Hidup baharu Sari Yanti


ENGGAN mengulas lanjut mengenai isu perceraiannya, Sari Yanti mahu lebih fokus pada kerjaya.


HATI wanita mana yang tidak dirundung gusar tatkala mahu membuka bicara tentang kemusnahan rumah tangga yang pernah dibina bersama lelaki yang dicintainya?

Jiwa siapa yang tidak berkecamuk apabila perihal keruntuhan rumah tangga digebang segenap lapisan khalayak? Begitulah emosi dan gejolak rasa yang dialami oleh pelakon, Sari Yanti sepanjang tahun ini.

Selepas hampir 10 bulan berdolak-dalik dan mengunci mulut tentang kemelut rumah tangga yang dialami, pelakon berusia 30 tahun itu akhirnya mengakui sah bercerai dengan suaminya, Mohd. Eddy Casmady secara tebus talak sebanyak RM10,000 di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 11 Disember lalu.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan pengesahan mengenai kes penceraiannya, pelakon filem Misteri Jalan Lama itu mengakui dia dan Eddy kini sudah tidak mempunyai sebarang ikatan sebagai suami dan isteri.

“Ya, apa yang dihebahkan itu benar dan apa yang diperkatakan oleh khalayak juga betul. Saya dan Eddy sudah sah bercerai,” tuturnya membuka bicara dengan nada suara yang agak perlahan.

Jauh di hujung telefon, kegusaran dan kesedihan suara wanita itu jelas kedengaran. Bagaikan berperang dengan diri sendiri, agak lama untuk bibirnya membutirkan jawapan bagi setiap soalan yang diajukan.

Dirinya barangkali masih belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai statusnya yang kini kembali solo selepas hampir lima tahun bergelar isteri.

“Maafkan saya kerana tidak dapat memberikan sebarang komen. Apa yang telah berlaku, biarlah berlalu.

“Saya enggan untuk mengulas isu ini dengan lebih lanjut,” ucapnya perlahan.

Ditanya mengapakah dia lebih selesa mengambil keputusan untuk berdiam diri, Sari Yanti menegaskan, tiada apa yang menarik ingin dikongsikan dan apa yang perlu dilakukannya sekarang adalah meneruskan kehidupan dan tabah menempuh ujian pada masa akan datang.

“Apa yang lebih penting buat masa ini adalah fokus saya terhadap bidang lakonan.

“Lebih baik saya memberikan sepenuh perhatian pada kerjaya dan anak-anak daripada memikirkan tentang perkara yang sudah lepas,” ujarnya positif.

Diajak berbicara tentang karier seninya, ada suara yang lebih ‘cerah’ kedengaran daripada bibir wanita cantik bermata bundar ini.

Sari Yanti memberitahu, dia kini baru sahaja selesai menghabiskan baki sesi penggambaran bagi drama bersiri Cinta Si Egois yang bakal ditayangkan di saluran HyppTV pada tahun hadapan.


KENANGAN... Perkahwinan yang dibina selama enam tahun bersama Eddy Casmady akhirnya kecundang pada 11 Disember lalu.


Katanya: “Sejak bulan September lalu, saya sibuk menjayakan drama berkenaan. Justeru, pada hujung tahun ini, saya mahu berehat seketika sebelum menerima sebarang tawaran lakonan.

“Mungkin masa yang terluang itu boleh saya gunakan untuk menghabiskan masa dengan anak-anak dan membawa mereka berjalan-jalan.”

Mengimbas kembali kronologi kes penceraiannya dan Eddy, spekulasi mengenai gelodak hubungan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2009 itu mula tercetus apabila khabar angin yang mendakwa dia telah memfailkan penceraian di mahkamah sama pada bulan Februari lalu mula bertiup kencang.

Ternyata, gosip yang melanda tuan empunya nama Sari Yanti Mohamad Nazari itu tidak lenyap dan terhenti setakat di ruangan pojok di beberapa laman web di internet.

Sekitar seminggu selepas dia dikaitkan dengan cerita perpisahannya, ibu kepada Barr Al-Aliy, 4, dan Basit Al-Haq, 2, itu kemudiannya memfailkan permohonan cerai pada 25 Februari 2014.

Walaupun pada waktu itu dia kerap muncul di kaca televisyen menerusi beberapa siri drama, namun, Sari Yanti enggan mengulas tentang permasalah yang dialaminya bersama bekas suami. Baginya, hal peribadi bukan sesuatu yang manis untuk dikongsi bersama umum. Cukup sekadar dia mengesahkan tentang kemelut yang melanda bagi mengelak fitnah pada kemudian hari.

Kini, selepas terlerai kasih sayang dan mula memegang status ibu tunggal beranak dua, Sari Yanti mahu menutup rapat-rapat kisah silam yang pernah melanda dirinya. Dia perlu positif dan optimis dengan kehidupan baharu yang bakal didepaninya kelak.