Aman motivasi diri dengan kritikan


SEJAK bergelar peserta AF2014, Aman akui sifat pemalu yang ada pada dirinya semakin terhakis sedikit demi sedikit.


PEMBABITAN anak muda ini dalam program realiti terkenal Akademi Fantasia 2014 (AF2014) pada awalnya agak suram. Undian yang diterimanya merupakan antara yang paling rendah hampir setiap minggu.

Dikritik hebat kerana didakwa tidak mampu menyanyi dengan bagus, Aman atau nama sebenarnya Mohammad Razman Abdul Aziz bagaimanapun mampu menutup mulut orang ramai apabila berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga ke pentas final.

Pada malam 9 November lalu menyaksikan detik bersejarah buat anak muda berusia 21 itu apabila dinobatkan sebagai naib juara AF2014, sekali gus kemenangan bermakna tersebut mengenepikan calon lain yang disifatkan ramai mempunyai vokal yang lebih mantap daripadanya.

Pernah juga anak bongsu daripada enam beradik itu dikritik hebat oleh juri tetap AF2014, Datuk Ramli MS yang mengatakan bahawa tempatnya bukanlah dalam industri hiburan.

Segala tohmahan dan kritikan negatif dibuang tepi. Lantas, dia bangkit mengorak langkah meneruskan impian yang sudah terbentang luas di depan mata. Kepada Kosmo!, Aman memberitahu misinya di dalam bidang hiburan yang akan diteroka dengan baik.

Kosmo!: Pada ketika nama Aman diumumkan sebagai naib juara AF2014, sejujurnya apakah perasaan anda pada malam itu?

Aman: Jika diminta berkata benar, saya akui sangat terkejut apabila nama diumumkan menjadi naib juara. Sebenarnya, untuk meletakkan sasaran mendapat tempat tertinggi seperti itu bukanlah target saya pada malam final. Sebaliknya, dengan melayakkan diri ke final itupun sudah cukup membuatkan saya rasa bersyukur. Namun, keputusan pada malam itu semuanya ketentuan Tuhan. Saya tidak menolak bahkan sangat bersyukur atas rezeki yang diberikan. Jika ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, saya tidak mampu lakukan apa-apa.

Kemenangan anda pada malam itu mengundang banyak cakap-cakap yang tidak enak didengar. Apatah lagi ada yang mengatakan ada peserta lain yang lebih layak untuk dinobatkan sebagai naib juara. Apa komen anda mengenai perkara itu?

Apa yang boleh saya katakan, secara jujurnya, saya tidak ada rasa apa-apa mengenai perkara itu. Saya tidak rasa kecewa, bahkan mengambil segala perkara negatif tersebut sebagai pembakar semangat.

Jujurnya, saya lebih suka orang memberi kritikan berbanding pujian. Sebabnya, pujian itu kadang kala melalaikan. Berbeza dengan kritikan kerana perkara yang negatif sebenarnya menyedarkan saya tentang apa yang tidak kena dengan kemampuan diri sendiri.

Saya jadikan kritikan itu sebagai rujukan utama untuk mengenalpasti segala kelemahan saya.

Sama juga kisahnya pada malam semi final sebelum ini apabila saya menerima teguran keras daripada Datuk Ramli MS. Beliau katakan takdir saya bukan untuk dilahirkan sebagai penyanyi. Saya akui, ada sedikit kecewa pada awalnya, tetapi saya bangkit kembali dengan semangat baharu dan buang perkara yang sudah berlalu.

Saya cabar diri untuk lakukan apa yang saya mahu. Bidang nyanyian merupakan minat saya. Apabila sudah berpeluang, saya tanamkan dalam jiwa untuk lakukan yang terbaik pada malam final dan Alhamdulillah tuah dan rezeki berpihak kepada saya.


WALAUPUN menerima kritikan hebat apabila dinobatkan sebagai Naib Juara AF2014, Aman tidak meletakkan semua itu sebagai halangan buat dirinya menggapai impian bergelar seorang penyanyi yang berkaliber kelak.


Baiklah. Mengulas mengenai perjalanan anda selama lebih 10 minggu di AF2014, boleh Aman kongsikan apakah transformasi yang berjaya dilakukan pada diri sendiri?

Selama tempoh berada dalam AF2014, terlalu banyak pelajaran baik yang saya terima terutamanya daripada tenaga pengajar dan rakan-rakan yang lain.

Dari situ, saya belajar bagaimana menguruskan tahap keyakinan diri. Saya akui, sebenarnya saya memang seorang yang sangat pemalu. Tahap keyakinan yang kurang sehingga membuatkan saya malu untuk berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Kadang-kala saya mengambil masa yang agak lama untuk selesa dengan orang baharu di sekeliling. Namun, selama berada bersama tenaga pengajar di sana, merekalah yang membantu mengubah diri saya. Sehingga ke hari ini, tahap keyakinan saya sudah semakin baik dari hari ke hari.

Perjalanan anda dalam dunia seni baru sahaja bermula sebaik keluar dari pertandingan tersebut. Apakah perancangan anda untuk memastikan karier seni anda berjalan lancar pada masa akan datang?

Perancangan saya selepas ini selain sibuk dengan jadual yang diuruskan oleh Astro Talent Management, saya merancang untuk menghadiri kelas latihan vokal. Selain memantapkan mutu nyanyian dan persembahan, saya mahu kualiti vokal saya semakin baik. Saya sedar bahawa tahap vokal yang saya miliki tidaklah sehebat penyanyi lain tetapi saya tidak akan berhenti berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri.

Dengan single terbaharu yang dihasilkan Awi Rafael, Without You, adakah anda rasa diri mampu bersaing sebaris dengan artis-artis baharu yang lain?

Bercakap soal single pertama, saya akui sangat suka dengan lagu tersebut. Gubahan liriknya yang catchy, ringkas, ceria dan mesra pendengar membuatkan saya yakin lagu ini akan diterima dengan baik oleh semua peminat. Jika sesebuah lagu itu cepat mesra dengan pendengar, sekali gus nama penyanyinya juga akan diingati. Bagi memastikan nama dan karier saya bertahan dalam persada seni, saya tidak hanya menggunakan jenama AF2014 semata-mata, tetapi saya mahu orang kenal siapa Aman melalui nyanyian dan bakat yang ada pada saya.