Perihal takdir dalam Suamiku, Encik Perfect 10


ZARIEF menunjukkan kesungguhannya melayan Aleeya walaupun wanita itu bukan isterinya yang sah.


FILEM Suamiku, Encik Perfect 10! (SEP10) boleh dikategorikan sebagai sebuah naskhah hiburan ringan yang tampil dengan jalan cerita unik, segar serta berkonsepkan kekeluargaan.

Diadaptasi daripada sebuah novel berjudul sama karya Syamnuriezmil, penonton dibawa menyelusuri takdir pertemuan dua watak utamanya, Aleeya Azmeen lakonan Lisa Surihani dan Zarief Danial (Aaron Aziz).

Pengarah SEP10, Mohammed Feroz Abdul Kadir bijak memaku penonton untuk terus duduk di kerusi pawagam dengan memanipulasi babak-babak awal menggunakan elemen humor.

Menerusi babak di dalam kapal terbang, Zarief dan Aleeya berkenalan apabila Aleeya mula mabuk lalu muntah di atas baju yang dipakai oleh Zarief.

Watak Aleeya dan Zarief berkembang dan masalah serta konflik dalaman yang membabitkan mereka berdua mula tercetus.

Lakonan Lisa dalam SEP10 mungkin tidak sehangat percubaannya dalam membawakan watak pesakit mental menerusi filem Dendam Orang Mati. Namun, mainan emosinya masih kukuh dan hidup sepanjang menjayakan watak Aleeya.

Selain itu, perkembangan jalan cerita SEP10 turut dibantu dengan kehadiran karakter ibu kepada Aleeya iaitu Puan Yazmeen (Jasmin Hamid).

Digambarkan sebagai wanita berusia pertengahan 40-an yang garang dan tegas, Jasmin dilihat begitu sesuai membawakan karakter tersebut dan tidak kekok melantunkan dialek utara sepanjang filem itu ditayangkan.

Turut menampilkan aksi lakonan yang baik ialah Raja Ilya, yang membawakan watak antagonis, Azura Hanim. Namun, percubaan Raja Ilya kali ini dilihat lebih ‘tenang’ berbanding watak-watak antagonis yang pernah dijayakannya.

Sedikit meleret

Tidak dinafikan, jalan cerita SEP10 berkembang sangat baik pada peringkat permulaan. Penonton diberi gambaran awal tentang nasib Aleeya yang dirogol lalu dibantu oleh Zarief yang menawarkan diri untuk berlakon sebagai suaminya.

Bagaimanapun, selepas 60 minit pertama, jalan ceritanya menjadi sedikit meleret dengan penampilan babak-babak yang dirasakan tidak perlu.

Karakter Aleeya yang suka berdolak-dalik untuk menerima Zarief sebagai suaminya pula dilihat telah menjadikan perjalanan cerita yang sebetulnya ringkas, menjadi semakin merumitkan.

Secara keseluruhan, SEP10 sarat dengan elemen nasihat serta nilai-nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran.

Ia digambarkan dengan jelas menerusi keputusan Aleeya yang enggan menggugurkan kandungannya walaupun dia telah dirogol oleh kekasihnya sendiri, Syed Muzaffar.

Selain itu, kesudian Zarief menerima Aleeya dan anak dalam kandungannya tanpa prejudis turut membuktikan bahawa cinta sejati selalunya menuntut keikhlasan dan kesabaran.

Secara ringkasnya, SEP10 mengisahkan seorang gadis bernama Aleeya Azmeen lakonan Lisa Surihani yang mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia setelah mendapati dirinya sedang hamil.

Dalam penerbangan pulang dari London, England ke Kuala Lumpur, Aleeya bertemu dengan seorang jejaka bernama Zarief Danial yang secara kebetulan duduk di sebelahnya.

Bertemu buat pertama kali, Zarief yang pada waktu itu sudah bertunang dengan seorang model, Azura Hanim berasa kasihan melihat keadaan Aleeya sehingga sanggup menawarkan diri ‘berlakon’ sebagai suaminya.

Konflik mula tercetus antara Aleeya dengan Zarief apabila tumbuh perasaan sayang terhadap satu sama lain. Walaupun Zarief begitu bersungguh-sungguh mahu menjadikan Aleeya sebagai isterinya tetapi Aleeya enggan merosakkan ikatan pertunangan antara Zarief dan Azura.

Lebih merumitkan keadaan, bekas kekasih Aleeya, Syed Muzaffar (Syazwan Zulkifli) berkeras mahu mengahwininya setelah didesak oleh bapanya yang ingin merebut harta pusaka.