Siti raih pencalonan terbanyak AIM 21

21/10/2014 6:40pm

KUALA LUMPUR - Datuk Siti Nurhaliza mendominasi senarai pencalonan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-21 anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Siti dicalonkan dalam lapan kategori yang dipertandingkan termasuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Lebih Indah; Kulit Album terbaik (Fragmen); Rakaman Album Terbaik (Fragmen dan Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza bersama Orkestra Tradisional Malaysia); Lagu Pop Etnik Terbaik (Popaleh Weh); Lagu Pop Terbaik (Jaga Dia Untukku); Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Lebih Indah) dan Album Terbaik (Fragmen).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim berkata, penganjuran tahun ini menerima lebih daripada 670 pencalonan dan ia merupakan perkembangan yang memuaskan jika dibandingkan dengan edisi sebelum ini, iaitu sebanyak 564 dan 465 pada AIM ke-20 dan AIM ke-19.

"Pihak penganjur berasa gembira melihat senarai pencalonan pada edisi kali ini yang menunjukkan kerancakan komuniti muzik negara," katanya usai ditemui wartawan Kosmo! Online di sini.

Senarai calon akhir AIM edisi kali ini turut menampilkan nama-nama baharu seperti Poova dan The Venopian Solitude, masing-masing meraih tiga pencalonan.

Majlis AIM ke-21 akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 6 Disember depan. - KOSMO!