Teruja menikmati bahagia berumah tangga



MANISNYA rindu kerana cinta, teguhnya cinta kerana setia. Kalau sudah jodoh tidak ke mana, tetap akan bersatu dua jiwa.

Tanggal 13 Februari 2015 menjadi satu tarikh keramat dan melakarkan kenangan paling indah buat pelakon Yana Samsudin, 31, apabila impiannya untuk membina mahligai cinta bersama Fadzil Bahri Datuk Zahari, 32, tercapai.

Siapa sangka perkenalan sejak tujuh tahun lalu telah membuahkan bibit-bibit cinta yang akhirnya diikat dengan sebuah ikatan perkahwinan.

Memilih untuk mengadakan majlis pernikahan di kediaman keluarga Yana sendiri di Yong Peng, Johor, penyatuan dua insan ini berlangsung dalam suasana sederhana dengan disaksikan oleh 150 hadirin yang terdiri daripada keluarga, sanak saudara, kenalan rapat dan pihak media.

Tepat pukul 4.15 petang, Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin akhirnya sah menjadi isteri kepada Fadzil yang tenang melafazkan akad nikah dengan sempurna di hadapan Imam Besar Masjid Jamek Pekan Yong Peng, Shamsul Rizalaris Abdul Hamid yang bertindak sebagai jurunikah.

Pelakon manis yang popular menerusi filem Adnan Sempit dan Bini-Biniku Gengster itu jelas gagal menahan air matanya tatkala dirinya sah menjadi pasangan Fadzil, mungkin kerana masih tidak percaya dirinya kini sudah bergelar isteri orang.

“Seperti tidak percaya bahawa saya akhirnya telah menjadi isteri orang. Barangkali sudah takdir saya untuk menjadi insan di sisi Fadzil dan saya gembira kerana impian membina mahligai indah ini tercapai.

“Sejujurnya saya agak gementar sejak dari awal lagi, kemuncaknya ialah ketika memakai baju nikah kerana ini kali pertama saya merasai pengalaman seperti ini.

“Lagipun tidak pernah terlintas di fikiran saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini, apatah lagi persiapan kami dilakukan dalam masa dua bulan sahaja. Mujurlah selepas akad nikah selesai, perasaan gementar ini hilang,” kata Yana sambil tersenyum.

Sebaik sahaja selesai akad nikah, Fadzil menyarungkan cincin ke jari Yana dan menyerahkan mas kahwin RM10,000 serta wang hantaran RM50,000 berserta lima dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalas tujuh dulang.


Fadzil dinikahkan oleh Imam Shamsul Rizalaris Abdul Hamid sambil diperhatikan oleh Yana serta ahli keluarga di kediamannya di Taman Kota Impian, Yong Peng, Batu Pahat, Johor pada 13 Februari lalu.


Yana yang kelihatan anggun mengenakan persalinan berwarna putih krim rekaan Biancamimosa menerima hantaran senaskah al-Quran, telefon bimbit, kek dan tepak sirih.

Fadzil pula menerima balasan daripada pengantin perempuan senaskhah

al-Quran, komputer riba, cincin platinum, sirih junjung, telefon bimbit, set wangian dan jam tangan.

“Syukur Alhamdulillah, perasaan saya tidak dapat digambarkan dengan perkataan dan tulisan. Selepas menanti selama tujuh tahun, akhirnya impian memperisterikan Yana tercapai jua.

“Apa yang pasti, saya amat teruja untuk mengharungi fasa baharu sebagai suami isteri bersama Yana. Harapan saya agar kami dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik,” kata Fadzil yang juga merupakan adik kepada pelakon Farid Kamil.

Dua kali

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa perkenalan antara Yana dan Fadzil sebenarnya mengambil masa yang cukup lama. Kedua-duanya mula mengenali satu sama lain buat kali pertama ketika Fadzil menemani abangnya, Farid ke set lakonan filem V3 Samseng Jalanan (Remp-V3) pada tahun 2008.

Menurut Fadzil, ketika bersua muka dengan Yana, hatinya telah terpaut pada pandangan pertama, sekali gus memaksa dirinya untuk cuba merapati pelakon kelahiran Yong Peng itu.

“Pada masa itu, saya tidak tahu siapa Yana sebenarnya kerana dia berpakaian agak selekeh dengan seluar jean koyak, jadi saya anggap dia hanya salah seorang kru penggambaran sahaja.

“Bagaimanapun, dalam keadaan dia yang selekeh, hati saya tetap tertarik dengan dirinya dan perasaan untuk mendekatinya tidak dapat dibendung.

“Selepas mengenalinya, baru saya tahu bahawa Yana rupa-rupanya seorang pelakon, namun pada waktu itu kami hanya berkawan sahaja,” kenang Fadzil.

Bagaimanapun, oleh kerana hati sudah tertarik, Fadzil yang merupakan seorang penulis skrip, mengambil keputusan meluahkan keikhlasannya apabila menghantar rombongan merisik pada tahun 2010.

Sudah pasti tindakan tersebut merupakan satu kejutan buat keluarga Yana kerana pada waktu itu mereka menyangka kedatangan Fadzil dan keluarganya hanya sekadar kunjungan pada majlis hari raya.

“Rombongan merisik yang dirancang pada masa itu hanya bertujuan untuk bertanyakan tentang status Yana dan pada masa yang sama memperkenalkan ahli keluarga saya kepada ibu dan bapa Yana.

“Selepas mengetahui Yana masih belum bersedia dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya dan keluarganya terlebih dahulu, niat untuk menjadikan Yana sebagai teman istimewa terpaksa dipendam dahulu.

“Namun, saya dan Yana membuat keputusan untuk berkawan terlebih dahulu bagi mengenali hati budi masing-masing. Sejak itu kami menjadi teman yang akrab dan saling memberi sokongan antara satu sama lain dalam bidang masing-masing,” ujarnya.


YANA bersama ibunya, Suhaily Abdullah menzahirkan rasa bersyukur selepas wanita itu sah bergelar isteri Fadzil.


Bagaimanapun, benarlah seperti kata orang bahawa jodoh dan pertemuan itu semuanya ditentukan oleh Tuhan dan tiada siapa yang dapat lagi menyangkalnya.

Pada 14 Disember 2014, pemuda yang berasal dari Kedah ini sekali lagi menghantar rombongan merisik dan meminang dengan diketuai oleh ayahanda dan bondanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan serta Datin Sharifah Bardah Idid Syed Abdyllah Idid.

Hajat besar itu tidak lagi ditolak oleh Yana dan turut dipersetujui ibu bapanya, Samsudin Jamuri dan Suhaily Abdullah.

“Selepas Fadzil menghantar rombongannya buat kali kedua, baru saya rasa dia sememangnya ikhlas dengan niatnya itu.

“Jadi, saya beritahu ayah saya supaya terima sahaja pinangannya itu kerana pada masa itu kami telah pun berkawan lama dan telah arif dengan hati budi masing-masing,” tambah Yana pula.

Tangguh bulan madu

Tidak ramai yang tahu bahawa Fadzil sebenarnya telah menghasilkan beberapa karya skrip untuk filem antaranya Bini-Biniku Gengster, Kongsi, Pe3, Taikun, Tokan dan Suami Aku Ustaz.

Malah, dia juga merupakan seorang pengarah dan produser filem selain menerajui syarikat pengurusan bakatnya sendiri iaitu Prokuya Studios Sdn. Bhd.

Antara artis dan pelakon yang diuruskan oleh syarikatnya ialah kakak iparnya, Diana Danielle dan pendatang baharu, Ardell Aryana.

Justeru, mungkin ada peminat yang tidak sabar lagi untuk melihat pengantin baharu ini bekerjasama dalam sebuah filem.

“Buat masa ini sudah ada perancangan untuk Yana berlakon dalam satu filem daripada syarikat saya tetapi saya tidak boleh menceritakannya dengan lebih lanjut.

“Saya harap peminat dan media dapat bersabar menantikan kejutan ini tidak lama lagi,” kata Fadzil.

Yana yang rezekinya mula mencurah-curah dengan tawaran berlakon sejak bakatnya digilap oleh penerbit dan pengarah David Teo ketika bersama MIG Production Sdn. Bhd., menjelaskan, dia kini tidak cukup masa untuk memikirkan tentang bulan madu kerana terikat dengan beberapa produksi sehingga bulan Jun depan.

“Jadi, kami tidak fikir lagi untuk pergi berbulan madu, biarlah saya habiskan dulu komitmen lakonan kemudian baru fikir mengenainya.

“Tentang destinasinya juga masih belum dipilih, mungkin dalam negeri, mungkin luar negara atau Eropah. Kita tengok dulu,” ujar Yana.

Ditanya tentang perancangan menimang cahayamata dalam masa terdekat, pasangan itu saling berpandangan dan hanya tersenyum malu.

Namun, Yana tampil menjelaskan bahawa mereka ketika ini hanya mahu menyesuaikan diri sebagai suami isteri terlebih dahulu sebelum boleh bersedia untuk memasuki alam ibu bapa.

“Biarlah kami menikmati dahulu alam perkahwinan sebagai suami isteri. Masih banyak lagi perkara yang kami perlu pelajari khususnya dalam menjaga tanggungjawab dan peranan masing-masing.

“Lagipun kami juga mahu lebih mengenali dahulu diri masing-masing, jadi selepas itu baru fikir tentang anak atau sebagainya. Jadual lakonan yang padat juga menjadi antara sebab kami tidak mahu fikirkan sangat tentang anak,” tambah Yana.


YANA dan Fadzil turut merakamkan gambar praperkahwinan mereka yang dibidik oleh kru CST Production.


Tiada syarat

Umum mengetahui bahawa sekiranya seseorang artis atau selebriti itu mendirikan rumah tangga, sudah pasti wujud kekangan dalam meneruskan karier mereka, terutamanya bagi pelakon wanita yang perlu bekerjasama dengan pelakon lelaki di set pengambaraan filem.

Bagaimanapun, Yana boleh dikatakan bertuah kerana Fadzil masih boleh berkompromi dalam hal sedemikian, apatah dia juga bukan orang baharu dalam industri seni tempatan.

Oleh itu, Yana sudah pasti diberi ‘lampu hijau’ untuk meneruskan kariernya. Namun, Fadzil berharap isteri kesayangannya itu dapat menjaga batasannya dalam melakonkan adegan romantik.

“Boleh, mengapa pula saya mahu menghalang Yana daripada meneruskan berlakon. Itu adalah kariernya dan dia ada masa depan yang cerah dalam bidangnya ini.

“Cuma saya berharap mana-mana pengarah dan penerbit yang mahu mengambilnya berlakon perlu sedar yang dia sudah bergelar seorang isteri, maka dia perlu menjaga nama baik serta tingkah lakunya dalam beberapa adegan seperti adegan romantik.

“Saya juga enggan memberi sebarang syarat khusus kepada Yana kerana tidak mahu mengganggu kerjanya kelak. Bagaimanapun, saya tahu Yana sudah matang dan mampu menjaga dirinya serta nama baik kami, dia sudah besar dan bukannya sehari dua dalam dunia lakonan,” kata Fadzil lagi.