Mamat tidak kecewa filem kurang dapat sambutan

10/10/2014 8:07pm


Mamat memberitahu pada tahun hadapan dia bakal tampil dengan sebuah filem berunsur kerohanian berjudul Lebuhraya Ke Neraka.- KOSMO!/AMIRUL AFFENDY


KUALA LUMPUR - Pengarah terkenal, Mamat Khalid menyatakan dia tidak berasa terlalu kecewa, meskipun beberapa buah filem arahannya tahun ini seperti Zombie Kilang Biskut, Apokalips X dan Amir & Lokman Pergi Ke Laut kurang mendapat sambutan penonton.

Mamat berkata, sebagai seorang pengarah perkara yang paling penting buat dirinya adalah dengan terus berkarya dalam usaha untuk memenuhi kehendak dan kepuasan penonton.

"Kalau diikutkan dalam tempoh dua tahun ini kutipan untuk filem-filem Melayu kurang memberangsangkan, tetapi ia tidak bermakna saya perlu berputus asa dan berhenti menghasilkan filem.

"Tidak dinafikan kuasa untuk menarik orang ramai ke pawagam semakin hilang dan kini perlu ada satu jalan penyelesaian supaya situasi sebegini tidak akan berterusan," ujarnya ketika ditemui Kosmo!

Mengikut rekod daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), filem Zombie Kilang Biskut sekadar mencatat kutipan RM1.5 juta, manakala Apokalips meraih sebanyak RM253,446 dan Amir & Lokman Pergi Ke Laut hanya mendapat RM 110,881 (untuk empat hari tayangan).

Ketika ditanya sama ada dia risau atau tidak sekiranya penonton sudah mula hilang keyakinan terhadap filem-filem arahannya, pengarah tersebut menyatakan dia mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa masih ramai lagi yang berminat dengan hasil karyanya.

Ujar Mamat, sekiranya sesebuah filem arahannya itu kurang mendapat sambutan, dia langsung tidak pernah menyalahkan penonton. Sebaliknya, dia akan mengkaji kelemahan yang terdapat pada filem tersebut sehingga membuatkan penonton tidak pergi menontonnya di pawagam.

"Kalau diikutkan ada beberapa faktor lain yang menyebabkan orang ramai tidak ke pawagam. Misalnya, dengan tragedi yang telah menimpa negara dan ia memang memberi kesan terhadap kehadiran penonton.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu menganggap faktor sedemikian menyebabkan filem arahan saya kurang mendapat sambutan. Paling penting, saya akan terus hasilkan lebih banyak lagi filem pada masa akan datang," jelasnya.