Mustapha Maarof setia hingga akhir hayat



SEBUTIR bintang bernama Mustapha Maarof tidak pernah hilang pesona. Perwatakan lembut penuh ketegasan, karismanya disenangi kerana budiman dan senyuman tersemat dalam ingatan. Paling mahal, aura segak seorang aktor melekat teguh pada sosoknya walaupun sudah memasuki usia tua;

Dalam ingatan ramai, beliau kekal sebagai hero paling tampan dari Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, sewaktu zaman kegemilangan filem Melayu klasik.

Semalam, 15 Disember 2014 tercatat dalam kalendar seni tanah air sebagai hari yang sugul. Gerimis dan liuk dedaun kemboja di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur menyambut seorang lagi ahli barzakh. Sebuah lagi panggilan disahut, seorang lagi hamba dijemput. Kedatangan jenazah beliau ke situ menjadi saat kepulangan, dari dunia persinggahan ke alam abadi.

Mengulang semula ungkapan klise, hakikatnya sekali lagi sinema Malaysia kehilangan seorang seniman besar, permata berharga dan bahkan pejuang kepada seniman sezaman dan generasi seni hari ini. Biarpun namanya tidak sebesar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tetapi harumnya semerbak wangi bersama angkatan seniman dan seniwati tanah air yang lain.

Beliau barangkali bukan bintang yang rancak di depan layar, namun pengaruh dan bakti atris itu terhadap industri selama hayatnya tidak terhitung. Tanyakan kepada generasi seangkatannya, Mustapha boleh diangkat sebagai wira atau patriot yang memperjuangkan jatuh bangun anak seni. Beliaulah juga sumber rujuk kepada karyawan seni yang mahu mengenal asam garam dan mencari pedoman tentang sebarang isu berhubung selok-belok di sebalik tabir populariti sinema tempatan.

Keprihatinan beliau terhadap nasib anak seni tetap menjadi agenda rasmi, sehinggakan pada hari-hari terlantar di katil hospital, bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu masih sempat berpesan agar karyawan seni harus bersatu dan menjauhi pertelagahan.

“Semasa saya melawatnya di hospital, beliau masih sempat memberi amanat. Beliau mahu saya mengekalkan nama baik Seniman, angkat Seniman supaya dihormati semua orang. Beliau minta saya sambung kepimpinan Seniman terdahulu, jangan bergaduh dan kekalkan sambutan Hari Seniman yang diraikan pada setiap 29 Mei.

“Sifat komited terhadap dunia seni dan usaha yang dibuat dalam membela nasib golongan veteran yang dilakukan oleh beliau selama ini sangat bermakna buat seluruh anak seni tempatan. Beliau boleh dianggap sebagai pejuang yang tidak pernah kenal erti putus asa,” getus Presiden Seniman yang baharu, Zed Zaidi yang turut mengiringi majlis pengebumian jenazah.


SETIA Mustapha hanya terhadap Roseyatimah sehingga akhir hayat.


Sebesar mana pun bakti seorang manusia, apabila tiba waktunya, nyawa hanyalah pinjaman Tuhan. Lebih sebulan berdepan situasi kesihatan yang kritikal akibat komplikasi paru-paru, hayat aktor yang cukup terkenal dengan filem Bawang Putih Bawang Merah itu terhenti juga pada detik yang berbaki kira-kira dua minggu sebelum genap usia 80 tahun.

Terdahulu, bapa kepada empat anak itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

Ketika dunia seni masih segar mengingati kehilangan seniman-seniwati pada tahun lepas seperti Omar Suwita yang terlebih dahulu dipanggil Ilahi pada 11 Februari 2013, Kuswadinata (16 Februari), S. Shamsuddin (4 Jun), Latifah Omar (9 Jun), Umi Kathum (24 Julai) dan Datuk Aziz Sattar pada 6 Mei 2014, Mustapha Maarof pula menghembuskan nafas terakhirnya pada 8.38 pagi, Isnin (semalam).

Menambahkan hiba, beliau pergi ketika teman-teman rapatnya sedang merancang untuk membuat kejutan istimewa sempena hari ulang tahun ke-80 beliau pada 1 Januari nanti.

“Arwah seorang selesa membawa hal sendiri. Dia sebenarnya tidak suka peduli hal orang. Pada masa yang sama, beliau sangat teratur orangnya. Semasa kami sama-sama aktif dahulu, dia suka menegur salah dan silap saya. Sebagai pelakon baharu ketika itu, saya ambil positif setiap nasihat beliau. Selepas bagi nasihat, dia akan pujuk saya semula.

“Semasa beliau sakit, beliau sempat menasihati saya supaya jaga kesihatan sebab umur sudah lanjut, Katanya, jangan jadi macam dia, terlantar sakit. Kehilangan beliau hari ini (semalam) memang sangat menghibakan. Dahulu kawan-kawan lain yang pergi, sekarang beliau pula. Ini sudah ketentuan Allah. Hajat kami bersama Seniman dan syarikat produksi beliau untuk buat kejutan hari lahir pada 1 Januari nanti nampaknya bertukar jadi kenduri arwah,” getus seniwati Salmah Ahmad yang pernah berlakon dalam filem Yatim Mustapha dan Pontianak bersama Allahyarham.

Cinta mati

Pada satu sisi yang lain, Mustapha tidak sendiri lagi. Kepulangan beliau ke daerah abadi barangkali sebuah doa suci. bertahun-tahun hidup sendiri selepas kematian isterinya, seniwati Roseyatimah pada tahun 1987 akibat barah payudara, Mustapha sering ditanya tentang keagungan cintanya yang tiada galang ganti.


SUASANA sugul mengiringi persemadian Mustapha.


Dalam sebuah artikel terdahulu, Mustapha pernah ditanya tentang kesetiaan dan cintanya terhadap arwah isteri. Pelakon yang mula-mula berlakon dalam filem Pendekar Bujang Lapok itu menyifatkan kesetiaan kepada seseorang ialah suatu yang sangat abstrak. Beliau tidak berani mengiyakan atau menafikan kerana bimbang perasaan itu menjadi murah. Antara beliau dan Roseyatimah tidak ada janji, andainya salah seorang pergi dahulu, yang tinggal tidak akan berkahwin.

Perjalanan yang tersurat pasti ada tersiratnya. Hari beliau dijemput Ilahi barangkali menjadi hari penyatuan semula sebuah cinta yang telah terputus di atas dunia.

Salah satu permintaan terakhir beliau, mahu bersemadi di sebelah pusara Roseyatimah juga telah dipenuhi. Ibarat sebuah persandingan abadi, bunga-bunga ditabur dan pasangan cinta mati itu sekali lagi berkongsi harum air mawar yang membasahi pusara mereka.

Seniwati Roseyatimah yang dikahwini Mustapha merupakan antara nama besar dalam industri seni tempatan. Allahyarhamah juga telah membintangi tidak kurang daripada 20 buah filem. Antaranya Anak Bapak, Cempaka Biru, Tun Fatimah, Badang, Dang Anom, Pak Pandir Moden dan Pendekar Bujang Lapok. Sebelum berkongsi hidup yang singkat bersama Roseyatimah, Mustapha pernah berkahwin dengan Suraya Harun, juga seorang pelakon pada tahun 1963 dan berpisah kira-kira lima tahun kemudian. Bersama Suraya dan Roseyatimah, Mustapha dikurniakan empat orang anak iaitu Suzlyna, Azlynna, Khairudden dan Mohd. Rezainudden. Namun, Khairudden ditakdirkan menghadap Ilahi terlebih dahulu sewaktu berusia tiga tahun akibat demam denggi.

Seniwati DatukMaria Menado, 82, yang pernah bersama-sama dengan Mustapha dalam filem Pontianak menyifatkan aktor yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu sebagai seorang lelaki yang setia.

“Dia pangkat adik kepada saya. Kami tidak rapat sebagai gandingan dalam filem tetapi di luar lokasi, hubungan kami akrab sampailah ke akhir hayatnya. Dia seorang yang setia terhadap arwah isterinya. Walaupun sudah berusia, masih ramai peminat wanita cuba memikatnya tetapi dia masih setia,” luah Maria Menado.

Kelana seni

Mengimbau zaman awal penglibatan Mustapfa dalam bidang perfileman, anak kepada pengasas bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu sekitar tahun 1948 itu pernah berdepan sebuah situasi tragik pada usia remaja. Bapanya dibunuh kejam ketika beliau masih belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Berbekalkan wang saku sebanyak RM100, kelana beliau ke Singapura ketika berusia 19 tahun ternyata meninggalkan khazanah yang tidak ternilai harganya. Perjudian beliau mengubah perjalanan hidup. Perkenalan dan pertemuan dengan Datuk L. Krishnan yang ketika sedang aktif sebagai pengarah filem di Singapura ketika itu membuahkan rezeki kepada Mustapha. Dia bukan sahaja diambil sebagai anak angkat bahkan mula diterima sebagai pelakon tambahan di Studio Jalan Ampas.


MUSTAPHA MAAROF meninggal dunia pagi semalam (15 Disember). Jenazah seniman legenda itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpu bersebelahan pusara arwah isterinya, Allahyarhamah Roseyatimah.


Selepas filem pertama, Pendekar Bujang Lapok, Mustapha mencapai zaman kegemilangan selepas melakonkan watak sebagai adik Tun Teja dalam filem Hang Tuah. Selama hayatnya, Mustapha, telah berlakon dalam 50 buah filem termasuklah Raden Mas, Seri Mersing, Yatim Mustapha, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Keris Sempena Riau, Ibu Ayam, Mata Dan Hati, Naga Tasik Chini, Play Boy, Si Murai, Detik 12 Malam Jasmin, Matinya Seorang Patriot dan 1957: Hati Malaya.

Sepanjang hayatnya juga, Allahyarham telah menerima anugerah Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang pada tahun 2010 dan Darjah Datuk Paduka Tuanku Jaafar yang membawa gelaran Datuk.

Rezainuddin terkilan

Menyorot kembali momen terakhir sewaktu berkesempatan menjaga Allahyarham bapanya ketika sedang terlantar sakit, anak kedua hasil perkahwinan Mustapha bersama aktres Roseyatimah, Mohamad Rezainuddin, 38, berkata, arwah bapanya pernah berpesan supaya sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan yang terjalin antara adik-beradik yang lain.

“Sebelum pergi menghadap Ilahi, arwah bapa ada mengingatkan saya supaya sentiasa menjaga hubungan silaturahim antara kami. Selain itu, dia juga turut berpesan agar saya menjaga rumah peninggalannya yang terletak di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Pada masa yang sama, Rezainuddin turut melahirkan rasa terkilan terhadap penyebaran mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa, dia dan adik beradiknya yang lain mahu menghentikan bantuan pernafasan yang digunakan oleh bapanya ketika berada di hospital baru-baru ini.

Hakikatnya, Allahyarham Mustapha menghembuskan nafas yang terakhir ketika beliau masih menggunakan mesin sokongan pernafasan tersebut.

“Saya berasa sedikit terkilan atas penyebaran mesej berkenaan. Kami tidak pernah bersetuju untuk menghentikan sokongan pernafasan yang dipakaikan pihak hospital terhadap arwah bapa kami. Apa yang pasti, arwah bapa meninggal dunia secara normal, bukan selepas sokongan pernafasan itu ditanggalkan,” jelas Rezainuddin pilu.