Misi bantuan banjir PICOMS


Kenderaan yang membawa pasukan perubatan bergerak menuju ke kawasan lokasi bantuan di Kelantan.


BENCANA banjir besar yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur baru-baru ini ternyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.

Atas dasar keprihatinan untuk membantu insan yang memerlukan, Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), Kuala Lumpur melaksanakan program misi bantuan banjir Cakna Pantai Timur di Pondok Al-Imaniah, Kampung Jerantut Feri, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Seramai 50 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar PICOMS menyertai misi tersebut.

Pengarah Program, Faris Safwan Ibrahim berkata, objektif misi tersebut lebih tertumpu kepada aktiviti membersihkan kawasan pondok yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

“Kami turut menyampaikan bantuan keperluan seperti makanan, selimut, kelengkapan solat, alat tulis dan al-Quran kepada pondok berkenaan.

“Selain melakukan aktiviti pembersihan, kami juga menyampaikan sumbangan seperti barangan keperluan kepada penduduk di sekitar kawasan itu,” katanya.

Turut serta, Pengerusi Eksekutif PICOMS, Datuk Mahamad Zubir Sheikh Saad.

Menurut Mahamad Zubir, bantuan berterusan dalam bentuk kewangan, barangan dan tenaga kerja perlu disalurkan kepada seluruh warga mangsa banjir yang terlibat dan PICOMS sentiasa memberi komitmen penuh dalam usaha membantu mereka.


Para sukarelawan membantu membersihkan kawasan Pondok Al-Imaniah yang terjejas teruk akibat bencana banjir.


“Saya menggalakkan pelajar, pensyarah dan kakitangan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Ia selaras dengan falsafah PICOMS yang mendukung nilai-nilai murni berpaksikan prinsip-prinsip Islam,” katanya.

Selain melawat dan menyampaikan bantuan di Kampung Jerantut Feri, beliau turut serta dalam pembersihan Pondok Al-Imaniah.

PICOMS merupakan kolej sains perubatan milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Sokongan dan kerjasama erat antara anak-anak syarikat MAIWP membolehkan program tersebut berlangsung dengan jayanya.

Dalam program itu, Yayasan Taqwa turut menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Bantuan perubatan

Dalam pada itu, melalui kerjasama erat dengan MAIWP, PICOMS menghantar pasukan yang terdiri daripada pensyarah dan pelatih program Sains Kejururawatan, Pembantu Perubatan dan Fisioterapi bagi memberikan bantuan perubatan di Kelantan.

Pada misi tersebut, pasukan tersebut membuka klinik sementara yang memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan ubat-ubatan secara percuma.

Bencana banjir yang berlaku di Kelantan amat besar dan luar biasa. Semasa di sana, pihak PICOMS telah bekerjasama dengan badan sukarelawan yang lain seperti IM4U, T6 Ranger Malaya dan Charity Right.


Sumbangan barangan keperluan harian disampaikan kepada wakil Pondok Al-Imaniah di Jerantut, Pahang.


Antara kampung yang dikunjungi ialah Kampung Sat Hulu, Kampung Sokor dan Kampung Lubok di Tanah Merah, Kelantan.

Dalam misi tersebut, PICOMS dan kakitangannya telah menyumbang wang tunai sebanyak RM13,000.

Destinasi pertama di Kampung Lubok, mereka menjadikan sebuah gerai makan yang tidak beroperasi sebagai klinik sementara bagi membolehkan penduduk kampung mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan ubat-ubatan secara percuma.

Seterusnya, mereka bergerak ke Kampung Sokor bagi menyampaikan bantuan perubatan kepada penduduk kampung berkenaan. Kampung yang mempunyai 26 buah rumah itu terjejas teruk dan terputus hubungan semasa banjir besar melanda.

Selain khidmat kesihatan, para sukarelawan turut mengedarkan makanan dan bantuan asas kepada mangsa banjir yang terjejas di kawasan dilawati.