Kepercayaan tahyul Dendam Orang Mati

Dendam Orang Mati mula menemui penonton pada hari ini.


PASTI ramai antara kita yang pernah mendengar tentang kepercayaan karut kaum Cina mengenai misteri yang terdapat pada angka empat.

Menurut kepercayaan tersebut, angka empat sering dikaitkan dengan kematian serta kejadian buruk jika ia berkait rapat dengan kenderaan yang dipandu mahupun tempat tinggal. Sebolehnya, kaum Cina akan mengelak untuk menghuni rumah atau memandu kenderaan yang berkaitan dengan nombor tersebut.

Mengangkat kepercayaan itu dalam naskhah terbaharunya, Dendam Orang Mati, pengarah Jason Chong berjaya mengadunkan kisah di sebalik angka tersebut dengan penceritaan seorang pesakit mental yang menghuni tingkat empat di sebuah flat usang.

Sejujurnya, elemen seram yang dipaparkan dalam filem Dendam Orang Mati bukan subjek utama yang cuba diketengahkan oleh pengarah. Bahkan, imej-imej menakutkan juga tidak banyak ditonjolkan sepanjang filem ini berjalan.

Apa yang pasti, watak Lena, seorang isteri yang menderita penyakit mental lakonan Lisa Surihani berjaya menjadi fokus utama dalam filem terbitan KRU Studios ini.

Menariknya, Lisa yang cukup terkenal dengan perwatakannya yang lemah-lembut dilihat mampu membawakan watak Lena dengan baik sekali.

Berbekalkan karakter yang memerlukannya berjalan secara tempang tanpa mengenakan secalit solekan, Lisa menghidupkan watak Lena yang baru tersedar dari koma dengan cemerlang.

Lisa hidupkan watak Lena

Pujian harus diberikan kepada Lisa kerana sebelum ini, isteri kepada Yusri Abdul Halim itu pernah mengakui tidak gemar menonton filem seram sebelum ini.

Bukan sahaja dapat membawakan watak pesakit mental dengan baik, bahkan, jiwa gila yang dipersembahkan dalam naskhah ini disampaikan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Di samping itu, lakonan Miera Liyana juga berjaya menghidupkan suasana murung filem tersebut. Membawakan watak antagonis bernama Min, percubaan Miera menjayakan watak isteri buat pertama kali berhasil.

Filem ini juga turut menampilkan sinematografi yang tampak berbeza jika dibandingkan dengan filem-filem seram tempatan yang lain.


LISA mempamerkan lakonan cemerlang sebagai wanita tempang yang tersedar dari koma dalam Dendam Orang Mati.


Pencahayaan yang tidak begitu malap serta penambahan warna kelabu usang menghidupkan karakter gila yang dibawakan oleh Lisa.

Namun, sedikit mengecewakan apabila penggunaan teknik janaan komputer (CGI) dalam beberapa babak dilihat sedikit mencacatkan filem ini.

Menerusi adegan mayat-mayat terbakar yang muncul di lorong pejalan kaki serta tombol pintu yang mencair akibat ruang bilik menjadi panas, teknik CGI yang digunakan kurang menjadi.

Selain itu, sesi penggambaran dalam studio juga menjadikan filem Dendam Orang Mati kurang realistik.

Nilai murni

Walaupun filem ini mengangkat elemen seram dan psiko sebagai penceritaan utama, namun masih terselit nilai-nilai murni yang boleh dijadikan teladan oleh penonton.

Menerusi watak suami Lena, Shahrul (lakonan Fizz Fairuz) penonton didedahkan dengan pengajaran supaya tidak menipu untuk terus hidup senang.

Dalam pada itu, nilai kasih sayang seorang bapa turut diselitkan dalam filem ini.

Filem Dendam Orang Mati mengisahkan Lena, seorang pesakit mental yang sedar daripada koma selepas terlibat dalam satu kebakaran.

Setiap hari, Lena dibayangi memori silamnya. Lebih merumitkan keadaan, setiap memorinya pasti terselit tentang peristiwa kebakaran yang berlaku di tingkat empat.

Konflik mula tercetus apabila Lena sering didatangi oleh kelibat seorang kanak-kanak lelaki berpakaian sekolah serta cerita yang disampaikan oleh jirannya, mak cik Zaharah lakonan Hamidah Wahab.

Mampukah Lena mencari jawapan kepada persoalan tersebut? Semuanya terjawab menerusi filem ini yang akan memulakan tayangan serentak di pawagam seluruh negara bermula 23 Oktober (hari ini).