Khat pena buluh lebih halus



KHAT atau kaligrafi Islam berbentuk tulisan jawi atau Arab merupakan kraf tangan unik dan melambangkan seni warisan masyarakat Islam. Meskipun masyarakat Islam lancar menulis tulisan jawi, seni khat memerlukan hasil tangan yang halus.

Pada November lalu, wakil-wakil media dari dalam dan luar negara seperti Indonesia dan Brunei telah melawat Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam sebagai salah satu lokasi seni kraf dalam program Kembara Kraf Selangor 2014. Selain itu, wakil-wakil media turut berpeluang mempelajari lebih lanjut mengenai tulisan kaligrafi itu.

Salah seorang penulis khat, Mohd. Hishamuddin Ramli, 23, yang ketika itu sibuk bekerja, sudi meluangkan masa untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam menghasilkan produk seni tersebut.

“Minat saya terhadap seni khat ini wujud sejak di bangku sekolah lagi. Pada tahun 2008, saya mempelajarinya dengan lebih mendalam dan akhirnya menjadi penulis khat di sini.

“Penulisan khat bukanlah mudah pada awalnya dan ia memerlukan banyak latihan,” katanya sambil meneliti semula seni khat yang ditulis.

Tambahnya, setiap penulis mempunyai teknik latihan tersendiri yang berbeza-beza. Mohd. Hishamuddin misalnya, menghabiskan masa selama 10 hingga 15 minit untuk melatih tangannya menulis khat. Langkah pertama, dia menggunakan pensel sebagai panduan sebelum menulis dengan dakwat dan pena buluh.


HURUF jawi mempunyai teknik tulisannya yang tersendiri.


Teknik

Menurut Mohd. Hishamuddin, cabaran menulis seni khat ini terletak pada teknik penulisan itu sendiri. Terdapat sesetengah huruf jawi yang menggunakan teknik keras manakala sesetengahnya menggunakan teknik lembut. Misalnya, huruf Alif perlu menggunakan teknik keras untuk mendapatkan tulisan yang cantik.

Selain menulis khat untuk tujuan pameran, Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam turut terbabit dalam projek utama membuat lembaran-lembaran al-Quran yang dicetak di luar negara.

Mereka juga menyediakan bengkel penulisan khat kelas mengaji bagi pelajar-pelajar yang berminat.

Setakat ini, terdapat tujuh orang penulis khat dan kebanyakannya merupakan graduan Kolej Yayasan Restu. Kolej tersebut berada dalam kompleks itu sendiri. Selepas pelajar menamatkan pengajian, sesetengahnya diserap masuk menjadi pekerja tetap di kompleks tersebut.

Bekas graduan Kolej Yayasan Restu, Hafizuddin Mohd. Rasid, 24, juga merupakan seorang penulis khat di kompleks tersebut.

“Khat sangat unik kerana ia mempunyai kira-kira sembilan jenis tulisan dan setiapnya berbeza-beza,” ujarnya. Sembilan jenis khat terdiri daripada Khat Kufi Mushaf, Kufi Murabba’, Muhaqqaq, Nasakh, Thuluth, Riqa’ah, Farisi, Diwani dan Diwani Jaliy. Sebagai contoh, Khat Nasakh merupakan khat yang paling mudah difahami dan dibaca berbanding Khat Thuluth dan mempunyai tanda baris manakala Khat Riqa’ah dikenali sebagai khat yang cantik tanpa tanda baris.


GALERI rumah Rasulullah SAW yang terdapat di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor.


Hafizuddin menjelaskan, tulisan khat yang ditulis menggunakan pena buluh dan dakwat menghasilkan tulisan yang paling kemas dan cantik malah hasilnya juga lebih halus berbanding menggunakan pen.

Apabila penulis melakukan kesilapan di atas kertas, mereka menggunakan alat seperti belati kecil untuk mengikir dan membetulkan semula. Namun, alat tersebut hanya boleh mengikir kesalahan-kesalahan yang kecil. Apabila penulis melakukan kesalahan yang kerap, alat pengikir tidak boleh digunakan kerana khuatiri akan merosakkan kertas lembaran jadi penulis dikehendaki menulis semula.

Menariknya, wakil-wakil media yang mengikuti Kembara Kraf Selangor 2014 juga berpeluang mengikuti bengkel menulis seni khat selepas melawat galeri-galeri Islam di kompleks tersebut. Oleh kerana sudah lama tidak menulis tulisan jawi apatah lagi khat, kebanyakan mereka berasa kekok untuk menulisnya.

Kembara Kraf Selangor 2014 itu berlangsung selama tiga hari bermula dari 21 November sehingga 23 November. Kembara tersebut melawat lokasi-lokasi kraf di sekitar Selangor seperti Sungai Buloh, Kuala Selangor, Batu Caves, Gombak, Ampang dan Petaling Jaya. Antara kraf-kraf yang menjadi tumpuan dalam kembara tersebut ialah kraf rumah kayu tradisional, tembikar, seramik, piuter, logam dan batik.

Paling unik

Anuar Md. Diah, 33, daripada Majalah Gaya Travel yang mengikuti kembara tersebut menjelaskan, seni kaligrafi merupakan seni kraf tangan yang paling unik berbanding yang lain kerana bahan-bahan yang diperlukan tidak rumit. Hanya pena buluh, dakwat dan kertas.

“Saya pasti masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan Kompleks Taman Seni Islam ini. Selain mengikuti bengkel tulisan kaligrafi, pelawat juga dapat meninjau galeri-galeri untuk mengetahui lebih lanjut tentang keindahan Islam,” ujarnya.


ANTARA pameran yang terdapat di kompleks ini.


Sementara itu, Ketua Bahagian Muamalat kompleks itu, Zarina Mahusin, 46, memberitahu, pelawat dialu-alukan untuk melawat Kompleks Taman Seni Islam itu kerana ia terbuka kepada semua.

“Kemungkinan besar ramai yang tidak tahu tetapi kompleks ini terbuka bukan sahaja terhadap masyarakat Melayu bahkan kaum-kaum lain,” katanya kompleks tersebut dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari kecuali cuti umum.

Menurut Zarina, Malaysia tidak mempunyai kemudahan untuk mencetak sendiri lembaran al-Quran namun, dijangkakan pada tahun 2015 ini, negara bakal mempunyai pencetakan al-Quran yang pertama dan tersendiri.

“Kami berharap projek untuk menjadikan kompleks ini sebagai tempat pencetakan al-Quran tersendiri dilaksanakan bertujuan untuk menyimpan dan membina budaya warisan Islam,” ujarnya.