Cinta lokasi Sam, cinta sejati Lisa

BARISAN pelakon dan pengarah filem Manisnya Cinta Di Cappadocia sewaktu majlis pratonton filem berkenaan di Kuala Lumpur, baru ini. (Dari kiri) Zaibo, Shaheizy Sam, Rafidah Ibrahim, Bernard Chauly, Fazura dan Lisa Surihani serta dua orang pelakon kanak-kanak.


Istilah cinta tentunya membawa tafsiran yang berbeza buat dua bintang industri perfileman tempatan Shaheizy Sam dan Lisa Surihani. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri apabila berbicara tentang cinta.

Membawa makna besar dan diakui penting, Sam dan Lisa menghuraikan secara mendalam mengenai makna manisnya cinta dalam diri masing-masing. Bukan sekadar meluahkan cinta melalui perkataan, lebih mendalam lagi pengertian cinta melibatkan pengorbanan dan kesetiaan.

“Cinta saya ialah untuk keluarga. Apa yang menjadi kepentingan kepada saya ialah melihat keluarga terutamanya ibu saya bahagia. Walaupun saya terpaksa mengorbankan rasa cinta terhadap seseorang wanita kerana mendahulukan keluarga saya, saya rela.

“Masih banyak yang perlu dilakukan saya untuk memastikan keluarga saya bahagia. Terutamanya hajat ibu saya untuk memiliki rumah yang selesa. Itulah tujuan saya berlakon, selain bakat yang ditaburkan, kewangan menjadi faktor utama untuk saya memenuhi hajat dan impian mereka,” ujar Sam yang bagaimanapun sudah bersedia untuk mempunyai seorang kekasih.

Sam menambah, buat masa sekarang, dia mahu terus aktif dalam bidang lakonan sekali gus mengukuhkan kewangan. Dia juga tidak mahu memikirkan soal jodoh. Baginya jodoh akan datang pada bila-bila masa dan jika sudah ditakdirkan untuknya bertemu jodoh dalam waktu terdekat, dia sudah bersedia.

“Kita tidak boleh memaksa seseorang itu untuk bertemu jodoh. Biarlah takdir yang menentukan. Jika jodoh saya sampai, sudah tentu saya menerimanya dan jika ditanya mengenai persediaan, saya sudah lama bersedia.

“Lagipun, saya merasakan masih banyak perkara yang belum saya capai terutamanya dalam bidang lakonan. Saya mahu terus berkarya sekali gus terus memberi yang terbaik kepada peminat saya,” ujarnya bersemangat.

Lain pula cerita kisah cinta, pelakon yang baru-baru ini menampilkan karakter matang dalam Dendam Orang Mati, Lisa Surihani. Kebahagiaannya yang dikecapi bersama suami tercinta, Yusry KRU sudah tentu dicemburui setiap pasangan lain di luar sana.

Menghurai makna cinta dalam frasa hubungan berumah tangga, Lisa berkata, peluang untuk hidup terus bersama orang yang tersayang membawa erti besar dalam kehidupannya.

Walaupun sering dihambat kata-kata jahat yang cuba menggugat kebahagiaan mereka termasuk soal anak, Lisa tidak pernah melatah, malah menyerahkan ketentuan itu kepada Yang Maha Esa.

“Memang orang mengatakan bahawa punca rezeki dan kebahagiaan ialah anak, namun saya tidak boleh berkata apa-apa selain menyerahkan segalanya kepada takdir. Pasangan mana yang tidak mahukan anak,” ujar Lisa usai pratonton filem Manisnya Cinta Di Cappadocia (MCDC), di GSC Pavillion baru-baru ini.

Lisa tidak ambil hati apabila ramai yang bertanyakan bilakah gilirannya untuk menimang cahaya mata, namun, dia cuma kecewa apabila ada yang berani mengajukan pertanyaan sehingga menyentuh soal yang terlalu sensitif.

“Saya tak kisah kalau orang kerap bertanya soal anak. Ini semua kuasa Allah. Mungkin belum rezeki kami. Tapi saya tak boleh terima apabila ada soalan cuba menyentuh hal yang terlalu peribadi.

“Saya tidak faham kenapa mereka tidak sensitif dan tidak menjaga perasaan orang lain. Cubalah mereka letakkan diri dalam situasi saya. Bukan kami tidak berusaha, tetapi tidaklah sampai kami perlu berkongsi semuanya kepada umum,” luahnya sedikit kecewa.

Manisnya Cinta Di Cappadocia

Digandingkan dalam naskhah berjudul MCDC, Sam dan Lisa mengakui sudah selesa bekerjasama, ditambah pula dengan kerjasama kru produksi filem berkenaan yang sangat profesional sepanjang penggambaran.

“Apabila diberi tawaran untuk terlibat dalam filem ini, saya begitu teruja kerana melihat kepada jalan penceritaan yang menarik, ditambah pula dengan tenaga produksi yang pernah bekerjasama dengan saya melalui filem sebelum ini termasuk Istanbul Aku Datang.

“Walaupun hanya memegang watak sampingan sebagai Izelea, watak itu antara watak yang penting dalam menyatukan dua cinta. Jadi, tanggungjawab yang digalas oleh Izelea agak berat, walaupun bukan sebagai watak utama,” lontar Lisa.


Shaheizy SAM dan Lisa berganding lagi dalam sebuab filem. Kali ini bukan filem terbitan MIG, sebaliknya bersama produksi Redfilm.


Lain pula hal yang dikongsikan oleh Sam yang memegang watak sebagai Nazmi. Peluang untuk bekerjasama dengan produksi Redfilm merupakan pengalaman pertama baginya.

“Sebelum ini saya jarang terlibat dengan kru produksi selain daripada syarikat pengurusan saya iaitu MIG Sdn. Bhd., bagaimanapun pengalaman bernaung di bawah pengarah Bernard Chauly menjadi satu kenangan manis untuk saya.

“Dia (Bernard) sangat profesional dalam setiap tindakannya. Dia juga seperti mempunyai bayangan dalam setiap apa yang hendak dilakukan. Saya senang bekerjasama di bawah arahannya,” ujar Sam.

Secara ringkas, filem adaptasi novel itu mengisahkan kehadiran cinta yang tidak dijangka. Seorang wanita bernama Ifti Liyana kerap gagal dalam telah percintaan bertemu dengan Nazmi lakonan Sam secara tidak sengaja. Plot bertambah menarik apabila Ifti (Fazura) terpaksa pergi ke sebuah daerah yang dikenali sebagai Cappadocia di Turki diatas urusan kerja. Ifti bertemu lagi dengan Nazmi dan daripada situlah cinta mereka itu berputik. Nazmi akhirnya melamar Ifti, namun kebenaran muncul juga apabila mereka mendapati pertemuan mereka sebenarnya telah diatur oleh adik kandung Ifti, iaitu Izelea (Lisa).

Gemuruh bermain cinta – Shaheizy Sam

Ditebak mengenai pembawaan watak Nazmi dalam filem tersebut, Sam mengakui sedikit terbeban membawakan watak berkenaan kerana sudah biasa membawa watak aksi dan komedi.

Menganggap watak tersebut sebagai satu cabaran, Sam memberitahu, dia terpaksa mengimbau kembali memori percintaannya untuk mengembalikan mood romantis yang diperlukan untuk menjiwai watak Nazmi.

“Seperti yang khalayak sedia maklum, sebelum ini saya terkenal dengan watak-watak aksi dan komedi. Untuk naskhah ini, wataknya amat berlainan. Rasa dan jiwa romantis perlu ditonjolkan dengan sebaik-baiknya.

“Saya juga terpaksa mengimbau kembali memori percintaan berdasarkan kisah sebenar saya untuk mendapatkan mood bercinta, malah jika diperlukan, saya akan bercinta terus dengan heroin filem ini walaupun di luar set penggambaran,” ujarnya berseloroh.

Ditanya mengenai adegan yang tidak dapat dilupakan dalam filem adaptasi novel ini, dia memberitahu, antara adegan yang sukar untuk dilakonkan ialah ketika babak lamaran antara Nazmi dan Ifti yang dilakonkan oleh Nur Fazura.

“Babak itu menjalani penggambaran di sebuah kawasan pergunungan di daerah Cappadocia, Turki. Keadaan cuaca ketika itu sangat sejuk dan saya terpaksa melutut selama 20 minit untuk memdapatkan visual matahari terbenam.

“Babak tersebutlah antara yang paling sukar dilakukan, bagaimanapun ia berjalan dengan lancar dan yang paling mengejutkan ialah, babak tersebut hanya dirakamkan sekali sahaja, tanpa perlu diulang,” ujarnya mengakui jatuh cinta terhadap heroin filem tersebut, Fazura di luar set penggambaran.

Beri laluan kepada Fazura

– Lisa Surihani

Sementara itu, pemenang anugerah pelakon Pelakon Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-26, Lisa Surihani turut menafikan dakwaan bahawa dia kelihatan lebih menonjol berbanding heroin filem berkenaan.

“Saya tidak pernah terniat untuk kelihatan lebih menonjol berbanding heroin filem ini. Mungkin kerana dalam filem saya yang terdahulu, Istanbul Aku Datang juga diterbitkan oleh Redfilm, khalayak masih lagi memikirkan saya sebagai pemegang watak utama filem MCDC.

“Walaupun kali pertama berpeluang untuk bekerjasama bersama Fazura, namun keserasian yang terjalin antara kami sangat tidak dijangka. Dia merupakan pelakon yang sangat baik dan Alhamdulillah, biarpun masa yang diberikan begitu singkat, namun keserasian yang terjalin antara kami begitu kuat,” katanya tegas.

Bercerita mengenai watak Izelea yang dipegangnya, Lisa menambah, walaupun watak tersebut hanyalah watak sampingan, namun peranan Izelea sepanjang penceritaan MCDC, sangat penting.

“Izelea merupakan watak penting dalam filem ini. Dia merupakan orang yang bertanggungjawab merencanakan pertemuan antara Nazmi dan Ifti,” katanya yang dijangka akan tampil dengan filem terbaharu menjelang Disember nanti.

Ditebak mengenai harapannya terhadap filem ini, Lisa berkata, penjualan novel MCDC yang pernah menjadi novel terlaris di Malaysia boleh dijadikan batu loncatan kepada filem berkenaan untuk mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

“Mungkin MCDC versi filem boleh memberikan gambaran yang lebih jelas berbanding versi novel. Peminat yang sudah membaca novel pasti mahu lihat impak versi filem. Jadi, harapnya sambutannya juga bagus,” kata Lisa mengakhiri perbualan.