Wajah ibu kota bak bandar di Eropah



SUASANA di bandar raya Kuala Lumpur dipenuhi orang ramai yang berjalan-jalan sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan reka bentuk bangunannya.

Selain mempunyai kawasan pejalan kaki yang selesa dan selamat, ibu negara Malaysia itu turut dipenuhi dengan tumbuhan hijau dan landskap yang mengasyikkan.

Warga kota seakan-akan sedang berada di Jalan La Ramblas di Barcelona, Sepanyol; Le Faubourg di Paris, Perancis atau di Budapest, Hungary.

Itulah impian Pengasas dan Pengarah Urusan Arkitek Jururancang Malaysia Sdn. Bhd. (AJM), Tan Sri Esa Mohamed ketika ditanya mengenai senario di Kuala Lumpur dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Esa, 67, menyuarakan pandangan itu selepas beliau dilantik menjadi Presiden Kesatuan Arkitek Antarabangsa (UIA) bagi penggal 2014-2017 pada 9 Ogos lalu.

Anak kelahiran Semerah, Johor itu memahat sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia dan Asia pertama diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan paling berprestij di peringkat global itu.

Esa berkata, beliau mempunyai visi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar dalam taman yang sangat unik, mesra pengguna dan mengutamakan budaya serta dibina dengan seni bina arkitektual yang menarik.

Segala-galanya akan menjadi kenyataan sebaik dua projek mega iaitu Transit Aliran Massa (MRT) dan Tun Razak Exchange (TRX) siap sepenuhnya.

Pelan Greater Kuala Lumpur yang diperkenalkan pada tahun 2010 menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) pula menyaksikan pembangunan di ibu negara itu dijalankan secara lebih tersusun di kawasan-kawasan strategik seperti sekitar Jalan Ampang, Bukit Bintang dan Lebuh Pasar.


KUALA LUMPUR mengalami banyak transformasi dalam proses menjadi sebuah bandar raya terkenal di dunia.


“Kuala Lumpur akan dipenuhi dengan udara yang segar, terdapat banyak pokok dan kawasan hijau.

“Uniknya, pembangunan di Kuala Lumpur sudah ditetapkan dan ia mengikut perancangan serta sedang menuju ke arah itu.

“Fasa pertama mengambil masa selama lima tahun dan ia akan siap sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nama Esa cukup terkenal dalam dunia arkitek kerana beliau merupakan watak penting di sebalik beberapa projek perancangan dan seni bina berprestij seperti Perbandaran Subang Jaya, Pelan Induk Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Pahang, Pelan Induk Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur, Datai Bay Resort Langkawi, Mid Valley City dan The Gardens, Sunway Pyramid, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buluh dan yang terbaharu adalah Pelan Induk TRX.

Selain itu, beliau turut terbabit dalam beberapa projek gergasi di China, Pakistan dan Arab Saudi.

Tetap sama

Bekas Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) itu berkata, Kuala Lumpur telah melalui transformasi sejak kali pertama beliau menjejakkan kaki pada tahun 1967.

Katanya, pada ketika itu, Jalan Sultan Ismail masih menggunakan jalan lama, suasana malam yang gelap dan dipenuhi pokok-pokok manakala Lebuh Raya Persekutuan menjadi jalan perhubungan utama antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.


JALAN La Ramblas menjadi destinasi utama pelancong di Barcelona, Sepanyol.


Keadaan itu masih tidak berubah apabila beliau kembali ke Kuala lumpur selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah di Universiti Sydney, Australia (1976).

Namun, sejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan gagasan Wawasan 2020 pada tahun 1991, seluruh negara melalui pertumbuhan yang pesat terutama di bandar raya Kuala Lumpur.

Transformasi tersebut turut menyaksikan terbinanya mercu tanda pencakar langit Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur sekali gus melonjak nama Malaysia.

Pembinaan beberapa bangunan moden milik syarikat-syarikat multinasional (MNC) yang berpangkalan di negara ini turut berfungsi mengangkat imej Kuala Lumpur di mata masyarakat global.

Sepanjang tempoh 23 tahun, Kuala Lumpur bertukar wajah dan menjadi lebih maju berbanding beberapa bandar raya utama di rantau Asia.

Esa berkata, TRX bakal menyaksikan pembangunan di ibu negara dijalankan secara lebih tersusun di kawasan-kawasan strategik seperti sekitar Jalan Ampang, Bukit Bintang dan Lebuh Pasar.

Persekitaran yang bersih, keindahan landskap dan keadaan jalan raya tidak sesak merupakan ciri-ciri keselesaan yang diimpikan oleh setiap warga kota.

Pusat bandar

“Kami perlu mengenal pasti spesies tumbuhan yang sesuai ditanam di kawasan bandar. Ia bertujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya dalam taman yang memberi keselesaan kepada warga kota.

“Pokok-pokok yang ditanam di sepanjang laluan pejalan kaki di sekitar Lebuh Pasar, Bukit Bintang serta Jalan Ampang menggalakkan orang awam untuk tidak menggunakan kenderaan di pusat bandar,” jelas Esa.

Bermula dari Jalan Ampang, warga kota akan berjalan kaki, berbasikal atau menaiki trem menuju ke pusat bandar terutama Bukit Bintang yang akan menjadi ikonik baharu Kuala Lumpur selepas Menara Berkembar Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut Esa, tidak ada kereta atau kenderaan awam yang lain. Semua orang hanya berjalan kaki.

“Laluan MRT pula dibina di atas sungai bagi membolehkan orang ramai termasuk pelancong menikmati keindahan sungai tersebut.

“Warga kota seakan-akan sedang berjalan di Jalan La Ramblas di Barcelona, Sepanyol; Le Faubourg di Paris, Perancis atau di Budapest, Hungary,” katanya.

Bagaimanapun, Esa tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas Pelan Induk Pemulihan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang diilhamkan pada tahun 1978 tidak mencapai sasarannya.

Katanya, pihak berkuasa tempatan terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengkaji semula pelan pemulihan itu.

Esa berkata, para pemaju yang ingin membina bangunan berhampiran sungai disyarat menyediakan pelan penjagaan sungai termasuk tidak membenarkan pemaju membina bangunan pada jarak kurang daripada tiga meter daripada tebing sungai.

Warisan


TRX akan membangunkan tapak seluas 28.3 hektar di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.


“Seni bina bangunan pula mesti mengambil kira keperluan untuk memastikan sungai terpelihara daripada risiko pencemaran seperti menyediakan persekitaran mesra alam.

“Sungai perlu berada di hadapan semua aktiviti perniagaan dan pembangunan. Kalau kita meletakkan sungai di belakang bangunan, maka itulah yang kita dapat.

“Kombinasi antara program penghijauan kawasan awam, pemulihan bangunan warisan dan pengindahan semula sungai memainkan peranan penting dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang sihat,” katanya.

Beliau berkata, DBKL perlu mencontohi Sungai Thames di kota raya London, Britain yang kekal sebagai sungai kawasan bandar paling bersih di dunia selama dua dekad berturut-turut.

Pemandangan daripada bangunan Parlimen dan Sungai Danube di Budapest, Hungary turut diiktiraf sebagai yang terindah di dunia.

Pada masa yang sama, Esa mendedahkan bahawa cabaran pada masa akan datang lebih tertumpu untuk memastikan semua warga kota memiliki rumah sendiri.

Nilai rumah akan melambung tinggi kerana kawasan itu menjadi tumpuan pembangunan dan tidak mustahil hutang rumah akan diwarisi oleh generasi kedua.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu tegas, memperkasa dan memperkemaskan operasi dalam menangani kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI).

PATI terutama dari negara-negara Afrika yang melanggar peraturan boleh menjejaskan keselamatan negara sekiranya penguatkuasaan lemah dan dilakukan sambil lewa.