Pengarahan pertama Aaron Aziz



FIGURA bernama Aaron Aziz sudah dikenali umum sebagai aktor berkredibiliti. Impak kerjanya terbukti menerusi rangkaian filem, telemovie serta drama bersiri yang pernah dibintangi.

Sejak mula menapak dalam industri lakonan tempatan sekitar 11 tahun yang lalu menerusi drama bersiri Haryati terbitan RTM, portfolio seni anak jati kelahiran Singapura itu semakin ampuh.

Selain berlakon, Aaron juga turut berjinak-jinak dalam bidang pengarahan menerusi klip video Untuk Dia oleh artis naungannya, Sleeq.

Mengukuhkan lagi pengaruh dalam lapangan pengarahan tanah air, pelakon berusia 39 tahun itu mula melebarkan sayap sebagai sutradara dalam filem debut arahannya, Romeo Kota (Kes Fail: Kriptik).

Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Aaron berkata, hasrat untuk duduk di atas kerusi pengarah telah lama terpendam dalam jiwa besarnya.

Impian yang telah lama berputik itu akhirnya tercapai apabila penerbit Ahmad Idham menawarkan posisi tersebut untuk menerajui filem yang turut menampilkannya sebagai pelakon utama.

“Saya tidak menyangka diberi tanggungjawab untuk mengarahkan filem ini oleh Ahmad Idham. Dia yang sepatutnya mengarahkan filem ini tetapi melepaskan tanggungjawab itu kepada saya kerana terpaksa memenuhi tuntutan kerja di Johor.

“Menganggap sebagai peluang keemasan, saya tidak berfikir panjang lalu bersetuju untuk mengarahkan filem ini,” jelasnya yang yang turut memegang watak sebagai anggota polis berjawatan koperal bernama Romi.

Berbicara tentang pengalaman sulungnya sebagai pengarah, Aaron memberitahu, tugas tersebut terpaksa diseimbangkan agar fokusnya sebagai pelakon juga tidak jauh tersasar.

“Bukan mudah untuk menggalas dua tugas sebagai pengarah dan pelakon secara serentak kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi. Jadi, tekanan itu perkara normal. Namun, demi tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan, saya cuba sehabis baik untuk menghasilkan sebuah filem yang menepati cita rasa umum,” jelasnya yang banyak mendapat tunjuk ajar daripada Ahmad Idham yang sering turun padang memantaunya di lokasi penggambaran.


AARON AZIZ sedia dikritik andainya filem Romeo Kota tidak memberikan kepuasan maksimum sebagaimana yang diharapkan oleh peminat filem.


Tidak dikongkong

Melanjutkan perbualan, Aaron berkata, Ahmad Idham tidak pernah mengongkong kreativitinya sebagai pengarah. Idham turut memberi kelonggaran kepada Aaron untuk mengubah beberapa bahagian pada skrip apabila dirasakan sesuai.

“Kami melihat skrip filem ini seperti sebuah rangka. Sebelum mengarah, terlebih dahulu jalan cerita telah sediakan dan ditulis oleh Ahmad Idham.

“Apabila sampai giliran saya untuk mengarah, saya hanya perlu mencantikkannya sahaja supaya ia sesuai dengan perjalanan keseluruhan karya tersebut.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira kerana dapat bekerja bersama penerbit seperti Idham. Dia tidak meletakkan sebarang syarat mahupun kekangan apabila saya sedang berkarya, malah banyak memberikan tunjuk ajar ketika sesi penggambaran sedang berjalan,” ujarnya panjang lebar.

Pemilihan Nabil

Filem kepolisan yang menelan belanja sebanyak RM1.7 juta itu turut mengetengahkan kemunculan watak Lans Koperal Fakrul yang dilakonkan oleh pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad.

Ketika ditanya apakah kriteria yang ada pada Nabil sehingga dipilih untuk memegang watak tersebut, Aaron menjelaskan, pengacara program MeleTop itu memiliki faktor fizikal yang sesuai selain mampu untuk meredakan konflik penceritaan sesebuah filem aksi dengan sifat komedi yang secara natural ada dalam diri Nabil.

“Saya memang memberitahu Idham bahawa watak Fakrul perlulah mempunyai ketinggian yang sama dengan saya.


AARON (tengah) bersama-sama dengan pelakon dan karyawan yang terlibat dalam filem Romeo Kota (dari kiri) Ahmad Idham, Shenthy Feliziana, Nabil, Azlan Jaffrill (penerbit bersama), Nina Juren dan Syarif Sleeq semasa tayangan perdana filem Romeo Kota baru-baru ini.


“Selain itu, watak tersebut juga harus melengkapi watak Romi yang digambarkan agak serius. Pada pendapat saya, Nabil merupakan calon yang sesuai bagi membawakan watak ‘sidekick’ kepada Romi itu,” ujarnya yang berbangga dengan penglibatan Nabil dalam produksi tersebut.

Kehadiran Dwi

Seperkara yang menarik mengenai Romeo Kota ialah anak kedua Aaron iaitu Dwi Ariana, 8, turut membuat penampilan istimewa sebagai pelakon undangan.

Tidak dirancang sejak dari awal pembikinan, bagaimanapun menurut Aaron, kemunculan Dwi hanyalah satu kebetulan apabila pelakon kanak-kanak yang sepatutnya berlakon dalam filem berkenaan tidak hadir ke lokasi ketika sesi penggambaran dijalankan.

“Ketika itu, keluarga saya turut hadir dan makan di restoran yang sama di tempat kami melakukan penggambaran. Kebetulan, pelakon cilik yang sepatutnya melakonkan watak tambahan tidak hadir.

“Buntu dan tidak ada banyak masa untuk mencari pelakon kanak-kanak lain, saya terus terfikir untuk menggantikan pelakon itu dengan Dwi,” katanya yang tidak kisah jika Dwi bakal mengikuti jejak langkahnya sebagai pelakon suatu hari nanti.

Terus berkarya

Walaupun Romeo Kota merupakan karya pertama yang memperlihatkan kreativiti Aaron sebagai seorang pengarah, aktor yang pernah mencipta fenomena menerusi filem Ombak Rindu itu tidak menafikan bakal meneruskan kerja di kerusi pengarahan tersebut pada masa akan datang.

“Insya-Allah, saya akan terus mengarah. Saya tidak serik, malah banyak lagi perkara yang mahu saya persembahkan kepada khalayak.

“Cuma, saya perlu banyak belajar dan memperbaiki diri supaya mampu menjadi pengarah yang baik,” jelasnya yang sudah bersedia untuk menerima sebarang reaksi daripada penonton.

Filem Romeo Kota mengisahkan dua anggota polis iaitu Koperal Romi (Aaron) dan Lans Koperal Fakrul (Nabil) yang berusaha membanteras jenayah pengedaran dadah di sebuah kolej swasta.

Filem terbitan Exellent Pictures itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Datin Nina Juren, Sofi Jikan, Ahmad Idham, Hanis Zalikha, Fizo Omar dan kumpulan Sleeq.

Mula ditayangkan pada 8 Januari lalu, filem yang turut menampilkan muka baharu, Shenthy Feliziana itu juga ditayangkan serentak di Brunei.