Kisah adaptasi anime Jepun


NOVEL pertama karya Danial Aedy berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar anime di negara ini.


ANIME bukanlah sesuatu yang asing kepada sebahagian besar masyarakat di negara ini. Ia bukan sahaja mendapat perhatian daripada kanak-kanak dan belia malah juga orang dewasa.

Animasi yang berasal dari Jepun itu dipercayai mula bertapak di negara ini sekitar tahun 1990-an dengan kemunculan anime Doraemon, Cardcaptor Sakura, Slam Dunk dan Crayon Shin-chan.

Selain daripada meraih populariti dalam animasi di layar kaca, anime juga mempunyai pengikut yang ramai dalam bentuk mangga (komik Jepun) di negara ini.

Ia dibuktikan dengan lambakan komik-komik dari negara Matahari Terbit itu di kedai-kedai buku tempatan. Antara mangga yang popular di negara ini termasuklah Dragon Ball, Naruto, Initial D dan Detective Conan.

Pengaruh animasi dan mangga turut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Mohamad Danial Anawi Eedy atau nama penanya Danial Aedy.

Menerusi watak-watak di dalam mangga Square Enix dan Light Novel memberi inspirasi kepada pemuda berusia 21 tahun itu untuk menulis sebuah novel anime bertajuk Batang Gembira.

Menurut penulis kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, menerusi novel berkenaan dia berhasrat untuk mengadaptasi karya dan kreativiti dari Jepun dan mengembangkannya di Malaysia.

“Tujuan saya menulis buku ini adalah bertitik-tolak daripada rasa ketidakpuasan hati terhadap jalan cerita dan penamat dalam satu-satu anime atau mangga.

“Daripada situ, timbul minat untuk menulis sendiri cerita anime mengikut gaya dan jalan cerita yang saya inginkan,” jelas Danial Aedy ketika ditemui Kosmo! di Pejabat Kota Buku, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Batang Gembira mengisahkan mengenai seorang remaja bernama Zack yang sebelumnya hidup dalam komuniti manusia biasa sebelum didedahkan dengan kehidupan yang cukup menakjubkan di Bandar Reaktor Scarlet Heights.

Sementara itu di bumi, manusia tidak lagi bergantung kepada sumber fosil untuk menjana tenaga sebaliknya Redwall Corps. telah menemukan sumber baharu sekali gus menjadikan ia sebagai satu-satunya organisasi yang mampu membekalkan tenaga.

Namun, realiti di sebalik revolusi teknologi dunia tersebut munculnya beberapa individu yang berkuasa luar biasa iaitu Esper yang bekerja di balik tabir.

Bagaimanapun, tidak semua pihak bersetuju dengan usaha Redwall Corps. sehingga menyebabkan serangan mengejut di Bandar Reaktor oleh Vector Hollow sekali gus membunuh Esper.

Kini bumi hanya bergantung nasib terhadap Zack. Adakah Zack berjaya menyelamatkan bumi dengan kuasa luar biasa yang ada padanya?

Ujar Danial, kisah yang cuba disampaikan mungkin agak kompleks kepada pembaca.

Kompleks

Namun, sekiranya pembaca dapat memahami peranan setiap watak dalam novel berkenaan, ia sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan pemahaman mereka.

“Kisah ini mungkin agak kompleks sebab itulah saya menyasarkan buku ini kepada golongan belia dan dewasa sahaja tidak kepada kanak-kanak,” katanya yang menjadikan penulis, Tetsuya Nomura sebagai idolanya.

Mengulas mengenai ilustrasi mangga dalam novel terbitan Lejen Press itu, Danial Aedy memaklumkan bahawa ia dilukis oleh seorang pelukis tempatan, Emiree Rahim yang dikenalinya di sebuah pesta komik.

Menerusi pengenalan tersebut, dia mencadangkan kepada pihak penerbit untuk memberi peluang kepada Emiree berkarya dalam novel Batang Gembira.

“Saya sangat kagum dengan kebolehan melukis watak anime yang dimiliki oleh Emiree dan saya yakin ia mampu melukis watak yang cuba digambarkan dalam novel ini.

“Jadi saya cadangkan dia kepada pihak penerbit dan mereka menerimanya,” ujar penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor itu.

Jelasnya lagi, dia pernah berputus asa ketika menghasilkan novel setebal 297 itu. Ia disebabkan, dia bimbang buku karyanya itu tidak mendapat sambutan daripada pembaca di negara ini.

Bagaimanapun, telahan tersebut ternyata meleset apabila novel yang dilancarkan pada Jun lalu itu menerima maklum balas yang sangat menggalakkan daripada penggemar anime di negara ini.

“Ketika proses menulis buku ini, saya pernah berputus asa sebanyak tiga kali selepas terlalu memikirkan mengenai sambutan yang akan diterima terhadap buku ini.

“Selepas diterbitkan dan dengan sambutan yang diterima, penat lelah serta penantian saya selama ini terbalas jua,” katanya sambil memaklumkan mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkan novel berkenaan.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam bidang penulisan serius, Danial Aedy memaklumkan, ia bermula selepas dia melangkah masuk ke alam universiti kerana mempunyai masa terluang.

Ketika itu, timbul minat dalam dirinya untuk menulis kisah anime berbentuk novel dalam bahasa Inggeris.

Namun disebabkan ingin menarik pembaca Melayu, dia memilih bahasa Melayu.

“Saya tidak begitu gemar menulis dalam bahasa Melayu kerana dalam bahasa Inggeris, ia lebih mudah untuk disampaikan,” jelasnya yang pernah mengikuti sebuah bengkel penulisan bahasa Melayu yang dianjurkan oleh pihak universiti.

Kini, Danial Aedy sedang giat untuk menyiapkan dua buah manuskrip sambungan kepada novel Batang Gembira yang dikhabarkan akan menemui pembaca pada tahun hadapan.