Avenged Sevenfold sasar Asia


KUMPULAN Avenged Sevenfold (dari kiri), Johnny Christ, Arin Ilejay, M. Shadow, Synyster Gates dan Zacky Vengeance akan mengadakan konsert jelajah kali kedua bagi menghargai peminat di Asia. Mereka akan beraksi di Malaysia pada 23 Januari depan.


Kali terakhir kumpulan Avenged Sevenfold atau lebih dikenali sebagai AX7 menjejakkan kaki ke Malaysia ialah ketika Kuala Lumpur tersenarai dalam lokasi kunjungan konsert jelajah mereka selain Korea, Hong Kong, Jakarta, Indonesia dan Singapura pada tahun 2012.

Ternyata kuasa seni kumpulan yang gah melalui lagu Far Away itu berjaya merasuk peminat di Asia apabila terus tampil melakukan jelajah kedua mereka pada tahun ini.

Permintaan yang tinggi menyebabkan kumpulan itu berasa bertanggungjawab untuk memenuhi permintaan peminat yang dahaga melihat persembahan mereka. Memikirkan faktor itu, kumpulan AX7 akan singgah di Sunway Lagoon, Kuala Lumpur, Malaysia pada 23 Januari depan yang menjadi salah satu lokasi konsert jelajah Asia mereka.

Berasa terhormat, vokalis kumpulan tersebut, M. Shadow memberitahu, permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat Asia merupakan tujuan utama jelajah kali kedua mereka diadakan bermula 16 Januari lalu di Taipei, Taiwan.

“Selepas mendapat maklum balas yang memberangsangkan dalam siri jelajah konsert pertama yang diadakan pada tahun 2012 sehingga dihadiri hampir 15,000 orang, kami menerima banyak permintaan daripada peminat untuk mengadakan jelajah siri kedua.

“Kebanyakan peminat meluahkan permintaan mereka menerusi laman web rasmi kami dan juga laman sosial. Mengejutkan kerana peminat di negara Asia merupakan antara peminat yang paling banyak membuat permintaan.

“Justeru kami berharap kemunculan menerusi konsert jelajah ini mampu mengubat sedikit kerinduan dan ia juga menjadi penghargaan kepada peminat yang selama ini tidak putus-putus memberi sokongan terhadap kumpulan kami,” katanya yang mengenali anggota kumpulan itu sejak mereka bersekolah di Huntington Beach, California, Amerika Syarikat.

Bercerita lanjut mengenai jelajah Asia, gitaris kumpulan tersebut, Zacky Vengeance memberitahu, Asia merupakan pasaran yang sangat berpotensi terutamanya bagi kumpulan yang memainkan muzik death metal.

“Asia merupakan pasaran yang sangat baik untuk diterokai. Peminat muzik genre heavy metal dan death metal cukup ramai di negara Asia.

“Saya rasa konsert jelajah ini merupakan salah satu usaha yang baik dalam mempromosikan jenama Avenged Sevenfold supaya lebih dikenali. Saya juga menyeru agar kumpulan lain menerokai pasaran Asia disebabkan potensi mengaut pengaruh peminat dalam skala besar,” lontarnya dengan begitu teruja.

Selain mendekatkan lagi kumpulan berkenaan dengan peminat terutamanya di Asia, Johnny selaku basis kumpulan tersebut memberitahu, album terbaharu mereka berjudul Hail To The King menjadi antara satu sebab utama jelajah itu diadakan.

“Kami mahu mempromosikan album terbaharu berjudul Hail To The King. Sejak beralih arah daripada genre death metal yang lebih menekankan unsur scream (jeritan) dalam lagu kepada heavy metal yang lebih terarah kepada rentak balada dan slow rock, kami tentu sekali mahu mendapat reaksi daripada peminat.

“Hail To The King merupakan hasil penyerapan gabungan genre muzik daripada album pertama sehingga album keenam kami yang berjudul Nightmare. Ia juga merupakan eksperimentasi yang dilakukan berdasarkan permintaan peminat,” katanya.

Ditebak mengenai pengisian sepanjang konsert jelajah yang akan diadakan di Malaysia pada 23 Januari ini, Zacky memberitahu, mereka sentiasa menjaga sensitiviti dan adat masyarakat terutamanya apabila melakukan persembahan di Asia.

“Sebelum membuat keputusan melakukan persembahan di Asia, kami telah melakukan persediaan terutamanya daripada segi pengisian lirik kerana bimbang ia mampu mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat kami.

“Kami berharap konsert tersebut dapat berjalan dengan lancar tanpa mencetuskan kontroversi yang tidak diingini. Apa yang menjadi kepentingan kami ialah penonton akan terhibur dengan rencana konsert pada kali ini,” katanya.

Dianggotai oleh lima orang jejaka, Avenged Sevenfold diterajui M. Shadows sebagai vokalis, Synyster Gates (gitar), Zacky Vengeance (gitar utama), Johnny Christ (pemain bass) dan Arin Llejay (pemain drum).

Turut berada dalam senarai bagi konsert mereka kali ini ialah Jakarta, Indonesia (18 Januari), Bangkok, Thailand (20 Januari), Singapura (25 Januari) dan berakhir di Honolulu, Hawaii pada 27 Januari nanti.

Tiket telah mula dijual sejak 3 November 2014 dengan harga sekitar RM208 sehingga RM298. Sebarang pembelian tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang, www.ticketpro.com.my dan seluruh cawangan ticketpro di Malaysia.