Siklon Hudhud badai India


OMBAK besar menghempas pantai di bandar Visakhapatnam, timur India menjelang ketibaan siklon Hudhud kelmarin.


VISAKHAPATNAM – Siklon Hudhud membadai pantai timur India dengan tiupan angin mencecah kelajuan 195 kilometer sejam (km/j) yang menyebabkan sejumlah pokok tercabut, bangunan rosak dan membunuh sekurang-kurangnya tiga orang semalam.

Bandar pelabuhan ini yang dihuni dua juta orang dan sebuah pangkalan tentera laut teruk dipukul Hudhud yang meningkatkan kekuatan ketika berada di Teluk Bengal.

Pokok tumbang dan serpihan bertaburan di jalan-jalan raya di sini. Kebanyakan penduduk mencari tempat berlindung selepas mereka diberi amaran awal mengenai bencana tersebut.

Namun, dua orang terbunuh masing-masing akibat dihempap pokok tumbang dan tembok runtuh.

“Situasi di bandar ini amat serius,” kata pesuruhjaya khas hal ehwal pengurusan bencana negeri Andhra Pradesh, K. Hymavathi.

“Sistem telekomunikasi terputus malah pusat kawalan kami turut terjejas. Orang ramai yang berlindung di apartmen mereka mula panik dan menelefon kami,” katanya.

Menurut Hymavathi, Hudhud melanda daratan di timur India menjelang tengah hari semalam.

Terdahulu, Agensi Bantuan Bencana India (IMD) telah memindahkan lebih 150,000 orang kelmarin untuk meminimum angka kematian bencana itu

“Bunyi tiupan angin menakutkan, ada ketika ia berbunyi seperti letupan,” kata seorang wartawan Reuters di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa menutup lapangan terbang dan menggantung perkhidmatan kereta api di bandar ini.

IMD mengkategorikan Hudhud sebagai ribut siklon amat kuat dengan tiupan angin 195 km/j dan lambakan hujan lebih 24.5 sentimeter.

Namun, Sistem Amaran dan Koordinasi Global (GDACS) kendalian Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Eropah meramalkan tiupan angin lebih kencang mencecah 212 km/j sekali gus meletakkan Hudhud sebagai ribut Kategori 4 yang berisiko membawa kemusnahan teruk serta meluas. – Reuters