Bukti MLM 2014 tidak pilih kasih


PERSEMBAHAN hambar kumpulan Virus menyebabkan mereka terkandas untuk terus mara ke final.


Minggu separuh akhir program sensasi Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini menyaksikan kejutan besar apabila kumpulan Virus yang terdiri daripada Zizan, Tauke dan Yus tersingkir daripada terus mara ke peringkat akhir program tersebut.

Penyingkiran kumpulan itu membuktikan program realiti yang memasuki musim kedua itu tidak mempunyai permainan politik seperti yang digembar-gemburkan kebanyakan peminat pentas lawak terkemuka itu.

Menurut salah seorang juri profesional tetap MLM 2014, Datuk Jalaluddin Hassan, kebanyakan peminat sebelum ini mempunyai pendirian bahawa program realiti ini telah diatur dan hanya sebahagian daripada peserta pilihan sahaja dibenarkan layak ke peringkat akhir.

“Penyingkiran Virus semasa separuh akhir sememangnya kejutan besar bagi kami pihak juri. Hal ini kerana, mereka merupakan antara nama besar yang dijangka mara ke final.

“Bagaimanapun, profesionalisme peminat yang kini kebanyakannya sudah pandai menilai kualiti lawak itu sendiri membuktikan nama yang besar dan peminat yang ramai belum tentu menjadi tiket bagi finalis untuk ke peringkat akhir.

“Bagi pihak juri, dalam konteks penjurian pula, kami melihat pengisian kandungan lawak itu sendiri. Ia bukan hanya dinilai berdasarkan nama yang gah ataupun peminat, tetapi kami melihat dari aspek kandungan dan idea yang dilontarkan peserta kepada peminat.


Lima peserta akhir MLM2014 akan berentap pada 6 Februari ini.


“Jika dilihat secara keseluruhan, lebih banyak kumpulan kurang dikenali (underdog) mendapat perhatian. Hal ini membuktikan apa sahaja boleh berlaku dalam program realiti,” kata Jalaluddin yang ditemui pada sesi sidang akhbar program tersebut.

Dalam pada itu, satu-satunya peserta solo yang layak ke peringkat akhir, Nabil Ahmad memanjatkan rasa syukurnya apabila layak ke final dan berjaya mencuri hati peminat pada saat-saat akhir persembahan.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya pada kali ini. Walaupun pada minggu sebelum ini saya dilihat kurang menyerlah, namun segalanya berubah pada malam ini (separuh akhir) apabila lawak saya berjaya membuatkan penonton dan juri ketawa.

“Saya akui sedikit tertekan disebabkan kesukaran untuk mendapatkan idea yang segar sebelum ini bagaimanapun, segalanya berbaloi apabila saya sekali lagi diberi kepercayaan untuk berdiri di pentas akhir.


ZERO kerap tampil dengan lawak lucu yang tidak diduga.


“Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik pada malam akhir nanti dan cuba mencari idea baharu sekali gus memberi persaingan yang sengit pada 6 Februari ini,” ujarnya lega.

Pertandingan separuh akhir MLM 2014 menyaksikan keenam-enam finalis diberi sebanyak dua tugasan iaitu props dan loghat untuk dilangsaikan.

Persembahan hambar daripada kumpulan Virus menyebabkan mereka gagal menawan hati juri profesional.

Malam separuh akhir tersebut juga menyebelahi kumpulan Sepahtu apabila Jep dinobatkan sebagai Man of the Match selaku orang perseorangan yang paling menyinar sepanjang persembahan berlangsung.

Penyingkiran Virus pada peringkat separuh akhir itu sekali gus melayakkan lima finalis lain untuk mempamerkan kebolehan mereka menggeletek hati khalayak dengan lawak-lawak yang segar. Mereka ialah kumpulan Sepahtu, Bocey, Zero, Shiro dan Nabil.

Peringkat akhir atau final MLM 2014 akan diadakan pada 6 Februari depan bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Tiket persembahan bagi peringkat akhir tersebut telahpun mula dijual sejak awal bulan lalu dan boleh didapati melalui laman sesawang ticketpro.com.my dengan harga serendah RM33 sehingga RM83 bagi setiap individu.