RON95 dan RON97 turun sebanyak 35 sen seliter

31/12/2014 9:00pm

PUTRAJAYA - Kerajaan telah menetapkam harga runcit minyak petrol RON95 dan RON97 diturunkan sebanyak 35 sen seliter, masing-masing kepada RM1.91 dan RM 2.11 mulai pukul 12.01 pagi, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM1.93 seliter.

"Harga baharu ini akan berkuat kuasa bagi bulan Januari 2015.

"Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan pada 21 November lalu telah memutuskan bahawa penetapan harga runcit RON95 dan diesel akan mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014.

Sehubungan itu, harga runcit petrol RON95 pada bulan Disember ditetapkan pada harga RM2.26 seliter dan diesel, RM2.23 seliter.

Harga RON97 pula adalah RM2.46 seliter.

Dalam pada itu, Hasan berkata, semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak diingatkan agar mematuhi penetapan harga baharu itu.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan harga baharu yang telah ditetapkan kerajaan. - KOSMO!