Pejuang sastera yang tiada galang ganti



Tiga adik-beradik Hussein dalam susur galur kesu sasteraan dan seni budaya negara begitu masyhur. Datuk Abdullah Hussein merupakan penulis dan novelis yang diangkat sebagai Sasterawan Negara kelapan, manakala Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein pula seorang pelukis tersohor yang mengharumkan nama Malaysia ke seanterio dunia.

Bagaimanapun, istimewanya Profesor Emeritus Tan Sri Ismail dalam keluarga Hussein ialah beliau me rangkumkan ranah kedua-dua adik-beradiknya iaitu jalur kesusasteraan, bahasa dan kebudayaan untuk mendakap erat dalam dirinya.

Dalam seluruh hidupnya, Allahyarham Ismail mengabdikan diri untuk memperjuangkan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu, bukan sahaja di Malaysia, bahkan nun jauh sampai ke tanah Afrika.

Pemikiran Ismail cukup jelas jika diamati daripada ungkapannya dalam pelbagai konvensyen, gagasan mahupun penulisan iaitu memartabatkan kesusasteraan bahasa Melayu ke setiap penjuru dunia.

Maka tidak hairanlah, gerakan pemikiran beliau berjaya menyatupadukan rumpun bangsa Melayu menerusi gagasan seperti Pertemuan Sasterawan Dunia, Pertemuan Sasterawan Nusantara dan Pertemuan Penulis Asia Tenggara.

Handalan sastera

Selain itu, beliau turut menganjurkan idea Simposium Kebudayaan Melayu di Vietnam, Yunan, China dan Cape Town, Afrika Selatan selain Persidangan Dunia Melayu Dunia Islam yang menggabungkan negara-negara seperti Indonesia, Kemboja, China, Thailand, Filipina, Australia dan Madagaskar.

Kehebatan pemikiran Ismail memperikat kukuh dan menghembus nafas baharu bahasa Melayu amat dikagumi dunia Melayu yang menganugerahkan beliau dengan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985.


ALLAHYARHAM Ismail (depan kiri) yang menghidap parkinson sejak tiga tahun lalu bergambar bersama keluarganya. Foto ini dirakamkan pada Mei lalu.


Namun malam kelmarin, pencinta kesusasteraan seluruh dunia tergamam hiba menerima perkhabaran duka pemergian Ismail yang menghembus nafas terakhir pada usia 82 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid, 76, empat orang anak dan lima orang cucu.

“Dia adalah hero saya kerana kehandalannya dalam dunia sastera. Allahyarham tidak pernah lokek ilmu.

“Hormatnya saya kepada Tan Sri, sehinggakan saya tidak pernah bergurau senda dengannya kerana menganggap beliau sebagai seorang guru,” ujar bekas Menteri Pertanian yang juga mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika ditemui pada majlis pengebumian jena zah Allahyarham di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Selain Sanusi, tokoh sasterawan negara, A. Samad Said turut mengagumi dan menghargai ketokohan Allahyarham.

Ungkap Pak Samad, Ismail ialah tokoh sastera, bahasa dan budaya yang sangat gemilang pada zamannya.

“Saya kehilangan seorang sahabat. Dia seorang Bapa Persuratan Melayu dan sewajarnya Allahyarham diberi penghargaan atas segala sumbangan hebat beliau,” ujar Pak Samad ketika ditemu bual Kosmo! semalam.

Ternyata sebelum Ismail me ngangkat gagasan idea sastera dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa, beliau terlebih dahulu memahat nama dan menyentuh hati segenap lapisan masyarakat di dalam negara.

Dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada tanggal 30 Januari 1932, Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam sebelum menyambung pelajaran di Sekolah St. Michael, Alor Setar dan Maktab Sultan Abdul Hamid.


SULTAN ABDUL HALIM menyampaikan sepersalinan baju Melayu kepada Ismail pada majlis penyampaian Anugerah Khas Gapena Seri Cendekia Mulia di Alor Setar, Kedah pada tahun 2002.


Dibesarkan dalam keluarga yang susah, Ismail hidup sama se perti anak-anak kampung lain yang gemar bermain layang-layang, gasing atau melastik burung. Namun, ayahnya segera menangkap minat Ismail yang gemar membaca buku sehingga ketajaman pengetahuannya membo lehkan dia mendapat 5A dalam Pe periksaan Senior Cambridge (Tingkatan lima).

41 tahun mengetuai Gapena

Malah, beliau dikatakan terlebih dahulu mengambil jurusan Sains, tetapi kemudian memilih Kesusaste raan Melayu di Universiti Malaya (UM) dari tahun 1955 hingga 1959. Kepin taran Ismail membolehkan dia menjadi anak Melayu pertama yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Pe ngajian Melayu Kelas Pertama.

Beliau menyambung pengajian di pe ringkat Sarjana di UM pada tahun 1961 dan seterusnya ke peringkat Doktor Falfasah di Universiti Leiden, Belanda.

Ismail kemudian menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Me layu pada tahun 1971. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan kemudian menjadi Ketua Jabatan Pe ngajian Me layu dari tahun 1978 hingga 1984.

Namun, salah satu jawatan yang paling dekat di hati Ismail ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang dipegang beliau selama 41 tahun dari 1971 sehingga 2012.

Sewaktu memegang jawatan itulah selain selaku seorang tokoh akademik, Ismail berjaya mengembang dan me ngangkat kesusasteraan serta budaya Melayu bukan sahaja di Malaysia, bahkan di pelosok dunia.

Sekadar menyebut beberapa pengiktirafan yang diterima Ismail antaranya Darjah Setia Diraja Kedah membawa gelaran Datuk pada tahun 1980, Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa daripada Universitas Indonesia pada tahun 1984, gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985, Darjah Pang lima Setia Mahkota oleh Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 1993 dan anugerah Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya pada tahun 1997.

Namun, bagi mereka yang mengenali Ismail secara dekat, susunan anugerah itu tidak pernah menjadikan beliau individu yang bermegah atau meninggi diri.

Ujar anak kedua Allahyarham, Ria Ismail, 47, bapanya mempunyai karakter happy go lucky tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Beliau juga tidak pernah kisah mengenai status dan pangkat sehinggakan mudah didekati sesiapa sahaja.


ALLAHYARHAM Ismail (dua dari kiri) bersama rakan seperjuangan dalam dunia kesusasteraan ketika menghadiri sebuah program penyair terkenal dan sasterawan negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala di ibu negara. Turut kelihatan Pak Samad Said (kanan).


“Dari segi penampilan ayah sangat ringkas. Ayah boleh keluar berjalan dengan baju T dan seluar panjang sehinggakan orang mungkin tidak pernah menyangka dia seorang tokoh sasterawan dan pendeta bahasa,” kata anak keduanya itu.

Sementara itu, anak saudara Ismail, Roosmawaty Ibrahim 56, turut menceritakan bagaimana Allahyarham merupakan seorang individu yang gemar menolong orang susah.

“Dulu bila Pak Anjang (gelaran dalam kalangan anak saudara) pulang ke kampung, beliau akan pastikan but keretanya dipenuhi dengan puluhan tin Milo, Ovaltin dan makanan lain untuk diberikan kepada sanak saudara,” katanya sambil memberitahu Ismail gemarkan makanan tradisi Kedah seperti gulai ikan Kedah, pulut durian dan ikan terubuk.

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, kata Roosmawaty, bapa saudaranya itu sangat mementingkan pendidikan sehingga sanggup menanggung segala perbelanjaan persekolahannya sewaktu belajar di Sekolah Menengah Convent Assunta, Petaling Jaya.

Bahkan, Roosmawaty sukar melupakan bagaimana hampir setiap hari Ismail akan menyuruh dia membaca akhbar berbahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

“Mula-mula memang saya marah bila kena buat macam itu, tapi hakikatnya itulah kehebatan beliau dalam mendidik yang akhirnya membantu saya melanjutkan pelajaran peringkat A-Level di Kolej Oxford dan Sarjana Muda dalam bidang Sains di Universiti Coventry, United Kingdom,” kata Roosmawaty yang kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di Sekolah Menengah Sungai Kapar Indah, Klang, Selangor.

Yang pasti, kehebatan pemikiran dan idea Allahyarham Ismail begitu mudah menyentuh hati sesiapa sahaja, bukan hanya ahli keluarga, kawan, pelajar, pencinta sastera, para ilmuan, tokoh politik, bahkan segenap lapisan masyarakat.