Belacan segar Seberang Takir


Udang baring, garam dan pewarna sirap ramuan yang digunakan untuk menghasilkan belacan.


BELACAN merupakan salah satu bahan masakan terpenting dalam masyarakat Melayu. Meskipun bukan semua orang menggemari belacan kerana baunya yang kurang menyenangkan, namun makan tengah hari tanpa hidangan pelengkap sambal belacan dan ulam-ulaman sukar membakar selera.

Bergantung pada negeri, sesetengah menggunakan udang geragau manakala ada sebahagian lain menggunakan udang kecil sebagai bahan utama.

Di Kampung Hulu Tanjung, Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu misalnya, penduduk setempat menjadikan belacan sebagai satu perusahaan secara kecil-kecilan untuk memperoleh pendapatan.


Belacan yang siap dicetak akan dijemur selama dua hari.


Menurut seorang penduduk, Azmi Jusoh, 45, antara bahan-bahan yang digunakan dalam pembikinan belacan ialah udang, garam dan pewarna sirap.

“Kami menggunakan udang baring untuk memproses belacan dan dibawa khas dari Perak kerana kualitinya.

“Sebanyak enam tan udang baring digunakan untuk tempoh sebulan untuk menghasilkan belacan berkenaan,” ujarnya.

Penggunaan udang baring seberat enam tan itu dapat menghasilkan kira-kira 14,000 keping belacan sebulan.

Menurut Azmi, penggunaan pewarna sirap pula bertujuan supaya belacan kelihatan lebih segar.

“Ada dua jenis belacan yang diusahakan iaitu berwarna merah dan kelabu. Kami juga mempunyai dua jenis bentuk iaitu petak dan bulat,” kata Azmi belacan yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan khususnya di Terengganu.