Limau gedang bantu turunkan berat badan


BUAH sitrus dipercayai dapat menurunkan paras gula dalam darah sekali gus merendahkan risiko mendapat penyakit kencing manis. – Gambar hiasan


JUS buah limau gedang dipercayai dapat menurunkan berat badan. Bagaimanapun, jus buah sitrus itu hanya berkesan apabila diambil dengan makanan berlemak.

Kajian turut mendapati, buah itu juga dapat menurunkan paras gula dalam darah sekali gus merendahkan risiko mendapat penyakit kencing manis.

Penyelidikan yang dijalankan di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat itu masih di peringkat kajian dan dilakukan ke atas tikus makmal.

Menurut penyelidik, Prof. Joseph Napoli, tikus yang diberi diet makanan berlemak selama tiga bulan mencatatkan peningkatan sehingga 18 peratus dalam penurunan berat badan apabila diberi jus limau gedang.

Selain itu, haiwan tersebut juga mencatatkan paras gula dan insulin yang lebih rendah berbanding tikus yang diberi makan makanan sama bersama air kosong.

“Jus ini berkesan jika diambil dengan makanan berlemak seperti keju.Kami masih belum dapat mengenal pasti bagaimana ia terjadi. Pun begitu, kami akan terus menjalankan eksperimen lanjut khususnya ke atas manusia bagi melihat kesannya dalam menurunkan berat badan,” jelas Napoli.