Zamani maafkan pelaku perakam video

23/01/2015 5:36pm


Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez sedang berbincang dengan abang Zamani, Zulfazil (tiga dari kanan) dalam satu pertemuan di IPD Ampang petang tadi. - KOSMO!/RONI HIDAYAT RIDWAN


AMPANG - Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani telah memaafkan pihak yang bertanggungjawab merakam dan menyebarkan video dia menyanyi ketika dia ditahan di lokap baru-baru ini.

Abang kepada penyanyi tersebut, Zulfazil Ibrahim, 50, berkata, ia sendiri merupakan permintaan daripada adiknya itu.

"Saya sudah bertemu dengannya pagi tadi dan menceritakan mengenai videonya yang kini sudah menjadi viral di internet.

"Apabila dia mengetahuinya, dia mengatakan sudah memaafkan pelaku yang bertanggungjawab dan tidak mahu ia terus dipanjangkan dan diperbesarkan," ujarnya ketika ditemui dalam satu pertemuan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang di sini, hari ini.

Menurut Zulfazil, dia berasa bangga dengan tindakan adiknya itu, meskipun berada dalam situasi yang agak tertekan berikutan penahanan tersebut.

Ujarnya, dia serta ahli keluarga yang lain tidak akan mengambil tindakan lanjut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan Zamani pula, dia menyatakan adiknya berada dalam keadaan yang sihat.

"Saya bersyukur kerana Zamani kini dalam situasi yang baik, malah pada kesempatan ini saya mewakili Zamani ingin memohon maaf kepada semua peminatnya dan berharap agar dia diberi peluang kedua," ujarnya.

Peguam Zamani, Ahmad Zahiril Muhaiyar memberitahu, sebutan kes penyanyi itu akan dibuat pada hari Selasa ini di Mahkamah Majistret Ampang. - KOSMO!