Sabah singkir Callaghan, Fazrul

KONTRAK Callaghan (kanan) selaku pengurus pasukan Sabah ditamatkan serta-merta berkuatkuasa semalam. (gambar kecil) Fazrul Nawas


SKUAD Liga Premier Sabah bergolak semalam. Satu kejutan berlaku apabila skuad tersebut mengambil tindakan drastik pengurus pasukannya, George O'Callaghan berkuatkuasa serta-merta.

Turut menjadi mangsa tindakan skuad Badak itu ialah pemain import yang juga penyerang kebangsaan Singapura, Fazrul Nawas.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan Sabah, Datuk Seri TC Goh dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi baharu Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Menurut Goh, keputusan memecat Callaghan dan Fazrul dibuat selepas kedua-dua individu itu didapati melanggar kontrak dengan pasukan.

"Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengambil keputusan serta-merta untuk memecat pengurus pasukan dan seorang pemain import kerana mereka didapati melanggar kontrak.

“Mereka sudah seminggu tidak bersama pasukan dan apa bentuk pelanggaran kontrak yang mereka lakukan biarlah pasukan yang tahu,” katanya.

Callaghan yang merupakan bekas pemain kelahiran Ireland dan pernah beraksi bersama kelab Brunei, DPMM FC mula mengikat kontrak bersama Sabah sebagai pe­ngurus pasukan sejak Oktober tahun lalu manakala Fazrul disahkan sebagai pemain import keempat pasukan itu pada Disember lalu.

Ekoran tindakan tersebut, pelbagai spekulasi kini timbul apabila jawatan tersebut mula dikaitkan dengan bekas jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.

Ditanya me­ngenai desas desus kehadiran Kim Swee, Goh menjelaskan perkara tersebut tidak dapat diperjelaskan sehinggalah pihak pengurusan Safa mengetahui kedudukan sebenar jurulatih itu bersama FAM.

“Kami akan menye­rahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) untuk mengetahui kedudukan Kim Swee dengan FAM,” tegasnya.

Tugas pengurus sementara skuad Sabah ketika ini diberikan kepada Juntin Ganai.

Sabah juga akan kekal menggunakan khidmat tiga pemain import iaitu bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf; bekas pertahanan Hull City, Abdoulaye Faye dan penyerang Libya, Eamon Zayed.

Bagaimanapun, Goh tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan dan rombakan dalam pasukan Sabah sebelum aksi sepak mula Liga Premier pada 6 Februari depan.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak, namun Sabah sedia berun­ding dengan sesiapa pun tidak kira pemain atau jurulatih sekiranya mereka tiada ikatan kontrak de­ngan mana-mana pasukan,” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis pengenalan pemain, Ketua Menteri yang juga Presiden Safa, Datuk Seri Musa Aman mengingatkan para pemain agar menampilkan semangat juang yang tinggi untuk memastikan Sabah kembali beraksi di Liga Super tahun depan.