Momentum dan mahalnya Fahrin


SIBUK dengan kerjaya bukan menjadi punca utama kepada lelaki berusia 35 tahun ini belum bertemu teman hidup.


WAJAH Fahrin Ahmad masih bersinar dalam radar hiburan tanah air. Saban ketika, kelibatnya terlihat dalam mana-mana program sama ada iklan komersial, drama mahupun pengacaraan. Berdiri sebagai artis senior, namun Fahrin belum tenggelam walaupun ada sahaja ahli baharu yang mencuba nasib menjadi sebahagian daripada angkatan aktor Malaysia.

Disayangi peminat menerusi drama-drama lakonannya, kredibiliti Fahrin sebagai ikon positif juga masih mahal di mata pengamal sektor korporat. Buktinya, Fahrin yang masih menyandang komitmen tugas duta Shell dan produk minuman tenaga Ali Cafe Tongkat Ali itu menerima kontrak sebagai duta produk yang lain. Baru-baru ini, dia dilantik menjadi jurucakap sebuah model terbaharu telefon pintar keluaran syarikat multinasional dari Korea, Samsung Electronics.

Dipilih menjadi menjadi duta Samsung Galaxy Note 4 pada 15 Oktober lalu, pelakon dan pengacara berusia 35 tahun itu berkongsi rasa gembira dan terujanya.

“Memang saya tidak sangka akan dipilih oleh pihak Samsung Malaysia untuk menjadi duta kepada Samsung Galaxy Note 4. Sejak dari dulu lagi saya pengguna setia jenama Samsung. Sudah bermacam model telefon Samsung pernah saya guna.

“Tiba-tiba rezeki dipilih menjadi duta kepada produk yang saya gunakan, itu memang merupakan peluang dan rezeki yang tidak perlu saya fikir dua tiga kali untuk terima.

“Sebagai seorang selebriti dan ditambah pula dengan kemajuan teknologi moden pada masa kini, setiap aktiviti yang dilakukan tentunya mahu dikongsi di laman sosial. Bagi individu yang gemar mengambil gambar, tentunya akan berpuas hati dengan kualiti kamera telefon ini. Ambillah gambar dari sudut mana sekali pun, gambar anda tentunya nampak cantik tanpa perlu diedit,” ujar pengacara Dunia Pencetus Ummah itu mesra.

Berkongsi perkembangan terkini, pelakon yang akan menamatkan khidmatnya sebagai duta produk penjagaan wajah, Garnier itu meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dinikmati.

Meskipun jadual kerjanya sudah tersusun sehingga suku pertama tahun hadapan, Fahrin tidak mahu berasa selesa dengan kestabilan kariernya. Dia mahu mengekalkan momentun dicapai hari ini, kalau boleh untuk satu jangka masa yang panjang.

“Jadual kerja memang padat. Ada sahaja tawaran yang saya terima sama ada dalam bidang lakonan, pengacaraan mahupun sebagai duta produk.

“Selepas selesai mengacarakan malam anugerah Festival Filem Malaysia baru-baru ini, aktiviti seni saya berterusan seperti biasa.

“Dalam masa terdekat, saya akan menjalani penggambaran dua buah telemovie. Pada Januari tahun hadapan, saya akan memulakan penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Eksperimen Cinta bergandingan dengan pelakon Izreen Azminda.

“Kerja dalam bidang hiburan memang memenatkan tetapi inilah jalan yang saya pilih dan sudah menjadi sumber rezeki saya sejak dari dahulu,” ujar jejaka berasal dari Johor itu mesra.

Bicara bekas pengacara Sehati Berdansa itu lagi, dia juga aktif memenuhi undangan sebagai penceramah motivasi kepada generasi muda.

Figura bersosok tegap itu bakal ke Terengganu bagi menghadiri ceramah motivasi di enam lokasi berbeza di negeri tersebut.

Sementelah pencapaian kerjaya yang cemerlang, jejaka yang masih belum mendirikan rumah tangga itu sesekali ditebak mengenai sisi peribadi dan isi hatinya.

Sambil tersenyum, pelakon drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu mesra membalas bidik soalan yang pastinya menyentuh nurani lelakinya.

“Saya masih begini. Kekal berseorangan, solo tanpa ada sesiapa yang istimewa buat masa kini. Saya tidak mengharap apa-apa tetapi cukuplah sekadar doakan yang terbaik agar saya cepat bertemu jodoh, ” ujarnya bercanda namun penuh pengharapan.