Farid ajar saya cakap Melayu – Emily


Emily mahu menjadi seperti Soo Wincci yang berjaya mencipta nama dalam industri filem Melayu.


Nama Emily Chan masih asing. Belum terbiasa peminat seni lakon Melayu menyebut namanya, apatah lagi mengenali peribadi gadis berusia 23 tahun ini.

Sedangkan pemilik nama sebenar Chan Zi Ying ini, sudah berlakon sejak 2009 menerusi pelbagai drama popular berbahasa Mandarin.

Namun, dalam keserdahanaan, Emily mula mengorak langkah dalam karya-karya Melayu. Pelakon di bawah naungan syarikat MIG Productions Sdn. Bhd. sejak 2012 ini juga sudah mula membikin gelombang kecil dalam kariernya.

Lakonan sebagai Mimi, tunang kepada Farid Kamil dalam filem Kaki Kitai meninggalkan kesan buat dirinya apabila buat pertama kali dia berlakon dalam sebuah filem aksi.

“Dalam filem tersebut ada babak saya kena culik dan didera. Saya suka dengan peranan tersebut kerana ia mencabar diri saya sebagai pelakon. Ini merupakan filem kedua saya bersama MIG. Filem pertama saya sebelum ini adalah Awak Nak Kahwin Dengan Saya?,” katanya yang cukup fasih berbahasa Melayu.


Merupakan artis di bawah naungan MIG sejak 2012, watak Mimi dalam filem Kaki Kitai mencabar diri Emily sebagai pelakon.


Berada dalam zon selesa di bawah bimbingan syarikat milik David Teo, atas nama kesyukuran Emily berasa lingkungan keliling banyak membantu pergerakan bahasa Melayunya menjadi lancar.

Hakikatnya, bekas pelajar sekolah swasta dengan bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris dan Mandarin ini tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu sebelum ini.

“Persekitaran memang sangat penting lebih-lebih lagi kalau ada orang yang sentiasa bercakap dalam bahasa Melayu dengan kita. Sejak masuk MIG, persekitaran saya kebanyakan Melayu, jadi mereka sering bercakap dalam bahasa itu dengan saya. Lama-kelamaan saya menjadi fasih. Pelakon senior seperti Farid juga banyak mengajar saya bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya mesra.

Bersaing

Bersendirian meneroka industri Melayu sementelah dirinya seorang pelakon Cina, untuk Emily dia menganggap itu sebagai cabaran yang harus disahutnya.

Akuinya, memang bukan mudah untuk dirinya bersaing dengan pelakon-pelakon Melayu, namun apa yang lebih digeruninya adalah bersaing dengan dirinya sendiri.




“Pada mulanya memang saya gementar masuk dalam industri Melayu. Dalam fikiran saya, adakah peminat Melayu akan menerima diri saya atau adakah lakonan saya sesuai untuk industri Melayu. Tidak timbul langsung dalam fikiran saya untuk bersaing dengan pelakon-pelakon Melayu. Sebaliknya, saya anggap diri sendiri sebagai pesaing utama untuk menempatkan diri dalam industri ini (Melayu).

“Mungkin saya boleh menganggap Soo Wincci sebagai contoh terbaik untuk berjaya dalam bidang ini. Masakan tidak, dia bukan sahaja ratu cantik Malaysia, bahkan juga berjaya dalam kariernya sebagai penyanyi dan pelakon dalam industri Melayu,” jelasnya yang turut menanggap aktres Nora Danish sebagai idolanya.

Merasakan sekarang masa yang sesuai untuk menggelecek bakatnya di padang lakonan, Emily juga menyimpan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Hollywood.

“Jika Soo Wincci boleh menawan pasaran Taiwan sebagai penyanyi Malaysia, saya juga mempunyai impian yang serupa. Saya berhasrat untuk ke Holywood dan memperkenalkan diri sebagai pelakon Malaysia,” ujarnya optimis.