Kualiti hebat ALPKL


FILEM Amir & Loqman Pergi ke Laut menjadi filem pertama arahan Mamat Khalid yang menggunakan kehidupan orang bandar sebagai latar cerita.


GENRE komedi aksi merupakan salah sebuah genre yang sering menjadi tumpuan pengarah dan penerbit untuk diangkat dalam naskhah filem mereka. Namun, gabungan dua elemen ini adakalanya agak sukar untuk digarap memandangkan ia melibatkan dua elemen yang berbeza.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, banyak pengarah dilihat menerbitkan filem bergenre tersebut. Bermula dengan kejayaan filem Mael Lambong pada tahun 2012 yang mengutip RM4.88 juta, filem bergenre ini terus menapak mendapatkan tempatnya yang tersendiri dalam arena perfileman tempatan.

Melihat kepada potensi filem bergenre tersebut, pengarah tersohor menerusi sekuel filemnya Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid tampil dengan naskhah terbaharunya berjudul Amir & Loqman Pergi Ke Laut (ALPKL).

Walaupun ia merupakan eksperimentasi pertama Mamat Khalid bermain dengan genre sedemikian, ALPKL menampilkan sisi baharu Mamat yang ternyata berkebolehan menerajui filem sedemikian dengan baik. Keseimbangan elemen antara komedi dan aksi berjaya diadun dengan baik oleh Mamat.

Peranan yang dimainkan oleh semua pelakon juga dilihat seimbang dan tidak keterlaluan. Pujian harus diberikan kepada dua teraju utama filem ALPKL iaitu Shuib melakonkan watak Amir dan Syuk sebagai Lokman.

Walaupun kali pertama bekerjasama dengan pengarah yang popular dengan pemikiran yang 'gila-gila', mereka dapat mengekalkan momentum dan berjaya membawa watak seorang gengster yang serius dengan baik.

Selain itu, elemen humor yang bersahaja juga berjaya mencuit hati, biarpun lawak yang diketengahkan agak sinis namun ia kena pada tempatnya dan tidak mengganggu keseluruhan jalan penceritaan.


DARI KIRI: Pelakon Kuni yang melakonkan watak Kak Mata Sedih dan Nadia Mustafar (Kiah Koboi) beraksi cemerlang sebagai gengster wanita yang digeruni.


Penggunaan kamera berprestasi tinggi Phantom juga ternyata memberi impak yang sangat menarik terhadap filem tersebut. Kamera yang berkebolehan memperlahan gerakan pantas itu nyata merupakan sesuatu yang baharu dalam industri perfileman Malaysia.

Efek tersebut jelas terlihat pada babak pergaduhan antara pembunuh upahan dan juga salah seorang ketua gangster Abang Manja (Dewa Sapri) mampu memberi satu pengalaman baharu kepada penonton.

Diangkat daripada kisah sebenar yang berlaku di Ipoh, Perak sekitar era 80-an, ALPKL mengisahkan sepasang sahabat baik Amir dan Loqman yang ingin keluar daripada sebuah kumpulan gengster (Geng 747).

Mereka terpaksa menempuh bermacam-macam rintangan untuk meninggalkan dunia hitam tersebut, antaranya termasuklah cuba untuk merompak kedai-kedai kecil seperti kedai kredit kerana tuntutan yang memaksa mereka membayar RM30,000 setiap seorang sebagai syarat untuk keluar daripada kumpulan berkenaan.

Plot penceritaan menjadi semakin menarik apabila timbul watak-watak sampingan yang sinonim dengan filem Mamat termasuk watak Big Joe (Soffi Jikan), Balqis (Zarina Anjoulie), Chatchai (Kazar) dan Doktor Murad (Rashidi Ishak).

Secara keseluruhan, ALPKL merupakan sebuah naskhah biasa seperti filem yang seangkatan dengannya. Namun, sentuhan Mamat telah membuatkan filem tersebut lebih menonjol berbanding filem lain. Gabungan dua elemen, aksi dan humor diadunkan dengan baik oleh Mamat dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri. Idea-idea bernas dan di luar jangkaan dilihat mampu menandingi filem antarabangsa yang bergenre sama termasuk filem Kungfu Hustle..