Amyra, Pekin, Hazama dan Nabil melakar sakti



TAHUN 2014 akhirnya melabuhkan tirai. Sepanjang tempoh itu, dunia hiburan tempatan tidak pernah sunyi dengan kehadiran bakat yang menonjol dalam lapangan seni masing-masing. Amyra Rosli meledak di kaca televisyen menerusi deretan drama rantaian di layar kaca, manakala Pekin Ibrahim meneruskan langkah progresif sebagai pemain filem.

Tidak disangkal pengaruh Hazama Azmi dalam lapangan seni suara tidak terkubur sejurus menamatkan ‘pembelajaran’ di Akademi Fantasia musim kesembilan, tiga tahun lalu. Begitu juga legasi pengacaraan dan komedi Nabil Ahmad yang masih kukuh selepas menjuarai Raja Lawak musim kedua pada tahun 2008.

Bagi mereka, laluan seni yang bersinar cemerlang sepanjang tahun lalu memacu keinginan untuk mendepani karier masing-masing penuh misi bagi tahun 2015.

Barometer populariti Amyra

Si manis yang sedang menguak kelopak, Nur Amira Izzati Rosli atau popularnya disapa Amyra Rosli, 23, sedang diintai populariti. Tiga buah drama rantaian Kristal Maya, Astana Cinta Aleesa dan Suamiku Encik Sotong meletakkan pelakon itu antara yang terlaris di kaca televisyen sepanjang tahun 2014.

Kecundang dalam alam percintaan tidak mematahkan usaha Amyra untuk kembali bangkit. Tahun 2014 membuahkan sejuta rasa dan sebuah pengharapan baharu untuk pelayaran tahun mendatang.

“Banyak manis dan pahit yang saya lalui sepanjang tahun 2014 dikumpulkan untuk menjadi bekalan tahun 2015. Tiada apa yang mahu saya perbetulkan jika dapat diundurkan masa kerana pengalaman itu satu-satunya perkara manis yang dapat mendidik agar saya lebih matang,” katanya yang baru dua tahun berkelana dalam dunia seni lakon.

Amyra meletakkan barometer popularitinya di tangga dua persepuluh. Katanya, sebagai pendatang baharu, dia bersyukur apabila kehadirannya diterima industri hiburan dan mendapat sokongan daripada peminat.

“Saya masih belajar, belajar membina personaliti dan bakat kerana perjalanan masih jauh. Bagaikan mimpi sebenarnya apabila ramai yang menghargai penat lelah saya bekerja siang malam.

“Cerita cinta, gosip dan khabar angin negatif tidak boleh bawa ke mana,” tegas Amyra yang meledak namanya ketika berita putus tunang bersama pelakon Dazrin Kamarudin tersebar Ogos lalu.


PEKIN kecundang dalam cinta namun kerjayanya sebagai aktor semakin stabil.


Pekin paling laris

Tahun 2014 merupakan tahun yang penuh gelombang buat aktor Pekin Ibrahim atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 33. Manisnya sepanjang tahun lalu, dia bekerja keras dan hasilnya dia bakal menjadi aktor yang paling kerap muncul di pawagam pada tahun 2015. Antara filem lakonannya yang sudah memperoleh tarikh tayangan ialah Rumah Pusaka Di Simpang Jalan (1 Januari), Villa Nabila (15 Januari) dan Coverina (19 Februari).

Selain itu, Pekin juga telah berlakon dalam filem Tujuh, Juvana 2, Rentas, The Red Warriors dan Desolasi. Bagi tahun 2015, anak kelahiran Kelantan itu bakal menjalani penggambaran filem Rock 3 dan sebuah filem arahan Din Said serta terlibat dalam teater muzikal Rock di Istana Budaya.

“Jujurnya tahun 2014 merupakan tahun kerja keras dan tahun yang cukup positif untuk kerjaya saya sebagai anak seni. Hasilnya boleh dilihat sepanjang tahun 2015 serta 2016. Saya bersyukur kerana tahun lepas saya tidak putus-putus menerima tawaran filem bahkan jadual 2015 juga sudah semakin penuh.

“Saya percaya, jika saya menjaga kualiti kerja dengan baik, orang akan nampak hasilnya. Populariti akan datang seiring dengan kualiti kerja dan saya tidak kejar populariti walaupun saya tahu ia penting untuk seseorang yang bergelar artis,” katanya yang tidak dapat melupakan pengalaman memberi ceramah berkaitan filem di London, England pada pertengahan tahun 2014.

Apabila bercerita tentang pahit 2014, Pekin mula melakar senyuman kelat sambil berkata, satu Malaysia sudah tahu hubungan cintanya dengan aktres Uqasha Senrose berakhir di tengah jalan.

“Pahitnya, hubungan cinta yang tidak jadi. Mahu tidak mahu saya harus hadapi realiti dan terima apa yang berlaku dengan penuh positif. Saya percaya Allah tarik satu nikmat, Allah beri nikmat yang lain. Walaupun kehidupan peribadi saya tidak berapa baik tetapi kerjaya saya berjalan dengan cukup lancar, lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya,” luahnya.

Saat ditanya sebagai aktor, apa perubahan yang ingin dilihat dalam industri perfileman, terang Pekin, dia mahu melihat filem Malaysia mempunyai keberanian mengangkat naskhah realiti yang lebih dekat dengan penonton.


AMYRA menyifatkan pengalaman manis tahun 2014 apabila kehadirannya diterima industri hiburan dengan terbuka.


“Sekarang terlalu banyak filem yang tidak berpijak pada realiti. Pembikin filem hanya mengikut trend semasa. Jadi, saya harap pada tahun 2015, akan muncul filem yang dekat dengan realiti dan masyarakat. Harapan saya penonton Malaysia akan kembali ke panggung wayang,” kata Pekin menutup bicara.

Hazama kekal momentum

Penyanyi Hazama yang popular dengan Malaikat pada tahun 2014 bersyukur dengan kecemerlangan kerjaya serta populariti yang tidak pernah berkurangan. Tegas Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 30, saat paling getir buat seorang penyanyi ialah mengekalkan momentum kerja dan itu bukan satu perkara yang mudah.

“Sebenarnya untuk dikenali dan popular tidak sukar tetapi paling sukar ialah bagaimana untuk seseorang penyanyi kekal dalam industri muzik. Penyanyi baharu akan muncul setiap hari, jadi saya harus banyak berkorban masa untuk beri fokus kepada kerjaya supaya kualiti kerja saya tidak lari daripada landasan,” ujar Hazama yang meletakkan kualiti kerjanya di tahap sembilan dan populariti di tahap tujuh daripada sepuluh.

Bagaimanapun, saat paling tidak boleh dilupakan oleh Hazama ialah ketika melancong selama tiga minggu ke Boston, Amerika Syarikat (AS) sekitar Mei lalu. Kata Hazama, dia tidak pernah menyangka akan dapat melancong ke Amerika Syarikat menggunakan duit poketnya sendiri.

“Mungkin bagi orang lain melancong ke luar negara itu perkara yang biasa, tetapi bagi saya yang tidak pernah termimpi untuk melancong sehingga ke AS menggunakan wang sendiri merupakan satu kenangan terindah yang tidak dapat saya lupakan.

“Saya tidak pernah sangka akan sampai ke sana (Amerika). Walaupun hanya tiga minggu tetapi ia telah mengubah cara pemikiran saya untuk menjadi orang yang lebih positif dan berdaya saing,” terang juara Akademi Fantasia musim kesembilan itu.

Jelas Hazama, jika ada perkara yang boleh diubah dalam industri muzik tempatan pada tahun 2015, dia ingin melihat lebih banyak kemunculan penyanyi wanita yang mempunyai vokal yang hebat.

“Sebenarnya industri muzik tempatan kekurangan penyanyi wanita yang mempunyai vokal yang bagus. Saya lihat, apabila Yuna muncul, ramai yang ingin jadi sepertinya tetapi vokal tidak seberapa hebat dan tidak setanding Yuna. Cukuplah kita ada seorang sahaja Yuna.

“Apa yang kita perlu ialah penyanyi wanita dengan vokal yang hebat supaya industri muzik kita lebih meriah,” kata Hazama yang kini sedang mengumpul material untuk album baharunya.


AMYRA ROSLY, Hazama, Nabil dan Pekin masing-masing mempunyai lakaran istimewa sepanjang tahun 2014.


Portfolio cemerlang Nabil

Jika diselak satu demi satu portfolio seni Ahmad Nabil Ahmad, 31, nama juara pertandingan Raja Lawak musim kedua itu lebih mudah diingati sebagai seorang pengacara berbanding penghibur di atas pentas komedi. Bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa momentum Nabil sebagai pelawak tidak pernah mengecewakan. Pada saat banyak rakan seperjuangan tenggelam timbul dengan tawaran, Nabil terus konsisten.

Terbaharu, pengacara program hiburan MeleTop itu diberi kepercayaan mengemudi Anugerah Planet Muzik 2014 (APM2014) yang berlangsung di Singapura pada bulan Oktober tahun lalu bersama Sarah Sechan dari Indonesia dan Dyn Norahin dari Singapura.

Menjadikan tanggungjawab tersebut sebagai pencapaian terbaiknya setakat ini, Nabil berkata, dia mahu membuktikan bahawa pelawak juga boleh menggalas tugasan yang serius, lebih-lebih lagi mengacarakan sebuah majlis yang berprestij.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mengacarakan majlis sebesar itu. Apatah lagi apabila saya diberi peluang bergandingan dengan dua pengacara hebat dari negara seberang.

“Mengacarakan APM2014 ialah peluang yang sangat bermakna. Bukan sahaja dapat menguji kredibiliti saya sebagai seorang pengacara, malah peluang itu dapat membuka mata banyak pihak bahawa pelawak juga boleh mengacarakan acara besar dengan baik.

“Saya berharap agar ramai lagi pelawak tempatan diberikan peluang untuk menunjukkan bakat mereka mengacarakan majlis-majlis besar pada masa akan datang,” jelas Nabil yang kini masih bertanding dalam Maharaja Lawak Mega 2014.