Hanelang A juara STL 2014/15


BARISAN pemain dan pegawai Hanelang A meraikan kejayaan mereka selepas muncul juara STL 2014/15 yang berakhir di Stadium Tertutup Titiwangsa di ibu negara malam tadi.


REGU Hanelang A dinobatkan sebagai juara edisi pertama Liga Sepak Takraw (STL) apabila memenangi aksi akhir Grand Final STL 2014/15 yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur malam tadi.

Hanelang A yang dibimbing bekas jurulatih Terengganu, Ahmad Mohd. Zin menewaskan PDRM D 21-13, 21-17.

Hanelang A yang diterajui bekas tekong negara, Zulkifli Abdul Razak membantu regu dari Terengganu itu mendominasi saingan dan mendahului lapan mata pada set pertama.

PDRM D yang turut diwakili bekas pemain negara, Normanizam Ahmad iaitu tekong terakhir meraih pingat emas pada Sukan SEA 2005 cuba memberikan saingan pada awal set kedua.

Begitupun, hasrat regu yang dibarisi apit kanan negara, Masran Rahman dan Azli Jamil (apit kiri) itu gagal mengheret perlawanan tersebut ke set penentuan.

Selaku juara, Hanelang A yang turut diwakili bekas pemain apit kanan negara, Fadzli Mohd. Roslan dan pemain yang baru menyertai skuad elit, Safaruddin Abu Bakar membawa pulang plak kejuaraan dan hadiah wang tunai RM20,000.

PDRM D pula meraih RM15,000 manakala regu di tempat ketiga diraih Gastep B, sekali gus menerima RM10,000.

Gastep B menewaskan ATM A pada aksi penentuan ketiga dengan kemenangan 21-19, 16-21, 21-13.

Selaku regu yang menduduki tempat keempat, ATM A membawa pulang wang tunai RM5,000.