Nina Juren kembali aktif berlakon


SELAIN muncul di dalam filem Romeo Kota (Kes Fail: Kriptik), Nina Juren juga terbabit di dalam drama Jangan Lafaz Janji.


WATAK Zita yang pernah dilakonkan oleh aktres Datin Nina Juren menerusi filem Lenjan sekitar 17 tahun lalu mungkin masih segar bermain dalam minda penonton.

Beraksi dengan Datuk Rosyam Nor dan Eman Manan, tuan empunya nama Haznina Juren Haniff, 43, itu pernah membuktikan kepada khalayak bahawa kehadirannya waktu itu tidak bersandarkan rupa paras semata-mata.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Mohd. Ibrahim Mohd. Noor pada tahun 2002, aktiviti seni wanita tinggi lampai itu dilihat terus terhenti.

Bagaimanapun, kira-kira enam tahun kemudian, kelibatnya sekali lagi muncul di kaca televisyen menerusi drama bersiri Impak Maksima. Namun, selepas terlibat dengan drama yang turut menampilkan pelakon Awal Ashaari dan Fasha Sandha itu, namanya sekali lagi hilang ditelan waktu.

Kini kerinduan peminatnya kembali terubat apabila Nina muncul di dalam filem pertama arahan Aaron Aziz, Romeo Kota (Kes Fail: Kriptik).

Membawa karakter pengetua kolej, Nina bagaimanapun muncul dalam beberapa babak sahaja.

Namun, itu menjadi petanda awal bahawa dia kini sudah bersedia aktif berlakon semula.

“Sudah lama saya menyimpan keinginan untuk muncul semula. Namun, disebabkan pada waktu itu anak-anak masih kecil, hasrat tersebut terpaksa dilupakan.

“Apabila mereka sudah menginjak usia dewasa dan pandai menguruskan diri sendiri, saya ambil kesempatan itu untuk kembali aktif sebagai pelakon,” ujarnya yang ditemui usai tayangan perdana filem tersebut sambil tersenyum.

Menurut aktres yang pernah membintangi filem Imigran itu, walaupun dia mengambil keputusan untuk membesarkan enam orang anaknya, Heidi Ariana, 20; pasangan kembar Mira Sethina dan Myra Jasmine, 18; Nina Melor, 16; Seth Imaran, 11, dan Nina Jasmine, 10, namun suaminya tidak pernah menghalang Nina untuk meneruskan kariernya sebagai anak seni.

“Suami saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat jika saya mahu kembali berlakon dan dia sentiasa berada di belakang untuk menyokong kerjaya saya.

“Malah, dia juga sedar bahawa saya sangat rindu untuk kembali ke bidang ini,” katanya yang hanya boleh mengikuti perkembangan dunia hiburan dengan menonton drama bersiri yang telah dirakam selepas anak-anaknya masuk tidur.

Kelam-kabut

Pelakon drama bersiri Idaman itu turut memberitahu, setelah lama tidak terlibat dengan proses penggambaran drama dan filem, dia berasa sedikit kekok untuk menjiwai watak.

Tambah Nina, cara kerja yang diamalkan oleh pengarah dan penerbit masa kini juga jauh berbeza jika mahu dibandingkan ketika dia mula-mula bergelar pelakon suatu ketika dahulu.

“Sejujurnya, setelah lama tidak berlakon, saya memerlukan masa yang agak lama untuk masuk ke dalam sesuatu watak yang diberikan. Selain itu, saya juga perlu membiasakan diri dengan cara kerja yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat produksi.

“Dahulu, saya biasanya dibekalkan dengan keseluruhan skrip sebelum bermulanya sebarang penggambaran drama bersiri. Namun sekarang, saya diberi skrip mengikut babak yang ingin dirakamkan berdasarkan jadual yang diberikan oleh pengarah.

“Ia agak kelam-kabut, namun lama-kelamaan saya sudah terbiasa dengan proses itu,” ujarnya bercerita tentang proses penggambaran drama bersiri Jangan Lafaz Janji yang akan ditayangkan di RTM.

Menurutnya lagi, walaupun dia sudah bersedia seratus peratus untuk kembali aktif berlakon, namun dia mengakui agak selektif terhadap watak-watak yang ditawarkan kepadanya.

“Sekarang saya sudah berkeluarga dan anak-anak pula semakin dewasa. Jadi, biarlah watak yang saya bawakan bersesuaian dengan status saya sekarang,” ujar Nina yang tidak kisah jika ditawarkan watak sebagai seorang ibu atau wanita yang lebih berusia.