Cicak Man 3 versi Zizan Razak, Lisa Surihani


BARISAN orang kuat filem Cicak Man 3 bergambar dengan seorang model yang memakai kostum Cicak Man selepas majlis pelancaran trailer filem berkenaan di Pavilion baru-baru ini. Dari kiri: Yusry Abd. Halim, Lisa Surihani, Zizan Razak, Fizz Fairuz dan Ghaz Abu Bakar.


SELEPAS tempoh tujuh tahun meninggalkan penonton dengan cerita adi wira keduanya, akhirnya sekuel ketiga filem Cicak Man iaitu Cicak Man 3 bakal menggegarkan panggung seluruh negara bermula 12 Mac depan.

Filem bergenre aksi komedi arahan pengarah ternama Yusry Abd. Halim itu mendapat kerjasama daripada Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Astro Shaw.

Seperti yang sedia dimaklumi, Cicak Man sebelum ini diterajui pelakon dan pelawak, Saiful Apek. Namun untuk sekuel ketiga, tempat Apek digantikan dengan Zizan Razak.

Malah, tempat heroin utama filem itu yang pernah disandang oleh aktres Fasha Sandha juga diambil alih oleh aktres Lisa Surihani selain menampilkan watak baharu lakonan Fizz Fairuz.

Menampakkan sisi matang dalam jalan cerita dan pembentukan karakter, filem Cicak Man 3 merupakan satu kebangkitan daripada KRU Studios dengan membawa seribu kelainan termasuklah penambahbaikan kesan khas dalam penggunaan teknologi CGI.

Apa yang menarik mengenai filem ini adalah perkongsian kerusi pengarah oleh dua orang pengarah berbakat tanah air iaitu pengarah asal filem Cicak Man 3, Yusry dengan pengarah baharu, Ghaz Abu Bakar.

Mengakui adakala wujud sedikit perbalahan kecil dan perbezaan pendapat, Yusry menegaskan, semua perkara remeh-temeh seperti itu mudah ditolak ke tepi atas sikap profesional yang ada dalam diri mereka berdua.

“Idea asal filem ini hasil olahan daripada saya. Namun, disebabkan saya terikat komitmen dengan projek lain ketika penggambaran filem Cicak Man 3 sedang berjalan, saya serahkan tanggungjawab ini kepada Ghaz.

“Berkongsi idea sebagai pengarah bukanlah suatu perkara yang mudah memandangkan perkara itu boleh menimbulkan pelbagai masalah. Namun, saya tahu dia (Ghaz) boleh buat kerja mengarah kerana dia memang seorang pengarah berbakat, penuh idea baharu dan kreatif. Walaupun kami berdua sering kali bercanggah pendapat tetapi perkara itu ada kebaikan.

“Dari situ, kami mampu gabungkan percanggahan idea tersebut menjadi satu buah fikiran yang menarik untuk diserapkan dalam filem ini, sekali gus menjadi salah satu cara untuk kami lebih mencantikkan jalan cerita filem ini,” ujar Yusry mesra.


HERO dan heroin Cicak Man 3, Lisa Surihani dan Zizan Razak teruja pertama kali berganding dalam sebuah filem yang sarat dengan aksi, konflik dan komedi.


Tambah Yusry, meskipun menampilkan barisan pelakon baharu, inti filem tersebut masih berdasarkan kepada dua watak utama yang pernah disandang oleh Apek dan Fasha Sandha.

“Memang mereka berdua (Saiful dan Fasha) tidak ada dalam filem ini tetapi jiwa mereka masih ada. Watak yang dipegang oleh Zizan dan Lisa sebenarnya bayangan daripada watak yang dibawa oleh mereka. Lebih tepatnya, Cicak Man 3 ialah kesinambungan daripada Cicak Man 2. Watak Cicak Man 3 dihidupkan kembali setelah kotak yang mengandungi baju kostum adi wira Cicak Man ditemui oleh Zizan,” jelas Yusry.

Zizan yang ditemui pada majlis yang sama turut berkongsi pengalamannya sepanjang memikul karakter merealisasikan filem Cicak Man 3.

“Sejujurnya saya risau, jika ada pihak yang membanding-bandingkan watak Cicak Man versi saya dengan Cicak Man versi Saiful Apek.

“Risau jika penonton dibayangi perwatakan yang pernah dijayakan oleh Saiful. Namun saya percaya, penerimaan setiap orang itu berbeza,” jelas Zizan.

Pengalaman bekerja bawah arahan pengarah hebat seperti Yusry dan Ghaz juga disifatkan Zizan sangat membantunya mempersembahkan sebuah lakonan berkesan.

“Jalan cerita filem ini agak berbeza berbanding versi pertama dan kedua terdahulu. Selain bertukar pelakon, jalan cerita dan watak Cicak Man juga menunjukkan kematangan walaupun tetap ada unsur humor.

“Berbanding dengan Cicak Man 1 dan Cicak Man 2, Cicak Man dalam sekuel terbaharu merupakan seorang lelaki yang turut memegang peranan sebagai suami dan ayah. Dia bertanggungjawab sebagai ketua keluarga, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan Bandar raya Metrofulus daripada ancaman bahaya.

“Bercakap soal komedi dalam filem ini pula, saya tidak terlalu menyerlahkan sisi lawak dalam watak Cicak Man. Sebaliknya, saya membiarkan unsur komedi itu hadir secara semula jadi di mata penonton,” ujar Zizan yang memegang watak sebagai Man dalam filem itu.

Masih mengekalkan Bandar raya Metrofulus sebagai latar filem, bandar tersebut dihidupkan semula dengan penggunaan teknologi CGI yang lebih kemas oleh artis-artis kesan khas visual di KRU Studios.

Melakukan penggambaran di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru, filem Cicak Man 3 mengambil tempoh 44 hari untuk menyiapkan penggambaran.

Pada majlis itu juga, KRU Studios turut mengumumkan kerjasama jenama produk terkemuka, Kit Kat sebagai penaja rasmi bagi filem tersebut.