Azlee bayangkan Senario masuk MLM


PEKA terhadap perkembangan dunia lawak tanah air, Azlee turut menyenangi kemenangan kumpulan Zero dalam MLM2014.


LAMA menyepi, mungkin ramai menyangka Senario yang sebelum ini pernah menjadi kumpulan pelawak nombor satu negara telah terkubur dan tidak lagi aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Keadaan itu ditambah pula dengan pelbagai rancangan realiti seperti Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega (MLM) yang melahirkan begitu banyak kumpulan pelawak baharu seperti Sepahtu, Virus, Bocey dan lain-lain. Fenomena Raja Lawak dan MLM sebenarnya menenggelamkan Senario yang mempunyai begitu ramai peminat pada suatu masa dahulu.

Bagaimanapun, salah seorang anggota kumpulan itu, Mohd Azlee Jaafar atau Azlee yang ditemui Kosmo! baru-baru ini mendedahkan, realitinya kumpulan itu masih wujud dan ikatan ketiga-tiga ahli kumpulannya masih erat dan mereka saling berhubung.

Ikuti temu bual lanjut Kosmo! bersama Azlee yang ditemui semasa majlis pelantikannya sebagai duta sejenis produk makanan kesihatan keluaran RCC Global di Hotel de Palma, Shah Alam, Selangor.

KOSMO!: Sudah lama nama kumpulan Senario tidak kelihatan di kaca televisyen, adakah kumpulan yang berusia lebih 20 tahun ini telah dibubarkan kerana ketiga-tiga anggota asal, termasuk Azlee sendiri telah menamatkan kontrak dengan stesen TV3?

AZLEE: Walaupun kami semua sudah tidak terikat dengan stesen televisyen tersebut, kumpulan Senario masih wujud dan saya sering menghubungi anggota kumpulan seperti Lan Pet Pet dan Wahid.

Ketiadaan kami menerusi sitkom Senario tidak bermakna kami terus menghilangkan diri. Sebenarnya, kami sedang memberi laluan kepada penerbitan animasi Senario Toons yang kini masih dalam proses pembikinan. Perjuangan Senario masih diteruskan dan saya membayangkan Senario akan membuat kemunculan semula dalam dunia hiburan suatu hari nanti.

Boleh anda memberi gambaran sedikit sebanyak mengenai animasi Senario Toons dan penglibatan anda dalam rancangan tersebut?

Rancangan tersebut terdiri daripada 13 episod berkisarkan sekumpulan kanak-kanak yang belajar di sekolah dan tinggal di kampung yang sama. Ia juga menyelitkan kisah sebenar perjalanan hidup Senario pada akhir rancangan. Sebanyak enam episod daripada siri animasi itu telah siap dan saya memegang watak sebagai Azlee dan Pak Jaafar dalam cerita itu.

Bagaimana pula pandangan anda mengenai rancangan realiti MLM 2014 yang melabuhkan tirai baru-baru ini?

Saya berpendapat rancangan itu bagus kerana berjaya melahirkan lebih ramai pelawak yang mempunyai kelebihan serta mampu mempelbagaikan persembahan bagi menghiburkan penonton. Saya juga sudah menjangkakan Zero sebagai juara berdasarkan kekuatan kumpulan itu yang terletak kepada salah seorang anggotanya, Syaiful atau Melati. Dia seorang pelawak yang penuh dengan aksi ‘sengal’ dan mampu ‘menggigit’ kumpulan lain.

Sebagai pelawak yang pernah berada di puncak kejayaan, anda mungkin ada pesanan kepada pelawak generasi baharu yang sedang membina nama hari ini.

Saya tiada pesanan yang khusus tetapi berharap, pelawak-pelawak baharu yang sedang mencipta hari ini supaya jangan sombong terutama dengan peminat. Jika sombong dengan peminat, percayalah perjalanan karier seseorang pelawak atau mana-mana artis pun tidak akan pergi jauh dan tidak lama dalam dunia hiburan.

Jika diberi kesempatan, adakah Senario akan menyertai MLM pada edisi seterusnya?

Ya, saya membayangkan Senario akan menyertai MLM jika diberi kesempatan kerana terdapat peminat setia Senario yang mahu kami menyertai program itu. Namun, tujuan kami bukanlah untuk bersaing, sebaliknya ingin bertemu semula dengan rakan-rakan dan peminat yang merindui persembahan kami.

Selain dilantik sebagai duta produk RCC Global, difahamkan, anda juga telah menceburi dunia perniagaan, boleh kongsikan perkembangan perniagaan anda itu?

Sebelum tamat kontrak dengan TV3, saya telah menubuhkan syarikat GE Events Management pada 2014 yang menawarkan perkhidmatan pengurusan acara. Buat masa ini, aktiviti perniagaan lebih tertumpu di Johor. Selain itu, saya juga sibuk memenuhi undangan untuk mengacarakan majlis sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran daripada beberapa stesen televisyen.