Ejen pengubah stigma Proton



Penantian untuk menyaksikannya menjadi nyata pada 25 September lalu. Bertempat di Tanjung Malim, Perak, Proton Holdings Bhd. (Proton) akhirnya mendedahkan senjata terbaharunya, Proton Iriz.

Model kereta ke-23 keluaran syarikat kenderaan nasional itu ibarat serampang dua mata yang cuba memadamkan stigma lama jenama Proton dan membantu syarikat menembusi segmen pasaran baharu.

Proton sedar kategori kereta kompak (segmen B) ibarat satu zon peperangan yang amat kompetitif antara setiap pengeluar kenderaan di Malaysia. Apatah lagi berdepan dengan model pendahulu pasaran Malaysia sejak sembilan tahun lalu iaitu Perodua Myvi.

Bagaimanapun, setiap produk ada nilai dan kekuatan masing-masing. Bagi Proton Iriz, ia menawarkan satu pakej pembelian yang hampir sempurna untuk orang ramai khususnya buat individu yang berpendapatan sederhana.

Untuk mengenali Iriz secara lebih mendalam, Proton mempelawa sekumpulan pengamal media termask penulis untuk satu sesi pandu uji ke Pulau Pinang.

Program yang terbahagi kepada beberapa sesi ujian itu bermula dengan pemanduan sejauh 185 kilometer (km) dari Shah Alam, Selangor ke Gopeng, Perak. Fokus ujian ini adalah untuk mencatatkan penggunaan bahan api terbaik.


Instrumen meter Iriz memaparkan semua maklumat pemanduan semasa kepada pemandu.


Untuk menjadikan ujian itu adil, penganjur program tidak membenarkan mana-mana peserta untuk mengubah suhu pendingin hawa yang ditetapkan pada 18 darjah celsius. Tidak cukup dengan itu, dua bekas plastik ditampal pada tombol pendingin hawa untuk memastikan tiada sebarang unsur penipuan dalam cabaran itu.

Kami juga perlu sampai ke destinasi itu (Gopeng) dalam tempoh dua jam 20 minit. Penulis digandingkan bersama wartawan portal The Mole, Muhammad Zaidi Azmi dengan memandu Proton Iriz varian automatik.

Kami memutuskan untuk mengekalkan kelajuan antara 80 hingga 100km sejam (km/j) dan berjaya mencatat penggunaan petrol sebanyak 6.3 liter untuk 100km. Secara purata, satu liter petrol membolehkan kami mencapai jarak 15.9km. Catatan itu pastinya lebih ekonomikal jika kami mengamalkan kaedah pemanduan yang lebih bijak.

Selesai ujian jimat minyak, ka­mi beralih kepada varian transmisi manual untuk menyambung baki perjalanan kira-kira 220km ke Pulau Mutiara. Penulis mengambil kesempatan menilai prestasi Iriz transmisi manual dan mendapati konfigurasi enjin empat silinder dengan aplikasi kotak gear lima kelajuan itu satu padanan bijak.

Prestasinya cukup baik. Penukaran gear sememangnya lancar. Klac lembutnya menghilangkan keletihan kaki sepanjang pemanduan. Ciri ini pastinya berita baik untuk mereka yang memasang impian menggunakan Iriz di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur.

Sepanjang pemanduan di lebuh raya, badan penulis tidak terasa lenguh dan aspek keselesaan boleh diberi pujian.

Sejurus tiba di laluan berselekoh di Batu Feringgi, Pulau Pinang, penulis tidak teragak-agak memijak pedal minyak untuk merasai kelincahan kereta kompak ini.


Sistem audio Iriz dengan sambungan Bluetooth pastinya menghilangkan rasa bosan sewaktu pemanduan jarak jauh.


Keyakinan penulis untuk berbuat demikian adalah disebabkan Iriz ada sistem brek antikunci (ABS) yang akan campur tangan secara automatik untuk menstabilkan kereta jika pedal brek dipijak secara kuat.

Keesokkan harinya, kami diberi peluang untuk mempelajari dan menguji sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) Iriz menerusi aktiviti autocross di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Objektif ujian untuk membuktikan keupayaan Iriz melayan selekoh dengan tepat sewaktu pemanduan kelajuan tinggi. Proton Iriz juga mempunyai stereng elektronik dan kawalan pengemudiannya amat praktikal mengikut corak pemanduan anda.

Jika memandu pada kelajuan rendah, sterengnya terasa ringan. Sebaliknya, apabila kelajuan ditambah, stereng menjadi lebih berat untuk kestabilan kawalan kenderaan.

Selesai dengan siri-siri ujian, penulis mengambil peluang merehatkan diri dalam Iriz untuk seketika. Masa itu digunakan untuk meneliti setiap aspek ruangan kabinnya. Papan pemuka dengan skema warna gelap disulam tekstur jahitan benang membuatnya kelihatan lebih kemas.

Bagi varian premium CVT, Proton menawakan lebih banyak ciri mewah termasuk butang start/stop dan kemasukan tanpa kunci.

Seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi, Iriz turut menawarkan empat soket pengecas USB untuk gajet-gajet pengguna. Mungkin selepas ini, anda tidak perlu berebut dengan ahli keluarga atau kawan-kawan untuk mengecas telefon pintar masing-masing

Proton Iriz didatangkan dengan empat varian pilihan untuk enjin 1.3 liter iaitu MT (manual), CVT (automatik), Eksekutif MT dan Eksekutif CVT. Harganya adalah antara RM42,438 hingga 49,888 sebuah.

Pilihan lain disediakan ialah model 1.6 liter. Ada empat varian pilihan iaitu Eksekutif MT, Eksekutif CVT, Premium MT dan Premium CVT dengan harga permulaan serendah RM53,438 hingga RM62,888 sebuah.

Landskap segmen kereta kompak bakal berubah dengan ketibaan Iriz. Apa yang penting, Proton nampaknya meneruskan momentum peralihan daripada sebuah syarikat berkelas tempatan menuju ke arah standard global. Transformasi itu sebenarnya satu bukti kebangkitan semula jenama Proton untuk mengubah nasib sedia ada dan membuktikan keupayaannya untuk bersaing dengan jenama-jenama lain.