Jejantas monorel Stesen KL Sentral dibuka sepenuhnya hari ini

20/09/2014 8:28pm

KUALA LUMPUR - Laluan jejantas yang menghubungkan penumpang monorel terus ke platform Stesen KL Sentral dibuka sepenuhnya mulai hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail untuk Laluan Monorel, Abdul Hadi Amran berkata, jejantas di pusat membeli belah Nu Sentral itu menyediakan laluan terus ke platform monorel Stesen KL Sentral selain memberi pelbagai kemudahan seperti tambahan enam mesin membeli tiket dan 10 pagar memasuki platform.

"Pengunjung dari pusat membeli-belah Nu Sentral khususnya yang menggunakan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya boleh terus ke platform (monorel) tanpa perlu turun naik eskalator dan tangga untuk memasuki stesen,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai penumpang menggunakan monorel Stesen KL Sentral selepas pembukaan jejantas di Nu Sentral itu.

Katanya, kira-kira 10,000 penumpang menggunakan Stesen KL Sentral setiap hari dan menjadikan ia stesen kedua sibuk dalam perkhidmatan monorel selepas Stesen Bukit Bintang.

Tambah Abdul Hadi, selain menyediakan elemen ketersambungan, RapidKl turut menyediakan kemudahan penggunaan satu tiket dikenali Kad MyRapid untuk semua rangkaian LRT, monorel dan bas.

"Kami berharap dengan pelbagai tambahan kemudahan untuk penumpang RapidKl khususnya monorel dan LRT, lebih ramai lagi akan menggunakan pengangkutan awam,” katanya. - Bernama