumpulan itu. - Bernama