Kuih kapit menu penyeri


Kuih kapit dikeluarkan daripada acuan kemudiannya ia akan digulung atau dilipat.


KUIH kapit atau biskut rangup senipis kertas antara makanan tradisi yang sering dihidangkan pada sambutan perayaan masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

“Untuk menghasilkan kuih kapit ia mengambil masa yang agak lama, tetapi untuk menikmatinya hanya seketika,” begitulah ungkapan yang sering diutarakan apabila berbicara mengenai kuih ini.

Kedatangan Tahun Ba­ru Cina yang disambut meriah setiap tahun oleh masyarakat Cina di negara ini tidak lengkap jika hidangan wajib untuk perayaan tersebut tidak tersedia di meja hidangan.

Selain kuih bakul, kuih kapit ini antara menu wajib yang perlu ada di meja hidangan ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Kuih ini antara menu penyeri sewaktu dan selepas majlis makan besar pada malam Tahun Baru Cina. Ia ia merupakan hidangan ringkas yang dijadikan pemanis mulut yang dihidang bersama teh panas.

Kuih kapit diperbuat da­ri­pada campuran tepung beras, te­lur, gula dan santan. Meskipun ia makanan tradisi kaum Cina, hakikatnya kuih ini juga digemari masyarakat berbilang kaum di nega­ra ini.

Bagi menghasilkan kuih ini, satu acuan khas diperlukan. Adunan kuih kapit dicurahkan ke dalam acuan sebelum dibakar dengan arang. Sele­pas beberapa minit, ia dikeluarkan daripada acuan tersebut dan kemudiannya kuih itu akan digulung atau dilipat.Hakikatnya, bukan semua orang mahir menghasilkan kuih kapit kerana ia memerlukan kemahiran untuk mendapatkan kuih yang betulbetul rangup.

Bagi mendapatkan kuih kapit yang rangup dan rapuh, sukatan adunan bahan harus tepat dan ia perlu dibakar secara tradisi menggunakan arang.


Adunan kuih kapit dicurahkan ke dalam acuan sebelum dibakar.


Kaedah memasak kuih ini menggunakan arang mampu menerbitkan aroma yang lebih harum berbanding jika dimasak menggunakan dapur gas.

Kepada sesetengah masyarakat Cina, membuat kuih kapit bersama ahli keluarga sempena menyambut tahun baru menjadi satu acara yang menyeronokkan kerana inilah masanya mereka dapat berkumpul sambil berkongsi kisah masing selepas setahun tidak bersua.

Apa yang lebih penting dalam menghasilkan kuih kapit ialah mereka mampu melakukan pelbagai tugas pada satusatu masa iaitu mengawal api, menggunakan acuan besi, mencampur dan menuang adunan, memasak kuih hingga warnanya bertukar keemasan.

Begitu juga dengan kaedah menggulung dan melipat kuih ini. Ia tidak semudah disangka kerana kuih tersebut perlu dilipat atau digulung ketika ia masih panas. Selepas disejukkan beberapa ketika, kuih kapit perlu disimpan di dalam bekas kedap udara untuk mengekalkan kerangupannya.

Seiring dengan masa, kuih ini di­beri nafas baharu dengan meletak­kan inti coklat dan mentega bagi me­nambah kelazatannya.

Acuan kuih kapit elektrik juga boleh didapati di pasaran iaitu cara mudah untuk menghasilkan kuih ini. Namun, masih ramai yang menggemari pembuatan cara tradisi. –BERNAMA