3 Brothers angkat kisah sebenar


JAck (dari kiri) Alvin dan Jeff merupakan tunjang utama filem 3 Brothers.


Wajah tiga jejaka ini bukan lagi asing bagi masyarakat Cina, sementelah Jack Lim dan Jeff Chin merupakan deejay popular dari stesen radio MY FM.

Sementara, Alvin Chong, si pemilik wajah kacak ini pula merupakan penyanyi yang baru menceburi dunia lakonan sekitar tiga tahun lalu. Mereka disatukan menerusi naskhah terbaharu arahan pengarah terkenal Silver Yee, 3 Brothers.

Namun, dalam ketiga-tiga jejaka ini, Jack terlebih dahulu mencuri tumpuan khalayak Cina. Bermula dengan watak sampingan dalam drama Cina dan kemudiannya menjadi penyanyi sejak 21 tahun lalu, namun untuk sebuah kepuasan yang lebih maksimum, Jack membina rangkaian syarikat perfilemannya sendiri, The Film Engine.

Mencari sisi kepuasan berdiri atas nama pelakon dan juga pengarah syarikat, Jack menghasilkan filem Ah Beng The Movies: Three Wishes. Watak Ah Beng yang dipikulnya dengan jalan cerita yang begitu dekat dengan masyarakat membuatkan nama Jack dan filem itu meledak pada tahun 2012 dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM7.6 juta.

Filem tersebut juga berjaya membuang pandangan sinis masyarakat Cina yang selama ini hanya memandang pada karya-karya dari Hong Kong sahaja.

Sinonim dengan watak Ah Beng, seorang lelaki bodoh yang baik hati, Jack kini memikul pula peranan sebagai Ah Gat, lelaki kuat berjudi dan derhaka kepada ibunya dalam filem 3 Brothers.

Bukan mudah, apabila watak Ah Gat yang dijiwainya adalah gambaran sebenar yang terjadi kepada Silver. Pengarah filem 3 Brothers yang pernah mengarahkan filem Balistik itu berkongsi rahsia diri mengenai dirinya yang pernah menderhaka kepada ibunya.

“Sebenarnya watak Ah Gat ini adalah watak sebenar yang terjadi pada Silver. Dia sangat kecewa kerana tidak sempat meminta maaf kepada ibunya sebelum wanita itu meninggal. Menerusi filem ini, Silver berharap ia dapat memberi kesedaran kepada penonton. Sebabnya, perkara sebegini memang berlaku dalam masyarakat,” ulas Jack yang sebelum ini turut berlakon dalam filem Balistik membawakan watak Jack, rakan kongsi kepada Saga (lakonan Datuk Rosyam Nor).

Selain Ah Gat, 3 Brothers turut diisi dengan dua watak utama iaitu Ah Long (Jeff) dan Ah Por (Alvin).

Mengangkat kisah tiga sahabat yang bercita-cita tinggi untuk mencari kekayaan di Kuala Lumpur, Ah Gat, Ah Long dan Ah Por sanggup meninggalkan kampung halaman mereka di Kedah demi merealisasikan cita-cita mereka.


CERITA 3 Brothers yang dibintangi Jack (kiri), Jeff (tengah) dan Alvin mengangkat kisah sebenar pengarahnya, Silver.


Bagaimanapun, imaginasi indah yang terbit di kotak fikiran mereka bertukar menjadi masalah yang terpaksa mereka hadapi.

Babak intim

Watak Ah Long yang ditunjangi Jeff misalnya, dia berdepan dengan masalah rumah tangga apabila masalah kewangan membelenggu kehidupannya bersama isteri.

Menggalas watak Ah Long atas dasar profesionalisme, namun kata Jeff, perkara tersebut tidak disukai isterinya.

“Saya mempunyai dua isteri. Satu dalam layar lebar. Satu lagi di alam realiti. Setiap kali saya balik penggambaran filem ini, isteri akan tanya ada tak babak berpeluk dan bercium. Dia sebenarnya cemburu jika saya berlakon intim dengan perempuan di dalam filem,” katanya sambil ketawa.

Kaget dengan pertanyaan isterinya itu, Jeff tidak mampu berkata apa-apa sebabnya jika membabitkan babak suami isteri semestinya babak bersentuhan itu adalah salah satu rencahnya.

“Saya sebenarnya penyampai radio sepenuh semasa di MY FM. Begitu juga dengan Jack. Maka, kami terpaksa menjalani penggambaran di sebelah malam. Bila balik lewat malam, isteri saya mulai risau dan berfikir bukan-bukan. Lebih-lebih lagi apabila dia tahu saya bawa watak suami di dalam filem. Saya faham perasaannya tetapi hendak buat macam mana saya perlu profesional dalam berlakon,” sambung Jeff lagi.

Rendah diri

Bagi Alvin pula, watak Ah Por, seorang pelakon tambahan, tidak jauh beza dengan diri sebenarnya.

Sebagai penyanyi yang terjebak dalam dunia lakonan, Alvin tidak ‘pantas’ mendukung watak utama di dalam filem. Sebaliknya, pelakon berusia 23 tahun ini bermula dengan watak-watak tambahan.

“Saya mula berlakon sejak tiga tahun lalu menerusi filem Ah Beng The Movies: Three Wishes. Dalam cerita itu saya cuma pegang watak tambahan. Begitu juga beberapa filem saya selepas itu. Akhirnya, menerusi filem ini (3 Brothers) saya berjaya pegang watak utama bersama Jack dan Jeff,” ujar pemegang Diploma Seni Grafik dari Kolej Segi ini.

Bergandingan dengan pelakon popular Jack dan Jeff, Alvin nyata rendah diri. Tentang layak atau tidak gandingannya bersama dua pelakon lebih senior itu, dia tidak mempunyai jawapan.

Namun, dia percaya dengan rezeki yang sudah tertulis buat dirinya.

Filem 3 Brothers sudah menjengah pawagam sejak 11 Disember lalu.