Bila Shuib, Syuk jadi gangster


SHUIB yang memegang watak Loqman memberitahu, dia tidak mahu lagi melakukan adegan intim di dalam filem lakonannya pada masa akan datang. Adegan intim bersama Zarina Anjoulie di dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut merupakan adegan terakhir lakonannya yang bersifat sedemikian.


PENGALAMAN dimarahi oleh pengarah terkenal Mamat Khalid merupakan momen yang tidak boleh dilupakan dalam kerjaya pelawak Shuib Sepahtu dan Syuk Balas.

Bagaimanapun mereka dimarahi demi mendapatkan hasil lakonan terbaik dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut arahan Mamat Khalid.

“Bayangkan, dalam masa seminggu berada di set penggambaran saya masih buntu bagaimana untuk melakonkan watak Loqman.

“Sampai satu tahap saya dimarah teruk oleh Mamat Khalid dan dia tidak mahu bercakap dengan saya seharian. Semuanya kerana lakonan saya tidak menepati piawaiannya,” kata Shuib.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata filem tersebut merupakan filem paling sukar pernah dilakonkan.

Bukan itu sahaja filem yang diklasifikasikan sebagai 18 (untuk tontonan 18 tahun ke atas) itu bertambah sukar buat Shuib apabila terdapat adegan intim bersama pelakon Zarina Anjoulie.

“Jujurnya, filem ini terlalu sukar untuk saya. Setiap hari sebelum masuk ke set penggambaran saya jadi takut sebab bimbang lakonan saya tidak memuaskan hati Mamat Khalid.

“Adegan intim bersama Zarina Anjoulie juga terlalu sukar untuk saya. Waktu melakukan adegan itu saya teringatkan isteri di rumah. Saya bimbang Sarah akan marah dan tekaan saya betul selepas dia sendiri melihat adegan itu.

“Bagaimanapun selepas melihat keseluruhan filem tersebut, dia okey dan memahami tuntutan kerja saya sebagai pelakon,” kata Shuib yang juga suami kepada penyanyi Siti Sarah.

Namun, tegas Shuib, filem tersebut merupakan filem terakhirnya melakon adegan intim.

“Sebelum ini saya pernah juga melakonkan adegan intim dalam filem Man Sewel. Sudah cukup untuk saya melakonkan adegan seperti itu.

“Selepas ini saya harus bertanya kepada pengarah terlebih dulu. Bukan saya tunjuk pandai tetapi status saya sebagai suami dan bapa kepada dua orang anak adalah tidak wajar untuk melakonkan adegan sedemikian,” kata Shuib.

Syuk Balas atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar bukan pertama kali bekerja dengan Mamat Khalid.

Sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan pengarah itu menerusi program Salam Pantai Timur dan Zombie Kilang Biskut. Menyifatkan Mamat Khalid sebagai guru terbaik dalam lakonan, Syuk tidak kisah dimarah teruk.

“Semua orang tahu hasil kerja Mamat Khalid. Jadi apabila saya mendapat tawaran untuk berlakon di bawah arahannya, ia umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

“Saya memang teringin sangat bekerja dengan beliau dan filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut merupakan filem pertama saya bekerja dengan Mamat Khalid sebelum Zombie Kilang Biskut,” jelas Syuk.


DARI kiri: Shuib, Kuni, Nadia Mustafar dan Syuk, masing-masing memainkan karakter yang mengujakan di dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut arahan Mamat Khalid.


Nampaknya, Syuk selesa bekerjasama dengan Mamat Khalid kerana terdapat dua buah filem lakonannya di bawah arahan pengarah berkenaan yang belum keluar di pawagam iaitu Rumah Pusaka Di Simpang Jalan dan Amukan Buas Frankenstein Tempatan.

“Bagi saya beliau seorang pengarah yang bijak membentuk karakter pelakonnya. Dia tidak mahu lihat Syuk Balas dalam filemnya, sebaliknya dia mahu lihat Amir ketika saya berlakon dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

“Selepas penggambaran selesai, saya mengambil masa dua bulan untuk berpisah dengan watak Amir. Ketika berlakon terdapat kebiasaan yang dicipta khas untuk watak Amir iaitu mulut saya akan terbuka umpama mulut ikan setiap kali selesai melontarkan dialog. Kebiasaan itu terbawa-bawa sehingga habis penggambaran,” ujar Syuk.

Selain Shuib dan Syuk, filem tersebut juga dibintangi oleh Kuni atau Tengku Sariwani dan Nadia Mustafar.

Mereka berdua memegang watak gengster wanita dan hanya muncul dalam beberapa adegan sahaja.

“Saya terima tawaran untuk berlakon kerana tahu walaupun muncul dalam tiga adegan sahaja tetapi watak saya akan diingati oleh penonton. Paling menarik saya akan berlawan dengan Kuni dalam filem ini.

“Sama seperti saya berlakon dalam filem Man Laksa. Watak Yah Koboi diingati sehingga hari ini. Itulah keistimewaan Mamat Khalid,” ujar Nadia yang memegang watak sebagai Popinjey.

Kuni turut berkongsi pengalamannya berlakon di bawah arahan Mamat Khalid. Sebelum ini dia pernah terlibat dengan filem Lang Buana juga arahan pengarah tersebut.

Ibu kepada tiga orang anak itu menjelaskan filem tersebut merupakan filem paling menarik pernah dilakonkannya.

“Filem ini amat berbeza dengan filem komedi lain. Pelakon utamanya pelawak tetapi mereka memegang watak serius dan jalan ceritanya juga amat menarik.

“Saya difahamkan kebanyakan lokasi penggambaran filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut yang dilakukan di Ipoh, Perak merupakan lokasi sebenar gangster zaman dahulu di Perak berkumpul.

“Paling saya seronok, pastinya adegan berlawan dengan Nadia. Penonton pasti teruja melihat adegan aksi yang dihidangkan dalam filem ini,” kata Kuni.

Filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut yang diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn. Bhd. ini mengisahkan tentang dua sahabat baik yang cuba merompak kedai kecil untuk mencari wang sebanyak RM30,000 sebagai syarat untuk keluar daripada kumpulan gengster yang disertai mereka.

Filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 25 September ini.