Sazali sedia curah pengalaman lahir jaguh baharu


SAZALI sentiasa mengutamakan bentuk badan yang cantik bagi membolehkannya memberi persembahan terbaik dalam setiap kejohanan yang disertainya.


SAZALI Samad, satu nama yang sudah tidak asing lagi dalam arena sukan bina badan tempatan.

Siapa sangka daripada seorang pemain sepak takraw sewaktu zaman sekolahnya, kini beliau dijulang sebagai Mr. Universe bukan untuk kali pertama tetapi sudah memenanginya sebanyak kesembilan kali. Ia satu pencapaian yang pastinya sukar ditandingi mana-mana ahli bina badan, sehinggakan beliau kini diangkat sebagai idola generasi muda yang mahu memiliki badan sasa atau ‘Abang Sado’.

Wartawan sukan Kosmo! Ahad, TAUFIK SALIMIN berpeluang menemu bual jaguh berusia 45 tahun itu bagi mengetahui lebih lanjut pahit manis dan harapannya sepanjang kariernya sebagai ahli bina badan.

BOLEH ceritakan sedikit, mengapa Sazali memilih untuk menyertai sukan bina badan berbanding sukan-sukan lain?.

SEBENARNYA sebelum menceburi sukan ini, saya merupakan seorang pemain sepak takraw sejak daripada bangku sekolah lagi, malah sudah banyak menempa kejayaan dalam sukan sepak takraw.

Tetapi, semuanya berubah pada tahun 1987 apabila melihat, Malek Noor (kini Datuk) memiliki susuk tubuh badan yang sasa, cantik dan mantap.

Ini secara tidak langsung mendorong saya untuk mengetahui bagaimana beliau memiliki tubuh badan seperti itu sehinggakan saya memotong keratan-keratan akhbar yang menyiarkan berita mengenai kejayaan beliau lalu menyimpannya sebagai koleksi.

Selepas itu, saya mula melakukan sedikit senaman dengan membuat sendiri dumbell yang diperbuat daripada tin milo diisi dengan bancuhan simen dan melakukan senaman membina otot setiap hari.

Kemudiannya, abang saya menawarkan kerja di kuala Lumpur. Dari situ, saya mula menjadikan beliau sebagai inspirasi dan idola dan sehingga ke hari ini, saya terus aktif dalam sukan ini disebabkan dirinya.

Memang tidak dinafikan, pada era 1980-an, Malek Noor cukup efisen dan banyak menempa kejayaan dalam sukan ini.

APAKAH pencapaian pertama dan seterusnya dalam sukan ini?

SELEPAS melalui pelbagai cabaran dan kesusahan, Alhamdulillah pengorbanan saya berbaloi apabila berjaya memenangi gelaran Mr. Selangor/Kuala Lumpur pada tahun 1989 dan selepas itu berjaya memenangi gelaran Mr.Malaysia pada tahun 1991 untuk kategori flyweight (60kg).

Selepas itu, saya secara perlahan-lahan menanam azam untuk mencipta lebih banyak kemenangan domestik dan antarabangsa sehinggalah lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1996, saya memenangi Mr. Asia buat kali pertama di New Delhi, India.

Kemudian, tentunya kejayaan paling manis apabila berjaya meraih gelaran Mr.universe buat kali pertama pada tahun 2000 di Melaka dan kali terakhir adalah pada bulan lalu yang juga kemenangan kali kesembilan Mr. Asia di Macau.

SAYA percaya anda berdepan dengan banyak cabaran. Justeru, apakah cabaran yang paling meninggalkan kesan dan bagaimana anda mengatasinya?.

SEJUJURNYA saya berkata, bukan mudah untuk meletakkan diri saya seperti hari ini. Saya melalui pelbagai cabaran tetapi yang paling memberi kesan semestinya kewangan dan faktor persekitaran.

Ini kerana, saya perlu mengurangkan berat badan, mengamalkan pemakanan sihat malah menjalani sesi latihan di luar negara semata-mata untuk memiliki tubuh ideal yang betul-betul boleh menarik perhatian juri ketika bertanding.

Macam kewangan, saya perlu mencari penajaan kerana untuk mendapatkan bahan makanan tambahan (supplemen) sukar kerana harganya mahal tetapi saya sedikit berkorban dal alhamdulillah sekarang saya cukup berpuas hati kerana usaha keras selama ini sentiasa membuahkan hasil.

SETIAP kali bertanding, Sazali Samad seperti tiada tandingan dan adakah Sazali sentiasa menjangkakan yang kemenangan akan berpihak kepada anda?

KALAU mahu meraih kemenangan di peringkat Asia, ia bukan perkara mudah kerana pesaing-pesaing cukup hebat apatah lagi di peringkat dunia tetapi saya selalu percaya kepada diri bahawa saya boleh melakukannya.

Paling penting sekali, saya memang tidak pernah mudah kenal erti putus asa dan perkataan itu memang tiada dalam kamus hidup saya.

Apabila saya bertanding saya hanya percaya kepada diri, fokus dan mahu memberikan aksi terbaik kerana saya menyedari pesaing-pesaing saya juga mempunyai kelebihan tersendiri. Kadang-kadang saya ada buat jangkaan, malah penyokong, persatuan dan keluarga juga ada buat jangkaan tetapi adakalanya ia meleset seperti sebelum ini saya pernah mendapat pingat perak biarpun sebelum itu saya mengungguli Mr. Universe.

Namun, selagi ada jiwa dan percaya pada diri, saya sentiasa boleh melakukannya.

PASTINYA ada sesuatu yang diidamkan dalam koleksi kejuaraan Sazali, boleh jelaskan apa lagi misi besar yang belum tercapai dan mahu melakukannya?

SUDAH semestinya saya mengidam untuk beraksi di Sukan Olimpik tetapi itu tidak mungkin berlaku. Namun, saya terus mengharapkan agar suatu hari nanti dapat beraksi di Olimpik dan pastinya sayalah orang yang paling bersemangat untuk beraksi di sana.

Ia cukup berprestij dan menjadi impian setiap atlet untuk beraksi di Olimpik termasuklah pemain skuasy wanita negara, Datuk Nicol David.

Siapa yang tidak mahu mencipta nama di Olimpik. Jadi, saya berharap agar sukan bina badan ini akan diserapkan di peringkat Olimpik dan saya mahu menyertainya.

ADAKAH Sazali terkilan kerana bina badan tidak disenaraikan dalam sukan Olimpik?

SUDAH semestinya saya terkilan dan kecewa tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Isu ini begitu susah untuk dihuraikan kepada umum, malah saya yakin ramai lagi ahli bina badan dunia kecvewa kerana gagal beraksi di Olimpik.

Bagaimanapun, saya akur dengan keputusan tetapi seperti saya katakan, harapan itu terus dinyalakan.

BERALIH kepada perkembangan sukan bina badan tempatan, bagaimana Sazali melihat perkembangan ini di Malaysia?

SAYA boleh katakan ia semakin berkembang dan semakin ramai anak muda pergi ke pusat-pusat senaman untuk membina otot badan.

Cumanya, mereka kekuarangan latihan intensif yang mana kalau ada cara yang betul, saya yakin mereka boleh pergi jauh.

Lagipun, di Malaysia, sudah banyak pertandingan mencari pelapis-pelapis baharu dan ini sesuatu yang positif. Saya yakin selepas ini akan ada Sazali Samad dua dan saya sudah tidak sabar untuk melihat potensi-potensi baharu ini beraksi.

MELIHAT kepada pencapaian anda yang cukup membanggakan, saya percaya ramai yang mengimpikan untuk berlatih di bawah kendalian anda, adakah anda sudah bersedia untuk berkhidmat sebagai jurulatih profesional?

SEKIRANYA ada tawaran, mengapa tidak?. Ini juga menjadi misi saya kerana mahu membantu pendatang-pendatang baharu ini mendapatkan latihan seperti yang saya terima suatu ketika dulu.

Saya bersedia untuk menjadi jurulatih dan tidak sabar untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Cumanya, saya mahukan mereka ini aada matlamat dan bukannya berlatih sehari dua sahaja selepas itu meraih kemenangan dan seterusnya meninggalkan sukan ini. Ini budaya yang negatif dan sangat tidak memajukan sukan ini.

BAGAIMANA anda melihat masa depan sukan bina badan di Malaysia?

IA semakin positif dan banyak perkara menarik yang berlaku. Saya yakin, sekiranya ada program pembangunan berterusan seperti klinik, seminar atau pertandingan-pertandingan domestik, kita akan mempunyai ahli-ahli bina badan bertaraf dunia yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

Malah, saya merasakan perkembangannya semakin baik berbanding Singapura dan ini perlu diteruskan supaya momentum ini tidak terhenti setakat dua atau tiga orang sahaja.

SOALAN terakhir, apakah nasihat dan harapan Sazali terhadap sukan bina badan ini?

OKAY, saya mengharapkan agar mereka yang ingin berkecimpung dalam sukan ini mesti serius dan mempunyai misi yang besar. Jangan sesekali berhenti ketika sedang beraada di puncak dan jangan sesekali lupa diri apabila sudah mencapai kejayaan.

Apa yang penting sekarang ini, keazaman dan semangat yang kuat. Setiap kegagalan bukanlah penamat sebaliknya adalah petanda kepada kejayaan yang lebih baik.

Selain itu, percayalah pada diri sendiri dan mesti ada disiplin yang tinggi kerana asas kepada kejayaan adalah disiplin yang baik.