Rungus Kudat kaya budaya

Gelagat seorang peserta cuba menaiki sampan bagi merasai sendiri salah satu pengangkutan sungai yang digunakan oleh kaum Rungus.


16 buah motosikal berkuasa tinggi memecah kesunyian sebaik konvoi jelajah seni memasuki persekitaran pantai Tindakun Dazang di Kudat.

Pantai yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu itu memiliki segala keistimewaan. Hamparan pasir yang memutih dengan air laut kebiruan dan deruan ombak kecil menjadi saksi kepada keindahan alam ciptaan Tuhan.

Ketibaan rombongan itu di pantai yang turut menempatkan rumah panjang suku kaum Rungus disambut dengan senyuman manis dua remaja perempuan lengkap berpakaian tradisional.

“Selamat datang. Abang-abang bikers hari ini nampak jambu dengan warna baju merah jambu,” sapa salah seorang daripada mereka.

Pujian berkenaan segera dibalas oleh kumpulan motosikal terbabit secara beramai-ramai.

“Baru nampak feminin, yakin dan berani,” ujar mereka sambil disambut dengan gelak ketawa.

Ironinya, kehadiran 16 kumpulan bikers bersama 34 lagi rombongan termasuk media itu adalah bersempena program Jelajah Seni Budaya Zon Sabah.

Program yang diaturkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Sabah itu merupakan destinasi terakhir dan kesinambungan bagi Program Jelajah Budaya yang telah diadakan bagi Zon Pantai Timur, selatan, utara Semenanjung dan Sarawak.

Matlamat utamanya sebagai satu platform dalam merakyatkan budaya terutama seni dan budaya yang melambangkan identiti sesebuah negara.

Shukry Jurip, 39, memberitahu, program itu bertepatan kerana salah satu tarikan pelancongan ialah seni budaya.

Menurutnya, keindahan pantai, landskap dan hutan di Malaysia amnya boleh ditemukan di kebanyakan tempat.

“Apa yang uniknya ialah budaya tradisional kita meliputi mak ong, tarian kuda kepang dan gawai.

“Di Sabah sahaja, terdapat 32 kumpulan etnik seperti kaum Rungus ini. Pakaian tradisional mereka masih dilakukan melalui hasil tenunan tangan sendiri daripada kapas yang lebih dikenali sebagai kapok oleh penduduk setempat,” katanya.

Bertugas sebagai pemandu pelancong sambilan, Shukry menambah, kebanyakan pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan masyarakatnya.

Malah ujarnya, ada dalam kalangan mereka yang tinggal di kampung untuk merasai kehidupan kita selain merakam perkahwinan mengikut ada resam masyarakat Sabah.

“Jadi, buat apa kita malu dengan suku kaum sendiri sedangkan masyarakat luar negara berlumba-lumba mahu mengenali budaya kita,” terangnya yang bersusur galur kaum Bajau Laut.

Menerusi program selama tiga hari dua malam itu, kesemua peserta diagihkan kepada lima keluarga angkat yang bernaung dalam Misompuru Homestay bagi mendalami keunikan kaum Rungus.

Duta Inap Desa Sabah, Aireenzey Zunaide, 17, memberitahu, satu permainan unik yang semakin pupus ialah inul dazang yang diperbuat daripada rotan.

Gadis yang berasal daripada suku kaum Rungus itu menjelaskan, pada zaman dahulu permainan tersebut digunakan oleh keluarga belah perempuan dalam menguji tahap kesabaran, keyakinan dan keteguhan cinta sebelum menyerahkan anak perempuan mereka kepada bakal suaminya.

Silang rotan


Sebahagian peserta tekun melihat tenunan manik dilakukan dua remaja suku kaum Rungus.


“Ada tujuh peringkat permainan tersebut yang memerlukan lelaki harus memecahkan teka-teki penyilangan rotan dengan membawa keluar satu gelungan rotan terdapat dalam permainan tersebut.

“Sekiranya tidak mampu mengeluarkannya maka dia tidak dibenarkan berkahwin dengan bakal isterinya oleh keluarga perempuan.

“Dalam erti kata lain, berlawanan dengannya adalah umpama filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam Musang Berjanggut yang memerlukan mengasingkan gula, garam, rempah dan beras,” ujarnya.

Tambah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati II, keluarga si perempuan tidak lebih melihat kepada harta benda sebaliknya kekuatan mental dan daya usaha lelaki.

Tarian samah

“Persekitaran pada masa lalu memerlukan kudrat lelaki yang lebih, bersemangat dan kental sepanjang masa kerana kaum Rungus tidak mengusahakan sawah sebaliknya padi huma sebagai sumber utama mereka,” katanya.

Dalam memastikan wujudnya integrasi nasional, seramai tujuh orang termasuk tok batin Orang Asli Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang didatangkan khas bagi memeriahkan program tersebut.

Kemeriahan jelas terserlah apabila kumpulan pribumi tersebut menari tarian samah yang mendapat tepukan gemuruh sama ada dalam kalangan penduduk setempat dan para peserta program.

Menurut tok batin mereka, Bah Bola a/l Bah Anap, 32, berkata, ia menjadi satu penghormatan dalam memperkenalkan tarian suku kaum Orang Asli di bumi Sabah. “Ia satu pengalaman yang menarik. Sepanjang sedekad terlibat dalam kegiatan pelancongan inilah kali pertama kami bertujuh datang ke Sabah.

“Mereka sangat ramah dan mesra menerima kami. Sudah tentu, ini adalah satu kemuliaan kepada kami,” ujarnya.

Bah menegaskan, titian hubungan dua hala antara etniknya dengan kaum Rungus melalui pertukaran buah fikiran dan idea, serta saling mempelajari adat resam dan cara kehidupan seterusnya mewujudkan persefahaman dari aspek sosial dan budaya.

Pandangan tersebut diakui Cyirlla Loraine Collins, 15, yang berpendapat, seni budaya itu lebih mudah diekpresikan melalui tarian.

Menurut Cyirlla, tarian merupakan bentuk komunikasi yang universal melalui gerakan tubuh badan yang mempunyai unsur-unsur keindahan.

Refleksikan diri

Kata pelajar tingkatan tiga SMK Sikuati II, keindahan itu dapat dilihat pada gerakan tangan, kaki, badan, mata dan anggota lain.

“Bagi suku kaum kami, tarian tradisional dikenali Sumundai Mongigol yang memerlukan penari perempuan merapatkan bahu antara satu sama lain selain menggerakkan pergelangan tangan dengan langkah-langkah yang perlahan dan lembut.

“Kelembutan yang dipamerkan itu sedikit sebanyak menonjolkan ketelitian wanita Rungus dalam melakukan sesuatu termasuk kreativiti hasil tangan kami seperti gubahan manik, rinago dan tenunan.

“Ini adalah khazanah yang amat berharga ditinggalkan oleh nenek moyang kami,” tegasnya.

Seperti tarian, menunggang motosikal terutama yang berkuasa besar adalah terapi bagi para penunggangnya.

Adam Syafiq Saludin, 19, yang merupakan penunggang paling muda dalam 16 kumpulan bikers berkenaan berpendapat, program sebegini mendedahkan generasi muda sepertinya bahawa seni dan budaya perlu dikekalkan dan disambung demi kelangsungan identiti tamadun.

“Jika sebelum ini, hanya menunggang dari satu ke tempat lain untuk menghabiskan masa tertentu namun, program jelajah budaya ini ada isi utamanya.

“Ini kerana budaya tradisional itu membuatkan kita lebih mengetahui asal usul sesuatu kaum dengan melihat, merasa dan melakukannya sendiri,” jelas pelajar tahun pertama Kejuruteraan Perisian Universiti Malaysia Sabah ini.