Perginya genius perfileman Melayu


JENAZAH Allahyarham Datuk Jamil Sulong disembahyangkan di Masjid Al-Gufran, Taman Tun Dr. Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Pahang.


KHALAYAK pernah menangisi kehidupan anak-anak yang kehilangan ibu bapa dalam Sayang Anakku Sayang. Hampir semua daripada penonton filem Melayu juga pernah mendasari perit dan traumanya hidup sang anak tiri dalam Lela Manja. Kita juga pernah dijamu dengan rapuhnya hati dan kentalnya rajuk sang ibu dalam Batu Belah Batu Bertangkup.

Itu semua saksi kepada karya dan persembahan seorang pengarah, seorang sutradara tersohor dan seorang legenda perfileman Melayu yang bernama Datuk Jamil Sulong.

Pada zaman kegemilangannya, beliau antara anak Melayu yang berjaya melekatkan pengaruh besar kepada sejarah sinema tempatan. Hampir sedarjat dengan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, Jamil ialah angkatan baharu apabila menjadi pengarah Melayu yang ketiga diberi kepercayaan sebagai pengarah Melayu di Malay Film Production, di Singapura selepas P. Ramlee dan Raja Mahadi.

Kesenimanan dan pengarahan Jamil terlihat melankolik berdasarkan karya- karyanya memaut rasa cinta, kasih sayang dan kekeluargaan yang menebal.

Lihat sahaja judul-judul filemnya, Batu Belah Batu Bertangkup, Lela Manja, Si Tanggang, Bidasari, Sayang Anakku Sayang, Jasmin, Ranjau Sepanjang Jalan, Dendang Perantau, Kaca Permata, sekadar menyebutkan beberapa judul, kisah-kisah dalam penceritaan Jamil kebanyakannya mampu menitiskan air mata.

Tidak sekadar itu, kreativiti suami kepada Seniwati Datuk Rosnani Jamil itu juga terlihat dalam penghasilan filem-filem keagamaan. Isi Neraka barangkali menjadi tajuk paling layak untuk dirujuk sebagai filem Melayu klasik berbentuk keagamaan yang boleh diangkat sebagai masterpiece genre itu buat Jamil.

Allahyarham merupakan pengarah filem Melayu yang kedua paling banyak mengarah filem, namun filem-filem beliau yang telah merangkul anugerah filem paling banyak di persada antarabangsa.

Filem Ranjau Sepanjang Jalan yang diterbitkan pada 1983 contohnya, pernah menerima Anugerah Cerita Luar Bandar Terbaik semasa Pesta Filem Asia Pasifik ke-28 di Taipei, Taiwan pada 1983.

Jamil juga seorang yang cukup mahir dalam penulisan yang puitis. Di samping S. Sudarmaji, Jamil menjadi antara penulis lirik kegemaran P. Ramlee menerusi guba- han beliau dengan judul-judul seperti Berkorban Apa Saja, Tiada Kata Secantik Bahasa dan Azizah yang dijadikan lagu filem Penarik Becha. Lirik-lirik lain yang pernah dihasilkan Jamil termasuklah Merak Kayangan, Tiru Macam Saya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Kaca Permata ialah sebuah filem Melayu terbitan 1966. Filem arahan Jamil Sulong itu dibintangi oleh Ahmad Daud, Haji Mahadi, Mariani dan Jins Shamsuddin.

Kaca Permata juga diabadikan Jamil menerusi sebuah buku dengan judul yang sama pada tahun 2008. Menerusi buku yang diberi judul Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah itu, Jamil melihat dan memapar- kan segala-galanya tentang dunia perfile- man Melayu dalam jangka masa 50 tahun.

Kejayaan penulisan buku itu amat berhubung rapat dengan keterlibatan Jamil sendiri dalam bidang perfileman selama berpuluh tahun.

Sebuah lagi buku yang dihasilkan oleh Jamil berjudul Warisan Dan Wawasan, juga diterbitkan pada tahun 2008. Buku itu merupakan himpunan riwayat hidup Jamil sendiri yang bermula daripada kisah datuknya Mansor Arshad, penghulu di sebuah kampung bernama Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka yang berhijrah ke sebuah kampung di Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Beliau dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat pada 6 Ogos 1926


BERMULA dengan Jiwa Lara (1952) sebagai penolong pengarah, Datuk Jamil Sulong seterusnya menjadi pengarah filem Melayu berprofil tinggi dengan menghasilkan sebanyak 30 buah judul filem.


Dalam buku tersebut, Jamil turut menceritakan pengalaman sewaktu pemerintahan Jepun apabila pengganas menyerang kampung, membakar rumahnya dan membunuh banyak ahli keluarganya serta kemunculan Kiai Salleh dengan selempang merahnya.

Beliau turut aktif menulis cerpen, sajak dan komik dan terlibat menubuhkan persatuan penulis ASAS 50 di Singapura dan Ikatan Persuratan Melayu di Melaka bersama dengan Usman Awang, Yusof Harun, Mokhtar Yasin dan banyak lagi.

Semasa menjadi penolong pengarah filem di Singapura pada tahun 1951, beliau bertemu dan berkahwin dengan Rosnani sebelum dilantik menjadi pengarah filem pada November 1958. Beliau ikut menubuhkan persatuan artis PERSAMA, bersama dengan P. Ramlee dan artis lain di Jalan Ampas.

Pada tahun 1967, Jamil berpindah semula ke Malaysia setelah 16 tahun di Singapura. Beliau seterusnya mencatatkan pengalaman dalam bidang perfileman yang merupakan nadi kehidupannya.

Jamil meneruskan perjuangannya dalam filem secara aktif hingga tahun 1997 dengan filem terakhirnya, Raja Melewar.

Penghasilan kedua-dua buah buku berkenaan jelas memancarkan ketokohan Jamil sebagai salah seorang ikon perfileman negara, bahkan betapa Malaysia sudah lama melahirkan seorang seniman yang bukan sahaja berkaliber, malah mempunyai pemikiran dan buah akal yang genius.

Secara peribadi, Lubalang Daik antara buah tangan klasik daripada Jamil yang begitu disenangi. Filem lakonan Jins Shamsudin, Rosnani, S. Kadarisman, Sari- mah serta Aziz Jaafar menyerlahkan kepincangan pemimpin dalam pemerintahan. Dendam yang akhirnya membawa padah, namun akhirnya semua harus akur kepada hukum karma.

Seperti mana usia yang tidak mampu ditunda, manusia juga tidak akan hidup selama-lamanya. Tiba masa, seorang legenda harus dikenang dengan sebuah pemergian yang menyentap perasaan.

Pada usia 88 tahun, Allahyarham Jamil yang sebelum ini koma sejak dimasukkan ke hospital pada 28 Ogos, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.35 malam, Khamis lalu.

Sugul namun reda, balu yang ditinggal- kan, Datuk Rosnani Jamil yang lebih mesra dibahasakan Mak Nani ialah insan yang paling terkesan dengan pemergian Jamil. Allahyarham turut meninggalkan empat orang anak, Murniati (60), Arjunaidi (57) Anwardi (55) dan Asnardi (48) serta lapan orang cucu.

Berlatarkan Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, berdekatan dengan kediaman beliau semasa hayatnya, jenazah Allahyarham Jamil Sulong selamat disemadikan selepas solat Jumaat pada 26 September lalu.

Bersamaan tarikh 1 Zulhijah 1435 Hijrah, semoga roh Jamil Sulong diangkat bersama kalangan insan yang dikasihi Allah. Al-Fatihah.